Langit Minggu Ini 4 -10 Feb 2019

Minggu cuti yang panjang. Fenomena yang unik-unik pun turut bercuti jugak! Apa pun jom kita tengok apa aktiviti yang boleh dicerap sepanjang minggu ini.


5 Feb (Selasa)

Bulan akan melintasi posisi ijtimak dengan Matahari pada jam 5:04 AM. Ini bermakna menjelang Maghrib nanti, anak bulan (hilal) akan kelihatan dalam umur 14 jam (di Semenanjung). Selalunya peluang untuk kita melihat bulan berumur semuda ini agak tinggi. Lebih-lebih lagi dengan cuaca sekarang yang agak panas dan cerah pada waktu petang.

Pada jam 5:28 PM, Bulan berada paling jauh dari Bumi  pada jarak 406555 km. Ini juga bermakna jika anda dapat melihat hilal nanti, ia merupakan hilal yang agak kecil disebabkan Bulan berada di posisi Apogee.

Kebetulan pula planet Utarid juga berada amat hampir dengan Bulan. Bagi yang bercadang untuk mencerap hilal itu nanti, jangan lupa halakan telesko sedikit ke bawah. Utarid akan berada kurang 1 darjah sahaja dari Bulan.

Screenshot 2019-02-03 at 3.00.41 PM

Harus diingat ye, cerapan hilal perlu dibuat sebaik sahaja Maghrib dan bukan sebelumnya. Jika anda tidak mempunyai pengalaman mencerapnya, jangan lakukan ketika matahari masih lagi kelihatan. Amat berbahaya!


6 Feb (Rabu)

Waktu Subuh nanti, jangan lupa jenguk ke arah lagit timur. Planet Zuhrah dan Musytari semakin jauh. Namun, Zuhal berada agak hampir dibawah. Jarak di antara Musytari dan Zuhrah, lebih kurang sama dengan jarak Zuhal dan Zuhrah. Boleh gunakan panduan ini untuk mencari planet bergelang ini.

Screenshot 2019-02-05 at 11.05.56 AM.jpg

Gunakan jarak Zuhrah ke Musytari sebagai panduan untuk mencari planet Zuhal!

Jika anda merindui fenomena Eartshine, cuba lihat ke arah Bulan pada petang ini selepas Maghrib. Jalur sabit yang halus bakal didominasi dengan bahagian malam Bulan yang boleh dilihat secara samar-samar menerusi mata kasar.

Screenshot 2019-02-05 at 11.07.27 AM.jpg

Suasana Earthshine apabila dirakam menerusi teleskop atau lens telefoto yang panjang. Sumber.

Bahagian malam Bulan ini akan lebih jelas menerusi kamera apabila dirakam dengan waktu dedahan yang panjang.

Aktiviti cadangan: Jika anda memiliki teleskop atau lens telefoto yang panjang, rakam bahagian Earthshine bulan itu dan cuba kenalpasti nama-nama kawasan permukaan Bulan menggunakan peta bulan.


7 Feb (Khamis)

Subuh ini, planet Zuhrah akan melintasi sebuah bintang bernama Polis di dalam buruj Sagittarius. Jika anda halakan binokular atau teleskop ke arah Zuhrah, di sebelah kirinya akan kelihatan bintang tersebut.

Screenshot 2019-02-05 at 10.55.17 AM.jpg

Planet Zuhrah dan bintang Polis apabila dilihat menerusi sebuah teleskop berkuasa rendah.

Jarak kedua-duanya hanya 6 arc minit sahaja. Maknanya amat-amat dekat!

Bulan akan melintasi planet Neptune pada sekitar 3 darjah pada petang ini. Malangnya planet ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Anda perlukan sekurang-kurangnya sebuah binokular untuk mencarinya,

Screenshot 2019-02-05 at 10.59.42 AM.jpg

Kedudukan planet Neptune berpandukan Bulan, selepas Maghrib 7 Feb 2019.

Boleh cuba try test!


10 Feb (Ahad)

Bulan akan melintasi hampir dengan planet Marikh, iaitu sekitar 7 darjah. Lihat ke atas langit selepas Maghrib ke arah Bulan. Planet Marikh sekarang ini amat jauh dari Bumi. Ia hanya kelihatan seperti sebutir bintang merah yang sederhana terang saja.

Screenshot 2019-02-05 at 11.01.37 AM.jpg

Bulan melintasi hampir dengan Marikh.

Jika anda memiliki binokular, cuba jejaki planet Uranus. Ia berada sekitar 2 darjah dari Marikh. Jika penglihatan mata anda baik, dikatakan dalam suasana langit gelap, anda boleh melihat planet Uranus ini.

Tetapi kalau nak lebih mudah, gunalah binokular.


*Maaf terlewat sedikit untuk pos artikel ini. Abang ipar saya meninggal dunia pada petang Ahad haritu dan sibuk sikit menguruskan jenazah sehari dua ini. Mohon pembaca sedekahkan Al-Fatihah buat roh beliau.

Al-Fatihah.

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...