Saksikan planet Zuhal di posisi istiqbal pula!

Giliran Zuhal pula! Selepas tengah malam nanti, jam 12:52 AM 10 Julai 2019, planet gergasi bergelang ini akan berada di dalam posisi bersetentang dengan Matahari, juga dikenali sebagai istiqbal atau opposition.

Ketika ini Bumi bergerak di antara Zuhal dan Matahari. Di langit, kita akan dapat lihat planet ini terbit sebaik sahaja Matahari terbenam pada waktu Maghrib. Ia akan kelihatan di langit sepanjang malam hinggalah ke Subuh.

Namun jangan keliru dan terlampau fokus kepada tarikh dan waktu di atas, kerana planet ini boleh je kelihatan setiap hari. Cuma momennya sahaja yang agak istimewa. Hakikatnya, planet ini akan mendominasi langit kita sepanjang bulan ini, Ogos, September malah hingga ke hujung tahun 2019!

Menerusi pandangan mata kasar, ia kelihatan seperti sebutir bintang kekuningan yang terang di sebelah timur. Ia berada di dalam buruj Sagittarius, berhampiran dengan kawasan lingkaran Bima Sakti yang terang tu!

Screenshot 2019-07-09 at 9.41.49 AM.jpg

Zuhal sudah mula kelihatan tinggi sekitar waktu Isya’ sekarang ni. 

Jika anda masih keliru dengan kedudukan planet ini di langit, jadikan Musytari sebagai panduan. Planet Musytari ini sungguh terang dan memukau pandangan kita di sebelah timur sebaik sahaja Maghrib. Berpandukan planet gergasi ini, arahkan pandangan ke bawah. Mata anda akan bertemu dengan sebutir ‘bintang’ yang terang, Itulah Zuhal!

Video Langit Minggu Ini 8-14 Julai 2019 ini ada menerangkan mengenai kedudukan Zuhal di langit.

Tahun ini, gelang planet Zuhal masih kelihatan luas dan terbuka. Sudut pandangan ini akan berubah dari tahun ke tahun, dan ada satu ketika kita akan melihatnya dari sudut tepi sahaja dan gelangnya seolah-olah seperti satu garis lurus!

Kita masih bernasib baik untuk tahun 2019 ini, ia masih cantik dan awesome.  Saya sempat rakam planet ini beberapa bulan lepas (foto bawah) dan inilah bentuknya jika kita lihat menerusi teleskop nanti.

47933368941_568f9e664b_z
Zuhal yang dirakam pada 25 Mei 2019 lepas. @shahgazer 

Ye betul, anda perlukan sebuah teleskop untuk melihat bentuk gelangnya. Planet ini berada amat jauh dari Bumi ia kelihatan kecil sahaja, walaupun secara realitinya ia hampir 10 kali ganda lebih besar daripada Bumi!

Maka, alat seperti teleskop diperlukan. Namun begitu teleskop kecil pun sudah memadai, tak perlu yang besar-besar. Rupa bentuk Zuhal ini unik dan lain daripada yang lain!

Janganlah pula risau jika anda pernah terbaca mengenai kemungkinan gelang ini akan hilang tak lama lagi. Ia bukanlah kejadian yang akan berlaku dalam jangka hayat manusia!

Muncul dan hilangnya gelang Zuhal ini adalah disebabkan paksi putaran Zuhal ini senget sedikit seperti Bumi. Kesannya ialah ketika Bumi dan Zuhal bergerak di dalam orbit, sudut pandangan terhadap gelang ini akan berubah-ubah.

Simulasi di bawah saya janakan menerusi SkySafari 6 Pro yang cuba menunjukkan perubahan sisi pandangan gelang itu dari hari ke hari selama beberapa tahun.

Fenomena istiqbal atau opposition ini berlaku bukan sahaja dengan Zuhal, tetapi semua planet yang berada di orbit di belakang Bumi. Ini termasuklah Marikh, Musytari. Uranus, Neptune, Pluto dan segala macam objek lain di sana!

Fakta menarik jika kita lihat tarikh-tarikh berlakunya istiqbal Zuhal ini sebelum ini, 23 Mei 2015, 3 Jun 2016, 15 Jun 2017, 27 Jun 2018 dan 10 Julai 2018, ia berlaku dalam selang masa lebih kurang 1 tahun 2 minggu di antara setiap satu momen ini berlaku!

Screenshot 2019-07-09 at 9.44.12 AM.jpg

Zuhal, Bumi dan Matahari segaris ketika saat berlakunya istiqbal planet Zuhal malam nanti.

Zuhal mempunyai 62 bulan semulajadi. Malangnya hanya satu sahaja bulannya yang terang dan mudah dilihat menerusi teleskop, iaitu Titan. Selebihnya amat kelam dan memerlukan samada teleskop yang amat besar atau merakamnya menerusi kaedah astrofotografi tertentu.

Foto dibawah di rakam dengan waktu dedahan yang lama dan juga ditindih (stacking) beribu-ribu frame. Saya berjaya merakam bulan kecil bernama Hyperion, bermagnitud 15.1 !

Screenshot 2019-07-09 at 9.37.02 AM.jpg

Zuhal dan sebahagian daripada bulan-bulannya. @shahgazer

Selamat mencerap!

 

 

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...