Silauan cahaya satelit Starlink bakal merosakkan keindahan langit malam?

Anda mungkin telah membaca berita mengenainya dan mungkin tertanya-tanya, apakah sebenarnya isu mengenai satelit Starlink ini.

Ini kisahnya.

Pada hujung minggu lepas, SpaceX, syarikat kepunyaan orang kaya Elon Musk, telah melancarkan sekumpulan satelit-satelit kecil bernama Starlink. Satelit ini bertujuan untuk meluaskan lagi capaian internet ke seluruh dunia. Satu usaha yang menarik jika kita lihatnya daripada sudut perkembangan teknologi.

Namun, setelah satelit-satelit ini (60 buah kesemuanya) dilancarkan dan mula masuk ke dalam orbit, beberapa laporan awal daripada peminat astronomi amatur serta peminat satelit telah menunjukkan cahaya yang dipantulkan oleh satelit ini ke Bumi amat cerah!.  Malah apabila ia muncul di langit, ia kelihatan seperti satu deretan cahaya, atau light train, yang bergerak merentasi langit dari ufuk ke ufuk. Sebelum ini tiada siapa pun mengagak betapa cerahnya satelit-satelit ini yang akan dilihat, tetapi setelah ia dilihat sendiri oleh puluhan pencerap langit, tiba-tiba ia menjadi satu isu yang besar.

Ramai yang meluahkan kerisauan dengan mengatakan cahaya terang ini akan mengganggu kemampuan kita melihat objek-objek serta mempunyai impak yang besar terhadap kajian astronomi yang menggunakan teleskop dari Bumi (earth-based observatories).

Cuba lihat sendiri video yang dirakam oleh Dr. Marco Langbroek ini!

Kalau tak silap, ini merupakan video pertama yang berjaya merakam deretan cahaya daripada Starlink. Selepas itu, semakin ramai pencerap langit mula berjaya menjejaki pergerakan satelit-satelit ini dan merakamnya.

Brady Kenniston merakam pergerakan pada 27 Mei lepas.

Pakar astrofoto, Alan Dyer merakam pergerakan Starlink merentasi buruj Biduk.

Pete Lawrence merakam Starlink yang berubah-ubah kecerahan hasil sudut pantulan cahaya matahari yang sentiasa berubah ketika satelit ini bergerak dalam orbit.

Buat pengetahuan semua, di sekeliling Bumi kita sekarang ini pun sudah ada lebih kurang 5000 buah satelit, dan 2000 daripadanya masih berfungsi. Namun majoritinya kelam dan susah dilihat dengan mata. Hanya yang terang-terang seperti ISS, Tiangong-2 dan teleskop Hubble sahaja yang boleh dilihat dengan mata kasar dengan mudah.

Dalam kes Starlink ini, 60 buah satelit yang dilancarkan itu baru batch yang pertama! Jumlah sebenarnya ialah 12,000 kesemuanya!

mak aiii…

Jumlah yang besar ini akan memberi masalah kepada proses pengimejan objek-objek di langit. Menurut Darren Baskill, pegawai dari University of Sussex, “Kebarangkalian satelit-satelit ini merentasi medan penglihatan teleskop akan semakin kerap berlaku dan akan mencemarkan pandangan kita terhadap alam semesta”. Ujar beliau lagi “proses untuk membuang cahaya daripada satelit ini akan mencari semakin sukar!”

Saya cuba jelaskan sedikit berdasarkan pengalaman saya. Untuk merakam objek angkasa di langit waktu malam, kita perlu tetapkan waktu dedahan pada kamera-kamera dalam satu jangka waktu yang panjang, contoh 3 minit, 5 minit atau mungkin berjam-jam, untuk satu-satu kawasan di langit. Sebelum ini, dalam foto-foto yang dirakam, ada kelihatan banyak garis-garis halus yang merentasi foto ini. Garis ini sebenarnya ialah satelit-satelit yang kebetulan bergerak di dalam medan pandangan kamera itu.

Itu baru sedikit. Jika SpaceX melancarkan kesemua 12,000 buah satelit yang halus-halus, bayangkanlah betapa teruknya gambar yang akan dirakamkan itu nanti!

adusssss!!!

Buat masa ini, respon Elon Musk mengenai potensi pencemaran yang mungkin dihasilkan oleh Starlink sungguh kebudak-budakan! ^(*$&#(*&*#

Kalau ikut logik orang kaya Elon Musk ni, kita perlu letak lebih banyak teleskop di dalam orbit! Kalaulah senang sangat nak buat macam tu, maknanya sekarang ni dah berpuluh-puluh teleskop yang ada di atas sana! Realitinya tidak begitu!

Penentangan terhadap amukan kominiti sains dan astronomi amatur dunia mengenai isu ini bukan sahaja datang daripada Elon Musk, tetapi ada ramai peminat atau penyokong beliau yang membela usaha ini atas nama ‘kemajuan dan kesejahteraan manusia’.

Saya sendiri sebagai pencerap tegar langit mengakui agak risau dengan kehadiran cahaya-cahaya merapu ini.

Namun, sehingga hari ini belum ada kajian menyeluruh mengenai kesan cahaya yang dibuat oleh 12,000 buah satelit! Ini kali pertama dalam sejarah kita berdepan dengan isu ini. Isu baru!

Apabila artikel ini ditulis, deretan cahaya Starlink semakin pudar. Satelit-satelit ini sudah mula masuk ke dalam orbit yang lebih tinggi. Lebih tinggi bermaksud lebih jauh dari Bumi, dan lebih kelam cahaya matahari yang dipantul oleh satelit-satelit ini.

Sejauh mana kelam atau terang nanti, tiada siapa yang boleh mengagak setakat ini. Jika anda berminat untuk mengejar atau menjejaki pergerakan Starlink, serta nak tahu tarikh dan waktu apabila ia melintasi langit Malaysia, boleh cuba lakukan kiraan di laman web seperti Heavens-Above.com dan N2YO.com

Jika anda berminat untuk mengetahui respon dan perbincangan lebih terperinci dari komuniti astronomi profesional dan amatur, saya syorkan pautan #starlink atau #starlinktrain

Apakah nasib langit malam kita nanti?

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...