Hayabusa2 melakar sejarah dengan berjaya mengumpul sampel bawah permukaan asteroid Ryugu

Semalam, prob angkasa kepunyaan Jepun, Hayabusa2, menjadi prob pertama di dalam sejarah penerokaan angkasa lepas yang berjaya mengumpul bahan-bahan di bawah permukaan sebuah asteroid. Menerusi data yag diperolehi daripada Hayabusa2 ini, Japan Aerospace Exploration Agency (JAXA) mengumumkan pendaratan serta perlepasan ‘peluru’ untuk tujuan pensampelan telah berjaya dilakukan.

Berdasarkan twit dari akaun rasmi @haya2e_jaxa , prob ini telah mendarat pada jam 10:06 am waktu Jepun semalam, 11 Julai 2019.

Jika ada yang masih ingat pada bulan Februari lepas, Hayabusa2 telah pun melakukan aktiviti yang serupa dengan menembak sebutir peluncur ke arah permukaan asteroid Ryugu ini dan menyebabkan debu-debu di atas permukaan asteroid ini terhambur keluar dan dikumpulkan oleh prob berkenaan.

Kali ini ia sedikit berbeza. Misi semalam ialah untuk mengumpul bahan-bahan DI BAWAH permukaan asteroid ini. Sesuatu yang belum pernah dilakukan oleh manusia dan juga amat penting dalam usaha kita mempelajari proses pembentukan awal sistem suria ini.

Apa yang telah dilakukan oleh Hayabusa2 ialah pada bulan April lepas, ia telah melepaskan satu alat penghentam (impactor) yang diperbuat daripada tembaga. Hasil hentaman kuat itu, ia telah membentuk sebuah kawah buatan manusia yang mana di sekeliling kawah itu dipenuhi dengan habuk dan debu yang terkeluar daripada bawah permukaan. Bahan-bahan ini amat penting bagi saintis kerana ia terpelihara daripada kesan cuaca angkasa yang terdiri daripada sinaran kosmik dan partikel yang datang daripada Matahari.

Dalam erti kata lain, bahan-bahan ini ‘masih suci’… ‘suci dalam debu’!

Pada 9 dan 10 Julai, prob ini telah perlahan-lahan bergerak menghampiri asterod ini. Kita kena ingat, graviti asteroid ini amat lemah. Pengendali prob ini terpaksa menggunakan penujah roket secara berhati-hati. Kemudian apabila ia berada pada jarak 30 meter di atas permukaan, prob ini mengesan kembali ‘kawah buatan manusia’ tadi dan secara automatik menyelaraskan kedudukan supaya berada tepat di atasnya. Prob ini pun melakukan pendaratan.

Pendaratan ini berlaku dalam masa beberapa saat sahaja. Ketika itu ia sekali lagi menembak dengan satu peluncur kecil. Ini menyebabkan sekali lagi habuk dan debu terpelanting keluar dari bawah permukaan asteroid itu dan masuk ke dalam tiub pengumpul.

Menarik di sini ialah, kita tak akan tahu berapa banyak sampel yang telah berjaya masuk ke dalam tiub ini, sehinggalah Hayabusa2 kembali ke Bumi nanti.

Misi kedua ini mempunyai risiko yang amat tinggi. Hayabusa2 telah pun melakukan pengumpulan sampel dalam pendaratan pertamanya pada Februari lepas. Maknanya jika misi kedua ini gagal dan prob ini rosak atau gagal berfungi, saintis akan kehilangan kesemua sampel yang cuba di bawa pulang tu!

Namun begitu, berdasarkan apa yang dikatakan oleh ahli pasukan Hayabusa 2, Takashi Kubota, seperti mana dilaporkan oleh New Scientist, “Ia adalah suatu kejayaan, kejayaan yang besar. Kami telah berjaya melaksanakan semua prosedur yang dijadualkan”.

Kalau tengok gambar di bawah ni pun, kita dah boleh agak samada berjaya atau tidak misi kali ini!

Foto di bawah dirakam pada jam 10:08:53 JST, 11 Julai 2019 ketika Hayabusa2 sedang naik semula. Boleh lihat kesan hemtaman peluncur tu!

(Image credit ※: JAXA, University of Tokyo, Kochi University, Rikkyo University, Nagoya University, Chiba Institute of Technology, Meiji University, University of Aizu and AIST.)

Foto di bawah ini pula menunjukan momen prob sedang berada di atas permukaan asteroid ini.

Foto menerusi kamera CAM-H (Kredit: JAXA)

Dan yang ini ialah keadaan permukaan yang telah dihentam, lebih kurang 4 saat selepas pendaratan tadi!

Foto menerusi kamera CAM-H (Kredit: JAXA)

 

(Jika tiada gambar yang keluar di atas, sila ke link asal ini)

Selepas ini prob Hayabusa2 akan mula bersiap sedia kembali ke Bumi lewat tahun 2020 nanti. Sampel-sampel ini dijangka akan dilepaskan masuk ke atmosfera Bumi, manakala prob utama Hayabusa2 ini akan kekal di angkasa lepas. Khabarnya mungkin jika JAXA ada bajet lebih, ia akan menziarah asteroid lain pula!

Keseluruhan misi ini sungguh mengkagumkan. Saya suka melihatnya daripada sudut teknologi kawalan dan betapa terperincinya perancangan dalam sistem perkomputeran yang dibangunkan oleh JAXA.

Bayangkanlah, semua ini berlaku di atas sebuah asteroid kecil bersaiz 870 meter sahaja dan berada sejauh 290 JUTA km daripada Bumi! Isyarat yang dihantar ke sana terpaksa mengambil masa 20 minit dan ketepatan pergerakan prob ini mendarat di atas Ryugu dalam ralat 1 meter sahaja!

Anak beranak Ultraman sure bangga!

 

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...