Langit Minggu Ini 25-31 Mac 2019

Sepanjang minggu cuti sekolah ini, tumpukan pemerhatian kita pada langit sebelah Subuh. Kita akan dipaparkan dengan tarian 5 buah objek sistem suria yang terang-terang, berderet-deret dalam satu garisan hampir lurus!


25 Mac (Isnin)

Screenshot 2019-03-24 at 8.25.17 PM.jpg

Langit Subuh 25 Mac 2019

Kita mulakan dengan langit Subuh hari ini. Sekali lagi Bulan akan dilihat mula perlahan-lahan menghimpitkan diri dengan Musytari. Musytari akan berada di sebelah kiri Bulan, pada jarak yang agak jauh iaitu sekitar 28 darjah.

Planet Musytari sudah mula terbit sekitar 12:45 tengah malam (11:45 malam di Sabah) pada hari ini, dan menjelang hujung minggu nanti ia akan terbit 30 minit lebih awal!

Planet gergasi ini akan diikuti pula oleh Zuhal dan Zuhrah.

Jika anda tunggu sebentar sekitar 30 minit selepas Subuh, cuba pandang rendah ke ufuk timur. Jika bernasib baik, anda akan dapat intai planet kecil Utarid, yang baru sahaja muncul kembali ke langit sebelah Subuh ini!

Screenshot 2019-03-24 at 9.14.33 PM.jpg

Utarid sudah mula kelihatan rendah di ufuk timur, di sebelah bawah Zuhrah sepanjang minggu ini. Mudah dilihat sekitar 20-30 minit selepas azan Subuh.


26 Mac (Selasa)

Screenshot 2019-03-24 at 8.26.50 PM.jpg

Langit Subuh, 26 Mac 2019.

Bulan mula melintasi hampir dengan bintang merah Antares yang berada 8 darjah. Bulan bersama Antares dan Musytari membentuk segi tiga. Jika anda tidur lewat, Bulan, Musytari dan Antares ini sudah mula kelihatan sekitar jam 2 pagi (1 pagi di Sabah).


27 Mac (Rabu)

Screenshot 2019-03-24 at 8.27.58 PM.jpg

Langit Subuh, 27 Mac 2019.

Subuh ini, Musytari akan berada hanya 3 darjah dari Bulan. Kedua-dua objek ini boleh dimuatkan dalam satu medan pandangan yang sama. Jika ada teleskop berkuasa rendah atau panjang fokus yang pendek, Bulan dan Musytari boleh dirakam serentak!

Sementara itu, jangan lupa jenguk-jenguk rendah di ufuk timur. Planet Utarid semakin awal terbit dan semakin tinggi, serta menghampiri planet Zuhrah.


28 Mac (Khamis)

Screenshot 2019-03-24 at 8.29.01 PM.jpg

Langit Subuh, 28 Mac 2019.

Bulan sudah pun melintasi Musytari. Pagi ini ia bergerak menghampiri planet Zuhal.

Dalam erti kata lain, susunan pagi ini (bermula dari ufuk timur) ialah Utarid, Zuhrah, Zuhal, Bulan dan Musytari!

Screenshot 2019-03-24 at 8.34.59 PM.jpg

Fasa Bulan pada waktu Subuh, 28 Mac 2019, menghampiri fasa sukuan akhir.

Hari ini juga Bulan memasuki Fasa Sukuan Akhir pada jam 12:11 PM. Pada waktu Subuh ini, Bulan masih lagi mempunyai 6 jam sebelum ia tepat-tepat dalam fasa ini, maka kita akan dapat lihat garisannya tidaklah tepat berada di tengah-tengah.


29 Mac (Jumaat)

Screenshot 2019-03-24 at 8.31.23 PM.jpg

Langit Subuh, 29 Mac 2019.

Subuh ini, giliran planet Zuhal pula berada amat hampir dengan Bulan, iaitu pada jarak 3 darjah.

Agak malang bagi kita di Malaysia, kerana Zuhal akan dihijab oleh Bulan sekitar jam 1 tengahari, tetapi ketika itu waktu siang dan Bulan/Zuhal sudah pun terbenam.


30 Mac (Sabtu)

Screenshot 2019-03-24 at 8.32.23 PM.jpg

Langit Subuh, 30 Mac 2019.

Zuhal berada 9 darjah dari Bulan. Bulan kini mula bergerak ke arah Zuhrah.

Susunan hari ini ialah Utarid (di ufuk timur), Zuhrah, Bulan, Zuhal dan Musytari!


31 Mac (Ahad)

Screenshot 2019-03-24 at 8.33.07 PM.jpg

Langit Subuh, 31 Mac 2019.

Pagi Ahad ini, Bulan semakin menipis dan menghampiri Zuhrah. Utarid pula semakin cepat terbit dan mudah dilihat rendah di ufuk timur selepas Subuh.

Screenshot 2019-03-24 at 8.33.55 PM.jpg

Fasa Bulan pada Subuh, 31 Mac 2019. Fenomena Earthshine sudah mula boleh dilihat dengan mudah.

 

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...