Ulasan isu asteroid 2002 NT7 dan adakah ia akan berlanggar dengan Bumi?

Awas pos ini sangat panjang.  Jika anda betul-betul nak faham punca kekalutan semua ini serta apa yang sebenarnya berlaku, saya sarankan anda BACA SAMPAI HABIS artikel ini. Jika ada pautan luar (link) untuk bacaan lanjut, sila klik dan rujuk di sana juga. Kalau tak faham, boleh ulang slow-slow.

Alahh.. malaslah nak baca..panjang sangat. Internet slow.–> Isu ini tidak boleh diterangkan dengan hanya satu perenggan. Banyak faktor yang kena faham dulu. Rajinlah sikit membaca bro..

Lebih kurang seminggu lepas, tiba-tiba kecoh satu Malaysia mengenai berita sebuah asteroid bernama 2002 NT7 yang dikatakan akan berlanggar dengan Bumi pada 1 Februari 2019 nanti. Beberapa media telah membuat laporan yang sama menerusi portal berita rasmi. Ramai yang membuat tuduhan pihak NASA telah menyembunyikan fakta sebenar. Whatsapp dan mesej diterima bertubi-tubi. Walaupun ‘berita’ itu akhirnya dilaporkan palsu oleh pihak media dan juga ada pengumumam rasmi dari ANGKASA, masih ada yang bertanya-tanya.

Pada hari Isnin yang tenang ini, saya cuba menerangkan sejauh mana kebenaran berita ini. Adakah ia benar-benar disembunyikan? Adakah ia betul-betul akan berlanggar? Paling penting, kita sebagai pembaca umum harus tahu bagaimanakah kaedah untuk tahu samada sesuatu berita sensasi itu benar atau tidak. Adakah logik ia boleh disembunyikan oleh pihak-pihak tertentu tanpa pengetahuan berbilion penduduk dunia yang lain? Apakah analogi mudah untuk kita memahami isu ini, terutama bagi yang tidak terlibat secara langsung dalam dunia astronomi?

Ok jom kita mula.

Apabila asteroid 2002 NT7 ditemui pada tahun 2002, para saintis telah melakukan pengiraan terhadap laluan orbitnya dan mendapati ada kebarangkalian 1 dalam 60,000 ia akan berlanggar dengan Bumi. Kebarangkalian ini dikategorikan sebagai low risk. Namun, selepas cerapan susulan dibuat berdasarkan lebih banyak data pergerakan asteroid ini, pada Julai 2015, didapati orbit sebenar asteroid ini tidak langsung akan mengenai Bumi. Malah, ketika ia dijangka bergerak paling hampir dengan Bumi pada 15 Januari 2099, ia akan berada pada jarak 0.37 Astronomical Unit dari Bumi, yakni bersamaan lebih 100 kali jarak Bulan ke Bumi.

Kedua-duanya, yakni Bumi dan 2002 NT7 sedang bergerak mengelilingi Matahari. Buat masa ini, asteroid ini sedang bergerak dari bahagian bawah satah orbit Bumi. Ketika asteroid ini melintasi satah Bumi (dari bawah ke atas), ia sudah pun berada jauh di hadapan Bumi.

2002 NT7.jpg

Foto asteroid 2002 NT7 ketika ia ditemui pada tahun 2002. Sumber.

Malah, pada poin yang paling dekat ia akan berada pada jarak 69 juta km daripada Bumi! Sebagai perbandingan jarak purata Bumi ke Bulan ialah 384,400 km.

main-qimg-51032aaa72c4c8c35e495281a8b79f04.png

Kedudukan Bumi dan asteroid 2002 NT7 pada 1 Feb 2019 nanti.

Screenshot 2019-01-07 at 1.26.45 PM.jpg

Simulasi The Sky Live menunjukkan kedudukan asteroid 2002 NT7. Boleh cuba sendiri di laman web ini.

Persoalannya, mengapa saintis boleh ‘tukar-tukar’ kebarangkalian ini? Main-main ke apa ni?

Ok, cuba kita faham pergerakan Bumi dan 2002 NT7 dalam analogi yang lebih mudah nak faham. Saya telah dapatkan contoh ini daripada sini (laman web ini juga menerangkan panjang lebar, bagus untuk dibaca), dan cuba permudahkan dalam bahasa kita-kita…

Bayangkan ada sebuah keretapi dan sebuah kereta. Landasan keretapi ini akan bersilang dengan jalan raya yang akan digunakan oleh kereta ini pada poin tertentu.

Selalunya jadual pergerakan keretapi di atas landasannya boleh dikira dengan tepat, sehingga ke minit. Contoh bagi sesiapa yang naik ERL ke KLIA akan tahu pada minit ke berapakah tren itu akan sampai ke stesyen. Ini disebabkan pergerakan keretapi ini konsisten dan boleh dikira.

Bagi kereta tadi pula, kita boleh nampak dari jauh ia datang menuju ke simpang persilangan landasan keretapi dan jalan raya tadi. Tetapi kita masih tak pasti pada minit ke berapakah ia akan sampai tepat di situ. Ini disebabkan banyak faktor seperti kelajuan sebenar kereta itu, atau adakah pemandu itu membawanya laju atau perlahan dan banyak lagi.

Kita hanya tahu samada kedua-dua akan bertembung apabila kita perhatikan pergerakan kereta itu dengan lebih terperinci secara berterusan hinggalah ke saat ia menghampiri keretapi itu.

Jadi dalam analogi ini, asteroid 2002 NT7 itu diwakili oleh kereta tadi, manakala Bumi diwakili oleh keretapi. Hanya dengan menggunakan data cerapan awal yang sedikit, adalah sukar untuk mana-mana pengkaji dan saintis membuat ramalan yang tepat mengenai laluan sebenar asteroid berkenaan. Hanya selepas cerapan susulan serta beratus-ratus data yang diambil kira dalam pengiraan tersebut, barulah mereka akan dapat gambaran lebih jelas mengenai lintasan asteroid ini nanti.

Revision atau perubahan ramalan ini NORMAL dalam mana-mana bidang kajian sains.

Contoh yang lebih hampir dengan kita ialah di mana baru-baru ini, penduduk disekitar utara Semenanjung Malaysia diarah berjaga-jaga oleh METMalaysia. Dikhuatiri taufan Pabuk akan membadai di kawasan terbabit apabila ia melintasi pada hari Sabtu-Ahad lepas. Namun selepas pemerhatian susulan, METMalaysia menarik balik amaran tersebut kerana didapati taufan Pabuk semakin lemah dan menjauhi sempadan negara kita HASIL PEMERHATIAN SUSULAN mereka.

Sama juga kes apabila berlaku gempa bumi yang berlaku di sekitar Asia Tenggara. Setiap kali berlaku gempa di laut, amaran tsunami akan dibuat. Beberapa jam kemudian, amaran ditarik balik kerana didapati tiada pergerakan laut yang berbahaya berlaku HASIL PEMERHATIAN SUSULAN.

Sama juga dalam situasi kita nak melintas jalan. Kita boleh nampak kereta menuju ke arah kita, tetapi disebabkan kita tak pasti selaju mana kereta tersebut, maka kita pun teragak-agak nak melintas. Hanya selepas kita membuat PEMERHATIAN SUSULAN yang lebih terperinci terhadap pergerakan kereta itu, barulah kita dengan yakin akan melintas jalan tersebut.

Dalam ketiga-tiga contoh di atas, saya rasa ramai daripada kita boleh faham dan menerimanya. Namun mengapa dalam kes berita seperti objek-objek angkasa lepas ini ramai yang tidak mahu menerima penerangan yang telah dibuat? Adakah kita memang betul-betul tidak faham? Buat-buat tak faham? Atau memang tak mahu berusaha untuk cuba memahaminya?

NASA tipu!

Alasan seperti ini memang biasa didengar.

Malah saya sendiri tak pasal-pasal sering difitnah menjadi agen nasa dan keimanan saya dipersoalkan oleh entah siapa-siapa yang saya tak pernah jumpa pun di internet! (Saya tiada daya untuk melawan segala tohmahan ini dan serahkan kembali kepada Allah SWT sahaja untuk memberi hidayah kepada kita semua)

Cuba fikirkan, agak-agak bagaimana (dalam kes asteroid 2002 NT7 ni) NASA boleh menipu beratus ribu pencerap langit seluruh dunia, beribu-ribu saintis yang bekerja dengan pelbagai agensi lain, seperti universiti, berpuluh-puluh ‘negara pesaing’ dalam bidang sains angkasa, yang semuanya memerhatikan LANGIT YANG SAMA SETIAP MALAM?

Kalau disembunyikan, memanglah susah nak track. Tetapi kalau memanipulasi fakta, ramai yang akan tahu dan membongkarkannya.

Bidang astronomi sudah lama wujud sejak bertamadun. Tidak ada siapa pun boleh menghalang daripada kita untuk memandang ke langit, mempelajari dan memahaminya.

Dalam kes objek-objek seperti asteroid dan komet ini, kedua-dua objek ini sungguh dinamik. Pergerakannya kadangkala boleh berubah apabila ia melintasi planet-planet besar, ataupun ketika ia melintasi Matahari. Saban hari, ada sahaja asteroid dan komet yang baru ditemui. Senarai objek-objek baru ini SENTIASA dikemaskini menerusi laman web rasmi Minor Planet Center. Data pergerakan (juga dikenali sebagai orbital elements) dipaparkan secara terus. Kita boleh lakukan cross-check sendiri berdasarkan data-data ini untuk tahu kedudukannya di langit.

Malah, kita boleh lakukan cerapan, merakam gambar dan mengambil sendiri data cerapan kita dan dimuat naik ke MPC. Sebagai contoh jika anda lihat di sini, pada bahagian “Observer details” ada disenaraikan semua nama pencerap yang telah melakukan cerapan susulan terhadap satu-satu objek yang dipaparkan di MPC.

Bagi data-data komet kita boleh muat naik cerapan yang dibuat di Comet Observer’s Database atau COBS. Di sini, ratusan data cerapan dipaparkan secara bebas.

Data-data ini pun akan sentiasa di cross-check oleh pencerap lain di seluruh dunia. Mana-mana cerapan yang meragukan atau tidak memenuhi standard, akan ditegur, dianalisa dan kadangkala dibuang terus.

Kita kena ingat, yang lakukan cerapan dan teguran ini pun BUKAN  SEMUANYA AHLI ASTRONOMI PROFESIONAL. Majoriti pencerap langit yang aktif ialah terdiri daripada pencerap PERSENDIRIAN atau lebih dikenali sebagai AMATUER ASTRONOMERS. Masing-masing ada balai cerapn sendiri, peralatan sendiri dan melakukan cerapan sendiri tanpa paksa, tanpa menerima apa-apa bayaran.

Kalau nak tahu betapa berhati-hatinya komuniti astronomi dunia dalam kes penipuan, kita tak perlu tengok jauh. Pada tahun 2016, ada sebuah gambar yang dipaparkan dalam laman Astronomy Picture of The Day (APOD), yang menunjukkan ISS melintasi di hadapan planet Zuhal. Menurut perakam gambar ini, Julian Wessel, gambar ini dirakam hasil pengiraan yang begitu tepat dan perancangan yang teliti.

iss saturn fake.jpg

Menurut Julian Wessel, gambar ini berjaya ‘dirakam’ hasil pengiraan dan perancangan yang tepat!

Foto ini menarik minat ramai orang seluruh dunia! Namun, bagi yang bidangnya astrofotografi, akan dapat lihat ada sedikit kemusykilan mengenai cara gambar ini ‘dirakam’. Setelah dibincang dalam banyak forum komuniti seperti CloudyNights.com , akhirnya foto ini didapati tidak sahih dan ditarik balik dari APOD.

Saya sarankan anda baca turutan cerita ini di atas (serta pautan-pautan lain). Tujuan saya masukkan contoh ini di sini ialah untuk menunjukkan jika ada sesuatu yang mencurigakan, adalah mustahil untuk menyembunyikan daripada komuniti astronomi yang ada diseluruh dunia!

Kembali ke kes asteroid 2002 NT7. Adakah NASA sahaja yang lakukan cerapan sehingga boleh menipu semua orang?

Rupanya tidak. Antara pihak yang turut melakukan pemerhatian susulan dan memainkan peranan penting di dalam isu ini ialah Camarillo Observatory, sebuah balai cerap persendirian di selatan California. Menurut statement yang telah dikeluarkan oleh mereka pada tahun 9 Ogos 2002 yang lalu pun jelas menunjukkan data cerapan mereka tidak memungkinkan asteroid 2002 NT7 berlanggar dengan Bumi. Ingat tu, statement ini telah dikeluarkan 16 TAHUN YANG LALU!

Malah, bukan Camarillo Observatory sahaja yang lakukan cerapan terhadap objek-objek sebegini. Ada ratusan balaicerap lain, samada kepunyaan organisasi mahupun persendirian, telah menyumbang data cerapan.

Anda boleh lihat sendiri SENARAI BALAICERAP yang terlibat.

Kita sendiri pun boleh cuba mencerapnya sendiri berdasarkan kordinat yang dikira menerusi begitu banyak perisian astronomi. Salah satunya boleh didapati menerusi laman The Sky Live.

Maka, timbul pula persoalannya kenapa tiba-tiba cerita ini meletup?

Saya pun kurang pasti asal-usulnya. Apa yang saya tahu, apabila beberapa buah media berita (ini dan ini) melaporkan di dalam portal berita rasmi mereka, netizens terus pick-up cerita ini dan menularkannya tanpa usul periksa. Bukan kita saja, seluruh dunia pun kecoh!

Saya juga agak terkejut apabila mendapati sumber yang diambil oleh portal tersebut ialah dari “The Daily Star”. Apabila diperiksa, rupa-rupanya portal Daily Star itu pun mengitar semula berita lama. Ia mengulang kembali berita ketika asteroid 2002 NT7 baru sahaja ditemui dan masih belum ada cerapan susulan mengenai orbit sebenarnya! Ia hanya menggembar-gemburkan berita konspirasi dan sengaja mengeluarkan persoalan yang digemari oleh golongan conspiracy theorist. Ia tak pula mengambil berita susulan mengenai bagaimana data-data cerapan susulan telah menunjukkan asteroid ini tidak akan berlanggar dengan Bumi. Walhal penerangan isu ini TELAH PUN DIBINCANG PADA TAHUN 2002-2003!

Tahukah kita, ‘akhbar’ “The Daily Star” ini pun akhbar tabloid. Sekali tengok isinya pun dah tahu jenis berita yang dibawa serta kredibilitnya!

Screenshot 2019-01-07 at 12.27.48 PM.jpg

Sumber “Daily Star” ???

Cuma saya agak ralat dan rasa sedih, portal berita tempatan kita terus mengambil sumber daripada tabloid seperti ini tanpa selidik dengan lebih lanjut.

Walaupun portal ini telah menarik balik laporannya, dan SAYA AMAT BERTERIMA KASIH ATAS LAPORAN ITU , tetapi kesan buruknya dah tersebar luas. Hasilnya, satu Malaysia kelam kabut! Kecoh! Bergaduh!

Yang kita netizens pun satu hal…. main sedut je apa yang dibaca. Lepas tu terus share. Bila salah, senyap membisu!

Berita mengenai asteroid menghentam Bumi memang popular dan sering menjadi bualan ramai. Diselang-seli pula dengan cerita-cerita di panggung wayang seperti Armageddon dan Deep Impact, orang ramai semakin takut dan gusar apabila bayangan hentaman itu begitu jelas dan nyata hasil olahan cerita-cerita tersebut.

Namun kita harus faham, di luar sana sememangnya banyak batu-batu angkasa yang bergerak mengelilingi Matahari. Selain itu juga, banyak juga yang berada hampir dengan Bumi serta akan melintasi persekitaran Bumi pada jarak yang ‘dekat’. Objek-objek sebegini digelar Near Earth Object dan ia SENTIASA dipantau oleh banyak badan dan organisasi dunia.

Cuma yang menjadi kekeliruan orang ramai ialah bagaimana berita-berita ini diolah. Selalunya tajuk-tajuknya akan disensasikan bagi menarik pembaca klik ke artikel tersebut. Clickbait. Jika kita baca pun sebenarnya selalunya berita lama atau berita yang kita sudah tahu kebarangkaliannya. Dan selalunya ahli astronomi dan saintis memang sudah memberitahu kita hasil cerapan mereka.

Bagi yang mahu belajar dan mahu faham dengan lebih lanjut, saya yakin boleh memahami apa yang cuba disampaikan. Namun malangnya kebanyakan daripada kita lebih gemar untuk memilih-milih hujah dan menyusun atur sedemikian rupa hingga menimbulkan maksud yang salah. Ini belum lagi yang langsung tidak mahu menerima berita daripada ‘orang luar’ kerana ia mempunyai ‘agenda tersembunyi’ etc.

Walau apa pun, kita semua ada otak untuk menilai sejauh mana kebenaran sesuatu berita. Bagi saya sendiri, sebelum mengulas apa-apa isu, saya memaksa diri untuk bertanya soalan-soalan berikut:

  1. Dari sumber manakah berita itu diambil? (Ia perlu dari organisasi yang berautoriti. Kalau sumber youtube, whatsapp, portal tabloid, abaikan je)
  2. Ada bahan rujukan lain seperti jurnal yang pernah diterbit dan dibincangkan? Siapa yang menerbitnya? Apakah komen pengkaji lain terhadap kejian tersebut?
  3. Apakah komen penggiat dan peminat astronomi di seluruh dunia mengenai isu ini? Rujukan saya selalunya menerusi forum-forum astronomi seperti Cloudynights.com
  4. Adakah laman web astronomi lain yang turut membawa berita tersebut? Saya tidak mengendahkan berita dari portal yang di dalamnya bercampur-aduk topiknya, seperti adanya berita sains kepada berita masakan tengahari hinggalah berita siapa nama anak artis sekian-sekian. Saya lebih gemarkan laman web yang khusus skopnya.
  5. Jika tak percaya berita dari NASA dan kita katakan ia satu pembohongan, cuba cari rujukan hujah balas daripada agensi angkasa negara-negara besar lain, contoh ESA, dan JAXA . Agensi-agensi ini masing-masing ada kepakaran dalam hal ehwal astronomi. Setiap satu agensi ini pun masing-masing ada kepentingan yang hendak dijaga, imej yang perlu dijaga. Jadi satu pihak dikesan ‘menipu’, pasti yang lain akan menghebahkannya!

Ya, memang nampak leceh dan susah nak kena baca dan selidik banyak pihak. Tapi suka atau tidak, itulah keperluan kita dalam zaman sekarang yang mana berita tular lebih afdal berbanding berita dari yang ahlinya!

Semoga catatan ‘ringkas’ ini dapat sedikit sebanyak memberi gambaran sebenar berita dunia astronomi di luar sana. Saya yakin selepas ini masih banyak dan akan ada berita-berita tular sebegini. Saya yakin rambut saya pun semakin banyak gugur sebab kena layan dan menjawab berulang kali!

Jika ada rakan yang masih ragu-ragu, saya syorkan agar kongsikan artikel ini sebagai panduan asas. Walaupun tajuk asalnya mengenai asteroid 2002 NT7, tetapi perbincangan mengenai isu maklumat benar atau palsu yang saya catatkan di atas boleh digunapakai dalam kes-kes lain.

Ilmu Astronomi ialah satu ilmu yang memerlukan kita memerhati dan faham pergerakan jasad-jasad samawi. Daripada pergerakan itu, kita akan faham perangai dan kesannya terhadap Bumi. Apa yang dilakukan oleh saintis dan ahli astronomi sekarang adalah sama sahaja seperti apa yang dibuat oleh ilmuwan Islam terdahulu. Mereka tidak terus membuat andaian, malah pemerhatian yang dibuat amat teliti dan berulang-ulang kali. Inilah asas semangat dan asas kecemerlangan ilmuwan dahulu dan diteruskan oleh ilmuwan sekarang.

“A theory is used to explain an observed or hypothesized phenomena and it may be modified, changed, or rejected in due course depending on how appropriate it may be against observational data. Theories can be subjective in nature. An observation is a fact and is not liable to be changed but may be further refined.”  Dr. Shirin Haque-Copilah

Semoga kita terus belajar berilmu!

Wallahua’lam.

ps: Artikel ini hanya merujuk kepada isu asteroid 2002 NT7 dan apakah kebarangkalian maklumatnya ditipu. Jika nak dikaitkan dengan segala macam cerita lain, tak menang tangan dan tak akan habis. Sila fokus kepada tajuk perbincangan ini terlebih dahulu.

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...