Langit Minggu Ini 4-10 Mac 2019

Fenomena

Jom kita cuba lihat Bulan sabit tua dan muda dalam masa seminggu! 1 Rejab bakal menjelma! Berkenalan dengan Canopus, Big Dipper dan Summer Triangle!


4 Mac (Isnin)
Bulan semakin mengecil dan bergerak rendah ke langit ufuk timur. Deretan 4 buah dunia, iaitu Bulan, Zuhrah, Zuhal dan Musytari terus mendominasi langit Subuh.

Screenshot 2019-03-03 at 2.46.12 PM.jpg
Langit Subuh sebelah timur dari kawasan yang gelap dan jauh dari gangguan cahaya.

Jika anda berada di kawasan gelap, luar bandar dan tiada gangguan cahaya langsung, di kawasan langit sekitar planet-planet inilah terletaknya jalur Bima Sakti yang paling terang dan paling comel.

Halakan kamera dengan lensa wide-angle, set tetapan waktu dedahan paling panjang, sebaiknya 30 saat atau lebih lama. Jalur Bima Sakti sini selalunya memang mudah untuk dirakam.

Cuba tunggu sehari dua lagi, apabila Bulan tiada di situ. Langit akan lebih gelap dan pandangannya akan lebih menarik.

Satu poin yang menarik ialah Bulan ketika ini sedang berada hampir dengan titik apogee-nya. Maksud di sini ia berada paling jauh daripada Bumi. Maka itu, kalau kita tengok bulan sabit pagi ni, ia kelihatan sedikit kecil berbanding kebiasaan.

Screenshot 2019-03-03 at 2.52.36 PM.jpg
Pandangan barat sekitar 20 minit selepas Maghrib.

Pada waktu Maghrib, planet Utarid semakin rendah dan susah nak dicerap. Manakala planet Marikh masih kekal satu-satunya objek berwarna merah di sebelah barat, tetapi sederhana sahaja kecerahannya. Ia semakin jauh daripada Bumi.


5 Mac (Selasa)

Maghrib ini jom kita berkenalan dengan bintang KEDUA TERCERAH di langit. Namanya Canopus.

Nak mencari bintang ini agak senang sebab ia duduk berhampiran dengan bintang Sirius dan buruj Orion. Ia akan berada di langit sebelah selatan, tak lah begitu tinggi.

Salah satu cara nak kenal ialah bermula dengan 3 bintang sederet di Orion, halakan ke arah bintang tercerah, Sirius. Kemudian halakan pandangan anda terus ke bawah menuju ufuk selatan.

Screenshot 2019-03-03 at 3.09.48 PM.jpg
Jom cari Canopus

Bintang Canopus ialah sebuah bintang sebenarnya jauh lebih gah dan hebat berbanding Sirius. Ia kelihatan sedikit kelam sebab ia terletak lebih jauh. Kiraan terkini meletakkan Canopus pada jarak 310 Tahun Cahaya daripada Bumi.

Maknanya kita lihat bintang ni, keadaan rupa 310 tahun dahulu! Tahun 1709!

Akibat daripada pusingan paksi Bumi yang berubah sedikit demi sedikit (fenomena yang dipanggil sebagai precession), tak lama lagi bintang Canopus ini berada 10 darjah sahaja dari titik selatan di langit. Ia akan berlaku lebih kurang pada tahun 14,000 masehi!

😀


6 Mac (Rabu)

Menjelang tengah malam ni, cuba kita cari buruj Biduk. Ia akan kelihatan sedang terbit pada arah Timur Laut (North East).

Screenshot 2019-03-03 at 3.19.11 PM.jpg
Buruj Biduk

Buruj Biduk ini juga dikenali sebagai Ursa Major, di dalam peta bintang moden. Satu lagi nama yang popular ialah Big Dipper. Tapi sebenarnya Big Dipper yang terbentuk daripada 7 bintang tercerah di sini, bukanlah sebuah ‘constellation’. Ia adalah sebuah corak yang termasuk dalam kategori ‘asterim’. Asterim ni corak jugak cuma ia kadangkala lebih kecil atau gabung beberapa bintang lain dalam buruj lain.


7 Mac (Khamis)

Bulan memasuki fasa Bulan Baru (New Moon) pada jam 12:05 tengah malam.

Screenshot 2019-03-03 at 3.51.21 PM.jpg
Hilal 1 Zulhijjah 1439H yang dirakam dari PICC, Putrajaya. @shahgazer

Pada Maghrib ini, peluang untuk kita lihat Bulan 1 Rejab yang halus mulus rendah di ufuk barat. Lebih bagus kalau dapat tengok dari lokasi yang tiada halangan seperti di tepi pantai.

Screenshot 2019-03-03 at 3.02.01 PM.jpg
Hilal yang kecil dan halus berada rendah di ufuk barat selepas Maghrib.

8 Mac (Jumaat)

Maghrib ini, teruskan pemerhatian kita ke arah Bulan. Bentuk sabitnya semakin membesar dan menebal. Ia masih rendah di ufuk. Jangan lupa juga fenomena Earthshine yang memang senang sangat nak tengok waktu-waktu macam ni.

Screenshot 2019-03-03 at 3.05.00 PM
Bulan sabit halus 2 Rejab yang akan kelihatan Maghrib ini.

9 Mac (Sabtu)

Subuh ini jom kita bertemu sekali lagi dengan satu lagi bentuk asterim yang cantik, iaitu the Summer Triangle. Ia gabungan 3 buah bintang dari 3 buah buruj yang berlainan.

Paling terang dan tinggi ialah Vega, bintang di dalam buruj Lyra. Di bawahnya ialah bintang Deneb, dari buruj Cygnus dan terakhir ialah Altair, dari buruj Aquila.

Ketiga-tiga bintang ini dah mula senang dilihat di sebelah kiri dari planet Zuhrah.

Screenshot 2019-03-03 at 3.33.03 PM.jpg
The Summer Triangle yang terletak di sebelah kiri planet Zuhrah.

10 Mac (Ahad)

Maghrib ini, Bulan akan mula menghampiri planet Marikh. Planet merah ini terletak di sebelah kanan atas dari Bulan.

Screenshot 2019-03-03 at 3.39.29 PM.jpg
Langit selepas Maghrib hari ini.
0 0 votes
Article Rating
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments