Hubble berjaya intai tompok gelap baru di Neptune!

Buat kali pertamanya, para saintis telah berjaya melihat pembentukan satu pusaran gergasi di planet Neptune, yang dikenali sebagai Great Dark Spot.

Ahli astronomi yang memerhatikan perubahan cuaca di planet Neptune menggunakan Teleskop Angkasa Hubble, telah mendapati pada tahun 2015, sebuah tompok kecil hitam yang dirakam ketika itu telah membesar sehingga menjadi sama saiz dengan Bumi menjelang tahun 2018!

Pembesaran tompok ini diiringi dengan beberapa awan kecil putih yang mula kelihatan dalam tempoh berkenaan.

Jika anda masih ingat foto planet Neptune yang dirakam oleh prob angkasa Voyager 2, yang melintasi planet tersebut pada Ogos 1989, menunjukkan dua buah tompok hitam gergasi pada lapisan atmosfera Neptune. Salah satu daripadanya sebesar planet Bumi.

Screenshot 2019-03-26 at 4.53.07 PM.jpg

Great Dark Spot, tompok gelap di Neptune yang dirakam oleh Voyager 2. Kelihatan juga beberapa kumpulan awan putih yang berada di altitud lebih tinggi berbanding tompok gelap di sebelahnya. Sumber.

Sejak itu, Teleskop Angkasa Hubble telah berjaya merakam 4 buah lagi tompok yang sama, menjadikan jumlah keseluruhan tompok hitam di Neptune sebanyak 6 buah.

Bagus juga ada teleskop Hubble ni. Planet Neptune amat jauh dan kecil apabila diteropong dari Bumi. Teleskop Hubble yang berada di atas lapisan atmosfera Bumi berupaya merakam gambar jauh lebih jelas dan tajam. Hasil foto-foto inilah yang menunjukkan tompok hitam gergasi yang asalnya dirakam oleh Voyager 2, telah lenyap sekitar tahun 1994. Ini menunjukkan formasi tompok ini tidak kekal lama.

Screenshot 2019-03-26 at 4.37.17 PM.jpg

Ribut taufan gelap yang dirakam oleh Teleskop Angkasa Hubble (kiri) pada tahun 2018, dan foto oleh prob angkasa Voyager 2 (kanan) yang dirakam pada tahun 1989. Jelas boleh dilihat kedudukan dua ribut ini berbeza latitud. Saiz tompok gelap ini adalah sekitar 13,000 km X 6600 km. Kredit NASA/ESA/GSFC/JPL.

Muncul dan hilangnya tompok gelap di planet Neptune ini sungguh berbeza jika dibandingkan dengan pusaran dan tompok-tompok awan di planet Musytari. Di planet gergasi itu, tompoknya bertahan lama, malah ada yang bertahan dan dicerap ratusan tahun (The Great Red Spot).

Screenshot 2019-03-26 at 4.48.31 PM.jpg

Great Red Spot, sebuah ribut taufan gergasi di planet Musytari masih boleh dilihat sehingga hari ini. Dipercayai kali pertama dilihat oleh Cassini pada tahun 1665. Foto oleh @shahgazer

Namun, tompok ribut di Musytari konsisten kekal pada latitud yang sama. Berbeza di Neptune, di mana saintis mendapati tompok gelap ini merayau-rayu ke kawasan latitud yang berlainan. Hasilnya ialah apabila ia sampai di kawasan latitud di mana tiupan anginnya begitu kuat, tompok gelap ini akan terganggu dan lenyap dari pandangan.

Amy Simon, saintis planetari di NASA Goddard Space Flight Center, bersama-sama dengan Micheal Wong dan Andrew Hsu dari University of California telah melakukan kajian susulan mengenai tompok gelap. Perincian hasil kajian ini boleh didapati di sini.

Secara amnya, mereka mendapati ribut taufan gelap ini akan mengambil masa untuk membesar di antara 4 hingga 6 tahun. Setelah ia ‘matang’, ia akan mempunyai jangka hayat sekitar 2 tahun sahaja. Namun ada juga yang boleh kekal wujud selama 6 tahun.

Masih banyak perlu dipelajari mengenai tompok gelap di Neptune. Agak malang planet ini terlampau jauh daripada Bumi dan ketika ini tidak ada prob angkasa yang sedang melakukan kajian terperinci terhadap planet ini. Teleskop Angkasa Hubble adalah antara satu-satu instrumen yang berupaya membantu kita memahami sifat dan perangai sistem cuaca di Neptune dari jarak jauh.

voyager2-neptune.jpg

Lakaran artis menunjukka prob Voyager 2 ketika ia melintasi planet Neptune. Prob ini masih berfungsi dan menghantar kembali isyarat ke Bumi, walaupun dalam keadaan baterinya yang sangat lemah.

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...