Langit Minggu Ini 18-24 Mac 2019

Bulan lintas Regulus dan Spica. Matahari lintas garisan Khatulistiwa. Berkenalan dengan bintang Alphard serta Arcturus. Bulan Penuh masih kelihatan lebih besar berbanding biasa dan Bima Sakti tinggi dan best sekitar Subuh.


18 Mac (Isnin)

Arah timur selepas Isya hingga ke lewat tengah malam, cuba lihat ke arah Bulan. Di sebelah kanan bawahnya, ada sebutir bintang yang agak terang berada 8 darjah daripada Bulan. Itulah bintang Regulus, bintang tercerah di dalam buruj Leo.

Cahaya Bulan malam ini mungkin silau sikit, tetapi buruj Leo ini agak mudah dikenali kerana susunan bintangnya agak unik.

Bintang Regulus ialah bintang ke-21 paling cerah di langit. Di dalam kitab falak lama Arab, ia dikenali sebagai “Qalb Al Asad” atau “Qalbu Al-‘asad”, yang memberi maksud “jantung singa”

Screenshot 2019-03-17 at 8.22.11 PM.jpg

Cuba cari bintang Regulus dan Alphard berpandukan Bulan pada malam ini.

Alang-alang berada di sini, cuba lihat ke sebelah kanan Bulan/Regulus. Jika langit bebas awan, akan kelihatan sebutir bintang yang sederhana terang, tetapi berada di kawasan langit yang kelihatan agak ‘kosong’ dan tiada bintang terang yang lain.

Bintang ini ialah Alphard. Ia satu-satunya bintang cerah yang mudah dilihat membentuk buruj yang paling besar di langit, bernama Hydra. Buruj Hydra ini panjang dan berlingkar hampir separuh langit, tetapi malangnya bintang-bintangnya agak kelam (kecuali si Alphard) ni.


19 Mac (Selasa)

Bulan sudah bergerak ke bawah bintang Regulus, berbanding kedudukannya semalam. Pandang arah timur selepas Isya hingga ke lewat tengah malam.

Screenshot 2019-03-17 at 9.46.45 PM.jpg

Kedudukan Bulan pada 19 Mac 2019.


20 Mac (Rabu)

Bulan paling hampir dari Bumi (perigee) pada jam 3:48 AM pada jarak 359380 km. Momen ini berlaku 1 hari 5 jam sebelum masuknya fasa Bulan Penuh.

Bila pandang Bulan malam ni nanti, ia adalah yang terbesar untuk pusingan bulan ini.


21 Mac (Khamis)

Pada jam 5:59 AM,  Matahari akan melintasi garisan Khatulistiwa. Fenomena ini dipanggil sebagai Ekuinoks.

Ini bermakna, pada hari ini, Matahari akan terbit tepat di arah Timur dan terbenam tepat di arah Barat.

Screenshot 2019-03-17 at 9.44.21 PM.jpg

Rajah menunjukkan kedudukan cahaya Matahari tepat di atas garisan Khatulistiwa pada tarikh ekuinoks ini. Sumber.

Selepas daripada hari ini, ia akan mula menghala ke langit sebelah utara. Negara-negara di hemisfera Utara melihat tarikh ini sebagai tanda bermulanya musim bunga.

Fasa Bulan Penuh akan berlaku pada jam 9:43 AM. Disebabkan ia berselisih hanya 1 hari 5 jam sahaja daripada kedudukan Perigee-nya semalam, maka malam nanti, Bulan penuh yang terbit akan masih kelihatan agak besar berbanding biasa.

cuba try test tengok.


22 Mac (Jumaat)

Screenshot 2019-03-17 at 9.32.18 PM.jpg

Kedudukan Bulan, bintang Spica dan Arcturus, sekitar 1 jam selepas Isya.

Malam ini sekitar 1 jam selepas Isya’, pandang ke arah timur. Bulan akan sekali lagi melintasi bintang Spica, bintang tercerah di dalam buruj Virgo. Jarak keduanya ialah sekitar 7 darjah antara satu sama lain. Spica akan berada di sebelah kanan Bulan.

Halakan pandangan anda ke sebelah kiri Bulan pula. Mata anda akan tertumpu kepada sebuah bintang jingga yang terang. Ini ialah bintang Arcturus, bintang utama di dalam sebuah buruj yang agak besar, bernama Bootes. Bintang Arcturus ini ialah bintang ke-4 tercerah di langit.


23 Mac (Sabtu)

Screenshot 2019-03-17 at 9.35.16 PM.jpg

Planet Zuhrah, Zuhal dan Musytari terus menghiasi langit Subuh ketika ini.

Subuh ini, jangan lupa teruskan pemerhatian kepada planet Zuhrah. Jika anda masih ingat, beberapa bulan lepas, kedudukan planet ini lebih tinggi. Sekarang ia semakin lama semakin menjauhi Bumi, dan kedudukannya menghampiri Matahari. Ia akan terbit sedikit lewat pada hari-hari yang mendatang.


24 Mac (Ahad)

Screenshot 2019-03-17 at 9.37.26 PM.jpg

Jalur Bima Sakti yang dapat dilihat menjelang Subuh.

Subuh ini juga, jika anda suka merakam Bima Sakti, halakan kamera anda ke arah selatan. Ketika ini jalur atau kawasan Bima Sakti yang paling terang akan berada tinggi di langit.

Pusat galaksi kita ini berada di antara buruj Scorpius dan Sagittarius. Jika anda berada di kawasan yang gelap, Bima Sakti ini akan mudah kelihatan seperti satu jalur putih yang merentasi langit, bermula dari ufuk selatan menuju ke utara!

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...