Langit Minggu Ini 20 – 26 Mei 2019

Kita sudah memasuki minggu ke-3 Ramadan! Cepat betul masa berlalu. Bulan akan melepasi fasa purnamanya. Sepanjang minggu ini ia akan melintasi hampir dengan planet Musytari dan Zuhal. Peluang untuk anda yang pertama kali mahu menjejaki planet-planet ini di langit malam.


20 Mei (Isnin)

Malam ini, sekitar 2 jam selepas Isya’, kita akan disajikan dengan satu pemandangan indah, pasangan Bulan dan Musytari. Kedua-dua objek ini berada sebelah-menyebelah. Jarak lengkung antara Bulan dan Musytari ini ialah sekitar 2 darjah sahaja.

Jika anda belum pernah melihat Musytari di langit, inilah peluang terbaik untuk mengenalinya. Perhatikan betapa terang dan jelasnya planet ini. Ia lebih terang daripada bintang tercerah di langit iaitu Sirius!

SkySafari_6_Pro_-__CurrentSettings_.jpg

Bulan dan Musytari apabila ia terbit pada malam ini, sekitar 2 jam selepas Maghrib di arah timur. 

Kedua-dua objek terang ini akan kelihatan sepanjang malam hingga ke Subuh keesokannya.

Menerusi teleskop, Musytari akan memaparkan jalur-jalur awan yang sungguh menarik. Jika kita mengamatinya dengan teliti selang beberapa hari, mungkin akan dapat lihat perubahan strukur awan ketika ia bergerak-gerak merentasi atmosferanya.

Dalam masa tak sampai 3 minggu lagi Musytari akan berada bersetentang dengan Matahari. Ia akan terbit sebaik sahaja waktu Maghrib dan akan kelihatan terang sepanjang malam hingga ke Subuh!

Jupiter 20 May 2019.001.jpeg

Musytari yang dirakam pada sekitar jam 6 pagi, 20 Mei 2019. @shahgazer


21 Mei (Selasa)

SkySafari_6_Pro_-__CurrentSettings_.jpg

Bulan dan Musytari sekitar 2 jam selepas Isya hari ini.

Malam ini, Bulan sudah bergerak ke arah timur dari planet Musytari. Fasa Bulan sudah pun melepasi fasa purnama, maka bentuknya tidaklah bulat.

SkySafari_6_Pro_-__CurrentSettings_.jpg

Bulan yang terbit malam ini sudah pun melepasi fasa purnama. Oleh itu jangan rasa pelik apabila melihat bentuknya yang ‘tak bulat’.


22 Mei (Rabu)

Subuh ini, sekali pagi perhatikan Bulan. Kali ini cuba cari planet Zuhal. Ia akan kelihatan di sebelah kiri atas dari Bulan. Malah, kalau kita tengok betul-betul, Zuhal, Bulan dan Musytari berada dalam kedudukan sebaris!

SkySafari_6_Pro_-__CurrentSettings_.jpg

Bulan berada di antara Zuhal dan Musytari sekitar waktu Subuh hari ini.


23 Mei (Khamis)

Subuh ini lagi best. Bulan akan melintasi amat hampir dengan Zuhal, iaitu sekitar 1 darjah sahaja. Jika anda mempunyai teleskop berkuasa rendah, kedua-dua objek ini dapat dilihat serentak dalam satu medan pandangan teleskop itu!

SkySafari_6_Pro_-__CurrentSettings_.jpg

Bulan berada hampir dengan planet Zuhal.


26 Mei (Ahad)

Hari ini pada jam 9:28 malam, Bulan akan berada di kedudukan apogee (paling jauh dari Bumi), pada jarak 404133 km. Saat ini berlaku  7 hari 16 jam selepas fasa Bulan Penuh dan menghampiri fasa Sukuan Akhir.

Jika anda mengamati Bulan pada Subuh keesokannya (27 Mei), ia akan kelihatan sedikit kecil berbanding hari-hari biasa.

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...