Langit Minggu Ini 11-17 Mac 2019

Fenomena

Zuhrah semakin melabuhkan diri di waktu Subuh. Musytari pula semakin awal terbit. Bulan menghijab bintang yang terang dan gugusan bintang yang kelam. Lintasan ISS berhampiran Bulan.


11 Mac (Isnin)

Planet gergasi Musytari semakin awal terbit setiap hari. Pada hari ini ia akan mula terbit di ufuk timur sekitar jam 1.30 pagi (12.30 pagi di Sabah). Menjelang Subuh, ia berada tinggi di langit sebelah timur. Ia maish berada di dalam kawasan buruj Ophiuchus, iaitu di antara Scorpious dan Sagittarius.

Screenshot 2019-03-10 at 7.32.53 PM.jpg
Kedudukan Zuhrah, Zuhal dan Musytari sepanjang minggu ini di waktu Subuh.

Planet Zuhal pula mula terbit sekitar jam 3.20 pagi (2.20 pagi di Sabah). Ia masih berada di dalam kawasan penuh dengan bintang-bintang di dalam buruj Sagittarius, tetapi tidak banyak objek-objek galaktik seperti nebula, galaksi mahupun gugusan bintang di kawasan ini.

Zuhrah semakin hari semakin lewat waktu terbitnya. Pada Subuh ini ia akan terbit sekitar jam 4.55 am (3.55 am di Sabah). Ia tetap bersinar terang dan silau di langit sebelah timur. Dalam keadaan langit yang tidak berawam, hampir mustahil untuk kita terlepas pandang terhadap planet ini.

Pada waktu senja, selepas Maghrib hingga 2-3 jam selepas Isya’, Marikh akan berada kurang 6 darjah dari Bulan. Ia semakin kecil, jauh dan kelam. Pandangan mata kasar akan menunjukkannya hanya seperti sebutir bintang merah yang sederhana terang.


13 Mac (Rabu)

Pada waktu Maghrib, Bulan akan melintasi hampir sekitar lebih kurang 3 darjah dari bintang Aldebaran. Jika anda masih ingat nota-nota saya sebelum ini, di kawasan ini terletak sebuah gugusan bintang yang agak terserak bintang-bintang, bernama Hyades.

Screenshot 2019-03-10 at 7.28.33 PM.jpg
Bulan melintasi berhampiran bintang Aldebaran dan gugusan Hyades.

Selalunya gugusan ini amat mudah untuk dilihat dengan mata kasar, tetapi disebabkan malam ini Bulan berada amat hampir, maka cahaya dari Bulan yang sungguh terang akan menyukarkan sedikit pandangan kita terhadap gugusan ini. Cuba guna binokular untuk melihatnya.

Lihat arah Bulan di sebelah barat bermula Maghrib hingga ke selepas Isya.


14 Mac (Khamis)

Bulan akan memasuki Fasa Sukuan Pertama pada jam 6:26 PM. Kali ini kita mungkin berpeluang melihat satu bentuk bayang-bayang menyerupai huruf X. Bentuk ini dikenali sebagai “Lunar X” dan berdasarkan kiraan falak, bentuk ini lebih mudah dilihat beberapa jam sebelum fasa sukuan akhir.

Screenshot 2019-03-10 at 7.35.15 PM.jpg
Bentuk huruf “X” yang boleh diihat ketika Bulan berada dalam fasa sukuan pertama. @shahgazer

Maknanya, menjelang Maghrib hari ini, kita sudah terkehadapan beberapa jam. Namun kita masih boleh cuba untuk mencarinya.

Satu lagi fenomena yang menarik sekitar waktu Isya’ hari ini ialah sebuah bintang yang agak terang, bernama Zeta Tauri, akan dihijab oleh Bulan. Fenomena ini turut dikenali sebagai occultation. Ia berlaku apabila Bulan kelihatan bergerak perlahan-lahan di hadapan bintang ini dan ketika itu secara tiba-tiba cahaya bintang ini akan hilang. Beberapa jam kemudian, ia akan muncul kembali di sisi Bulan yang berlawanan.

zetataurimoon10mar2019.gif
Simulasi penghijaban bintang Zeta Tauri oleh Bulan dari Kuala Lumpur.

Waktu bintang ini hilang bergantung kepada lokasi cerapan kita. Lain tempat lain waktunya. Cuba guna perisian seperti Stellarium atau Sky Safari untuk tentukan waktu hilang dan muncul bintang ini.

Sebagai contoh dari lokasi balai cerap saya, bintang Zeta Tauri akan hilang pada jam 9.32 malam dan muncul kembali pada jam 10.53 malam.

Bagi peminat falak yang sedang menguji kiraan yang anda buat terhadap pergerakan Bulan merentasi langit, fenomena penghijaban ini ialah peluang keemasan yang tidak harus dilepaskan.


16 Mac (Sabtu)

Bulan akan berada hampir dengan 2 buah bintang terang bernama Castor dan Pollux. Kedua-dua bintang ini berada di dalam buruj Gemini yang menggambarkan sepasang kembar.

Screenshot 2019-03-10 at 7.19.04 PM.jpg
Kedudukan Bulan berhampiran bintang Pollux pada malam ini.

Bintang Pollux (yang lebih hampir dengan Bulan) merupakan sebuah bintang yang ke-17 cerah di langit. Ia terletak sekitar 33.8 tahun cahaya daripada Bumi dan pada tahun 2006 dipercayai ada sebuah eksoplanet yang mengelilinginya.

Cuba perhatikan objek-objek ini sekitar waktu Isya’ sambil menghadap badan anda ke sebelah utara.

Stesyen Angkasa Antarabang atau ISS akan melintasi hampir dengan Bulan pada waktu Isya’ (Semenanjung) nanti. Secara amnya, hampir seluruh Semenanjung Malaysia akan dapat melihatnya. Jika anda berada di Kuala Lumpur, mulakan pemerhatian anda ke arah ufuk Barat Daya sekitar jam 8.33 malam. Ia akan melintasi Bulan sekitar jam 8:36 malam dan kemudian bergerak ke arah utara.

Screenshot 2019-03-10 at 7.21.32 PM.jpg
Kawasan lintasan ISS dari langit Kuala Lumpur.

17 Mac (Ahad)

Sebuah gugusan bintang bernama Beehive akan dihijab oleh Bulan. Gugusan bintang ini berada di dalam buruj Cancer dan juga merupakan sebuah gugusan bintang yang besar tetapi terdiri daripada bintang-bintang yang agak kelam.

beehivemoon10mac2019.gif
Lintasan Bulan di hadapan Gugusan Beehive bermula jam 8 malam hingga sekitar 11 malam.

 

Anda perlukan langit yang betul-betul gelap dan bebas dari gangguan cahaya untuk melihatnya dengan mata kasar.

Bermula Maghrib hinggalah sekitar 3 jam selepas Isya’, Bulan akan bergerak betul-betul di hadapan gugusan ini. Malangnya pada waktu ini Bulan berada dalam fasa yang besar dan cahayanya yang terang akan menenggelamkan cahaya bintang-bintang ini.

Anda perlukan sebuah binokular atau teleskop untuk melihat fenomena ini. Rakaman kamera pun boleh tetapi kena guna lensa telefoto atau di sambung pada teleskop.

0 0 votes
Article Rating
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments