Langit Minggu Ini 13-19 Mei 2019

Ramadan memasuki minggu ke-2! Marikh semakin pudar, Zuhrah pula semakin rendah, Musytari mula kelihatan selepas Isya’. Jejaki bintang Polaris berpandukan buruj Biduk. Uranus pula menziarahi Zuhrah.


13 Mei (Isnin)

Kita mulakan pemerhatian minggu ini bermula Maghrib. Cuba jejaki planet Marikh. Ia sekarang amat kecil dan agak pudar di langit. Tidak seterang yang pernah kita dapat lihat pada tahun lepas. Malah, untuk mencarinya di langit pun agak mencabar.

Kedudukannya sekarang ialah di sisi sebelah kanan buruj Orion. Cuba pandang arah barat, rendah di ufuk sekitar 30-40 minit selepas Maghrib nanti.

SkySafari_6_Pro_-__CurrentSettings_.jpg

Kedudukan Marikh berdasarkan panduan daripada buruj Orion.

Marikh akan kelihatan seperti sebutir bintang merah yang sederhana terang. Bintang Betelgeuse di dalam buruj Orion itu pun lebih terang berbanding planet ini!

Jom cuba tengoknya sebelum ia hilang daripada pandangan selama beberapa bulan!


14 Mei (Selasa)

Bulan berada dalam kedudukan perigee (paling hampir dengan Bumi) pada jam 5:54 AM. Jaraknya pada ketika ini ialah 369015 km. Momen ini berlaku 4 hari 23 jam sebelum masuknya fasa Bulan Penuh.


15 Mei (Rabu)

Selepas Isya’ hari ini, cuba pandang ke arah utara. Buruj popular bernama Biduk, atau Big Dipper sedang berada tinggi di langit utara.

Buruj Biduk ini sungguh popular di kalangan pelayar zaman dahulu kerana dua buah bintangnya, Merak dan Dubhe, apabila kita unjurkan garisan daripada kedua-dua bintang ini, ia akan menunjuk tepat ke arah bintang utara, Polaris.

SkySafari_6_Pro_-__CurrentSettings_.jpg

Cuba cari bintang Polaris berpandukan buruj Biduk.

Di Malaysia, hanya negeri-negeri di sebelah utara sahaja berpeluang melihat bintang Polaris rendah di ufuk timur dengan ‘agak mudah’. Itupun anda perlukan keadaan langit yang tiada awan.

Dalam masa beberapa bulan mendatang ini, cubalah cari peluang mengintai Polaris berpandukan buruj ini.


16 Mei (Khamis)

Bulan akan melintasi bintang Spica. Jarak di antara kedua objek ini ialah sekitar 7 darjah. Lihat selepas Isya hingga ke Subuh keesokannya.

SkySafari_6_Pro_-__CurrentSettings_.jpg

Bulan berada 7 darjah dari bintang Spica.


17 Mei (Jumaat)

Malam ini (dan juga sama seperti malam-malam lain sebelum ini), sekitar 2 jam lepas Isya’, atau bila dah selesai solat terawih 20 rakaat, cuba pandang arah ke sebelah timur.

Rendah di ufuk dan sedang terbit ialah planet Musytari!

Dalam diam-diam, rupa-rupanya planet Musytari ini sudah mula kembali muncul di langit pada awal malam!

SkySafari_6_Pro_-__CurrentSettings_.jpg

Planet Muystari sudah mula kelihatan sekitar 2 jam selepas Isya’. Cuba cari planet ini di langit sebelah timur.

Kehadiran planet gergasi ini bakal memeriahkan langit kita hingga hujung tahun 2019. Jika anda mempunyai teleskop, halakan ke arahnya dan perhatikan rupa bentuk awannya yang berjalur-jalur, serta kehadiran 4 buah satelit semulajadinya yang terang.


18 Mei (Sabtu)

Subuh ini, jom kita perhatikan planet Zuhrah. Planet ini sekarang semakin rendah di ufuk timur. Dari hari ke hari, ia semakin lewat terbit. Namun disebabkan planet ini amat terang, walaupun rendah di kaki langit timur, ia tetap senang untuk dijejaki.

SkySafari_6_Pro_-__CurrentSettings_.jpg

Planet Zuhrah rendah di ufuk timur sekitar 30 minit selepas Subuh.

Jika anda mempunyai teleskop berkuasa sederhana, halakan ke arah planet ini pada pagi ini dan esok (19 Mei). Andaikata cuaca mengizinkan, anda akan dapat lihat planet Uranus berada di sebelah kirinya.

Jarak lengkung Uranus dan Zuhrah ialah sekitar 1 darjah 23 minit pada pagi ini, dan 1 darjah 6 minit pada esoknya.

SkySafari_6_Pro_-__CurrentSettings_.jpg

Zuhrah dan Uranus apabila dilihat menerusi teleskop berkuasa sederhana.

Cuba cerap kedua-dua planet ini sekitar 30 minit selepas Subuh. Agak mencabar kerana keadaan langit semakin cerah pada waktu itu. Namun tidak mustahil untuk melihatnya.


19 Mei (Ahad)

Bulan memasuki fasa Bulan Penuh pada jam 5:11 AM ini.

Pada waktu Maghrib,  bintang Antares akan berada 8 darjah dari Bulan. Menariknya, kedua-dua objek ini bersama-sama dengan planet Musytari akan membentuk segi tiga yang cantik. Perhatikan formasi ini bermula waktu Isya’ hinggalah ke Subuh esoknya (20 Mei).

SkySafari_6_Pro_-__CurrentSettings_.jpg

Bulan, Musytari dan bintang Antares sekitar 2 jam selepas Isya hari ini.

 

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...