Langit Minggu Ini 15-21 April 2019

Minggu ini sunyi sikit daripada fenomena langit yang bombastik. Semua bergerak tenang merentasi langit seolah-olah menanti kemunculan bulan Ramadhan! Bulan sekali lagi menziarahi bintang Spica, manakala di waktu Subuh, planet Zuhrah dan Utarid masih berpasangan rendah di ufuk timur.  Selain itu, kita berpeluang mencari kedudukan lohong hitam di galaksi M87!


15 Apr (Isnin)

Screenshot 2019-04-15 at 3.21.22 PM.jpg

Kedudukan Bulan dan bintang Regulus sekitar waktu Isya hari ini.

Selepas Maghrib hari ini, sebuah bintang bernama Regulus akan berada 3 darjah di sebelah atas dari Bulan.  Pasangan objek ini akan dapat dilihat bermula Maghrib hinggalah lewat tengah malam atau 2 jam menjelang Subuh.

Regulus ialah bintang tercerah di dalam buruj Leo. Buruj Leo ini menggambarkan seekor singa yang sedang duduk. Jika dari langit Malaysia, ia nampak seperti menegak ke atas.

Regulus dengan beberapa buah bintang lain di sekitarnya, membentuk satu corak yang digelar “Sickle”. Ia seperti huruf ‘?’ yang terbalik. Cuba lihat bentuk ‘Sickle’ ini malam nanti.

Screenshot 2019-04-15 at 3.28.03 PM.jpg

Bentuk ‘Sickle’ (warna jingga) seperti tanda soal yang terbalik.


16 April (Selasa)

Subuh ini, alihkan pemerhatian kita rendah di ufuk timur. Kelihatan planet Zuhrah masih lagi terang bersinar, tetapi kedudukannya semakin hari semakin rendah. Dalam masa beberapa bulan nanti, ia akan hilang ditelan cahaya Matahari.

Screenshot 2019-04-15 at 4.24.13 PM.jpg

Zuhrah dan Utarid di ufuk timur. Boleh dilihat sepanjang minggu ini.

Masih ada peluang melihat planet Utarid. Ia berada di sebelah bawah Zuhrah. Nak lebih selesa, cuba lihat sekitar 30 minit selepas Subuh, bagi peluang kedua-dua planet ini tinggi sikit.

Untuk sepanjang minggu ini, kedua-dua planet ini boleh dilihat pada kedudukan yang lebih kurang sama setiap pagi. Cuma, ia akan beranjak sedikit demi sedikit ke sebeha utara (atau ke kiri).


17 April (Rabu)

Bulan berada pada kedudukan paling hampir dengan Bumi, juga dikenali sebagai Perigee. Momen ini berlaku pada jam 6:03 AM, dan ia berlaku selang 2 hari 13 jam sebelum fasa Bulan Penuh. Jarak Bulan ketika ini ialah  364208 km


18 April (Khamis)

Bintang Spica berada 10 darjah dari Bulan. Lihat selepas Maghrib hingga ke tengah malam.

Screenshot 2019-04-15 at 3.47.29 PM.jpg

Kedudukan Bulan dan bintang Spica pada malam ini, 18 April 2019

Minggu lepas kita dikejutkan dengan gambar pertama Lohong Hitam yang terletak di dalam sebuah galaksi bernama M87. Galaksi ini terletak di dalam buruj Virgo. Ia tidak begitu cerah dan memerlukan sebuah teleskop berkuasa tinggi serta langit yang gelap, untuk betul-betul dalam mencerapnya.

Namun begitu bagi yang berminat nak tahu di manakah kedudukan M87 ini, boleh gunakan langit malam ini sebagai panduan.

SkySafari_6_Pro_-__CurrentSettings_.jpg

Mencari kedudukan galaksi M87 dan lohong hitamnya, berpandukan Bulan dan bintang Spica.

Malam ini sekitar waktu Isya’, apabila Bulan dan Spica mudah kelihatan, unjurkan satu garisan bermula dari  bintang Spica ke arah Bulan. Kemudian teruskan ‘lukis’ garisan ini ke arah yang sama, sehinggalah bertemu dengan kawasan langit di sebelah kiri Bulan.

Galaksi M87 dan lohong hitamnya berada di kawasan itu. Sudut jaraknya dengan Bulan, sama dengan jarak Bulan dengan bintang Spica. Memanglah dengan mata kita tak akan nampak apa-apa, tetapi sekurang-kurangnya kita boleh tahu secara kasar di manakah kesemua 8 teleskop radio EHT dihalakan pada malam bulan April 2017 yang lalu!


19 April (Jumaat)

Bermula tengah malam ini hingga ke Subuh, juraian Meteor Lyrids akan memuncak. Waktu puncak sebenarnya ialah pada jam 8 pagi tetapi ketika itu sudah siang di Malaysia.

Malangnya untuk tahun ini, cahaya Bulan Penuh akan mengganggu kenampakan meteor-meteor ini. Selalunya silauan cahaya ini akan menenggelamkan meteor-meteor yang kelam. Hanya yang terang-terang sahaja mungkin akan dapat dilihat.

Apa pun, prospek Meteor Lyrids kali ini tidak bagus.

Sebelah Maghrib,  Bulan sudah mula bergerak ke bawah bintang Spica, pada jarak yang sama seperti semalam, iaitu 10 darjah.

Jangan lupa menjenguk sekali lagi bintang terang berwarna jingga, Arcturus yang berada di sebelah kiri Bulan.

Screenshot 2019-04-15 at 3.47.37 PM.jpg

Kedudukan Bulan dan bintang Spica pada malam ini, 19 April 2019

Fasa Bulan Penuh akan berlaku pada jam 7:12 PM

 

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...