Jom saksikan Gerhana Bulan Separa – 17 Julai 2019

Pada awal pagi, 17 Julai 2019 nanti kita berpeluang menyaksikan sekali lagi fenomena Gerhana Bulan Separa. Kali terakhir kita dapat menyaksikan gerhana bulan menghiasi langit Malaysia ialah setahun yang lalu, iaitu pada Julai 2018.

Screenshot 2019-06-25 at 10.39.31 AM.jpg

Gerhana Bulan Separa yang dirakam pada 31 Jan 2018. @shahgazer

Gerhana Bulan berlaku apabila Bulan memasuki kawasan bayang-bayang Bumi. Namun tidak semua gerhana ini berlaku dalam bentuk yang sama. Perbezaannya bergantung kepada kawasan bayang-bayang Bumi yang mana satu, yang sedang dilalui oleh Bulan.

Bayang-bayang Bumi ada 2 kawasan yang dikenali sebagai umbra (paling gelap) dan penumbra (kurang gelap).

Posisi Bulan yang sedikit ‘ke atas’ dari satah Matahari dan Bumi, menyebabkan hanya sebahagian sahaja yang akan terlindung dan memasuki kawasan bayang-bayang umbra Bumi. Kredit timeanddate.com

Orbit Bulan pula senget 5 darjah daripada satah orbit Bumi dan Matahari. Kesannya ialah, walaupun setiap bulan, Bulan akan berada segaris dengan Bumi dan Matahari, tetapi ada kalanya ia berada sedikit ke atas atau ke bawah daripada orbit Bumi. Jika ini berlaku, tiada fenomena gerhana akan berlaku.

Kali ini, Bulan akan kembali masuk ke kawasan bayang-bayang Bumi, tetapi disebabkan hanya sebahagian jasadnya sahaja yang akan masuk ke kawasan umbra, maka ia tidak akan gelap sepenuhnya. Justeru ia dipanggil sebagai Gerhana Bulan Separa.


Fasa Gerhana

Menurut Fred Espanak, waktu-waktu penting fasa gerhana ini adalah seperti di bawah. Saya telah menukar waktunya kepada waktu Malaysia atau mana-mana negara yang berbeza 8 jam dari waktu greenwich.


P1 – Fasa penumbra bermula (mula masuk ke dalam penumbra) – 2:43 am 17 Julai 2019


U1 – Fasa separa bermula (mula masuk dalam umbra) – 4:01 am 17 Julai 2019


Kemuncak Gerhana – 5:30 am 17 Julai 2019


U4 – Fasa separa tamat (keluar sepenuhnya dari umbra) – 6:59 am 17 Julai 2019


P4 – Fasa penumbra tamat (keluar sepenuhnya dari penumbra) – 8:17 am 17 Julai 2019


Berdasarkan waktu-waktu di atas, secara amnya hampir keseluruhan fasa Gerhana Bulan Separa dapat dilihat di seluruh Semenjung Malaysia. Cuma anda di Sabah dan Sarawak akan terlepas peluang untuk melihat fasa ketika Bulan mula keluar daripada kawasan umbra selepas kemuncak gerhana.

PLE2019.2019-06-25 10_37_56.gif

Animasi GIF menunjukkan laluan Bulan merentasi bayang-bayang Bumi.

Selain Malaysia, gerhana ini dapat dilihat di Australia, hampir keseluruhan Asia, Afrika, Eropah dan Amerika Selatan.

Screenshot 2019-06-25 at 10.48.07 AM.jpg

Peta kawasan dunia yang dapat menyaksikan fenomena ini. Sumber.


Apa yang akan dapat dilihat?

Berikut adalah beberapa poin penting ketika melihat gerhana ini nanti.

  1. Gerhana Bulan Separa akan menyebabkan hanya sebahagian Bulan sahaja menjadi gelap.
  2. Bulan tidak akan menjadi kemerahan seperti Gerhana Bulan Penuh. Kita hanya dapat lihat bahagian putih terang dan gelap sahaja.
Screenshot 2019-06-25 at 9.58.02 AM.jpg

Fasa kemuncak Gerhana Bulan Separa pada jam 5:30 pagi, 17 Julai 2019.

Jangan keliru dengan paparan daripada aplikasi astronomi yang ada. Kebanyakkannya akan memaparkan warna merah pada bahagian gerhana tu. Hakikatnya jika kita lihat dengan mata kasar, ia tetap hitam.

Screenshot 2019-06-25 at 10.05.08 AM.jpg
Fasa Gerhana Bulan Separa yang dirakam oleh penulis pada 2017 yang lalu. @shahgazer 

Foto di atas dirakam pada 2017. Berdasarkan simulasi SkySafari 6 Pro, saya jangkakan bahagian umbra (gelap) ketika kemuncak gerhana ini nanti akan lebih besar/banyak berbanding kejadian 2017 yang lepas.

Screenshot 2019-06-25 at 10.10.13 AM.jpg

Ton warna kemerahan yang dirakam menerusi kamera, sebelum fasa gerhana bulan penuh yang berlaku pada Julai 2018 lepas. @shahgazer

Apabila diperiksa kembali foto-foto gerhana yang dirakam pada tahun lepas, saya dapati ton kesan warna kemerahan masih boleh dilihat tetapi hanya menerusi kamera sahaja. Foto di atas dirakam apabila saya menetapkan waktu dedahan yang agak lama. Bahagian Bulan yang terang akan kelihatan overexposed  tetapi bahagian gelapnya akan dapat dilihat lebih jelas dan ton kemerahan itu dapat dirakam.

Seingat saya, ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Oleh itu, saya syorkan bagi anda yang memiliki kamera DSLR, boleh cuba bermain-main dengan waktu dedahan bagi menampakkan warna itu.

Fakta lain ketika berlaku Gerhana Bulan Separa kali ini.

  1. Ia akan berlaku 2 minggu SELEPAS Gerhana Matahari Penuh yang akan dapat dilihat di Amerika Selatan pada 2 Julai 2019.
  2. Ia akan berlaku 5 bulan SEBELUM Gerhana Matahari Cincin yang akan dapat dilihat di Malaysia pada 26 Disember 2019 nanti.
  3. Planet Zuhal akan berada di sebelah bawah Bulan, manakala Musytari sedang terbenam di ufuk barat.
  4. Bulan akan berada di dalam kawasan buruj Sagittarius, berhampiran dengan lingkaran Bima Sakti.
  5. Pluto berada hampir dengn Bulan, tetapi memerlukan teleskop yang besar untuk melihatnya. Mata kasar tak nampak.
  6. Ia berlaku awal hari Rabu. esoknya kerja. Jangan ponteng kerja! 😉

Selamat mencerap!

 

 

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...