LightSail 2 – kapal angkasa pertama terbang menggunakan layar solar!

Berlayar di angkasa dengan cahaya matahari. Perghhh.. bunyi macam cerita dongeng zaman 50an. Hakikatnya telah ada pun kapal angkasa yang sedang melakukan demikian!

LightSail 2 , sebuah satelit kecil yang dilancarkan ke orbit hasil project sumbangan orang ramai atau crowdfunded dan juga projek yang dikawal selia oleh The Planetary Society telah berjaya bergerak ke orbit yang lebih tinggi, dengan hanya menggunakan tenaga solar!

Minggu lepas, setelah dilancarkan dari Kennedy Space Center, Florida di atas roket SpaceX Falcon Heavy, kapal angkasa ini telah berjaya mengeluarkan layar solar (solar sail) yang diperbuat daripada bahan Mylar yang dialuminiumkan.

20190725_c2_2019-07-23_184851-11_v0_web_f840.jpg

Layar solar yang berjaya dikeluarkan. Kredit Planetary Society.

Sejak beberapa hari yang lepas, pengendali misi ini telah cuba menghalakan layar ini ke kedudukan yang optimum untuk menerima cahaya Matahari. Kemudian dengan hanya menggunakan tenaga suria yang dikumpulkan oleh layar tersebut, mereka telah berjaya menaikkan orbit Lightsail 2  ini pada jarak 2 km! Poin paling tinggi ini juga dikenali sebagai apogee. Jarak yang sama, 2 km ke bawah, turut dicapai apabila kapal angkasa kecil ini bergerak ke poin paling rendah atau perigee.

20190731_apogeegraph-02_f840.png

The Planetary Society / Data oleh NXTRAC 

Pergerakan yang semakin rendah ini konsisten dengan kesan seretan atmosfera Bumi yang nipis yang masih wujud pada ketinggian itu.

Menurut Bruce Betts, “Kami sangat gembira untuk mengumumkan kejayaan misi LightSail 2. Kriteria kami ialah untuk menunjukkan pergerakan terkawal sebuah CubeSat dengan mengubah orbit kapal angkasa ini dengan hanya menggunakan tekanan cahaya daripada Matahari. Sesuatu yang belum pernah dilakukan sebelum ini dan saya amat berbangga dengan pasukan ini”

Lightsail 2 telah menjadi kapal angkasa pertama yang digerakkan oleh layar solar di dalam orbit Bumi. Ia juga merupakan kapal angkasa kedua yang berjaya menggunakan teknologi pelayaran solar ini, selepas misi IKAROS oleh Jepun (yang dilancarkan pada tahun 2010).

Setelah sebulan berada di orbit, Lightsail 2 akan kembali masuk jatuh ke dalam atmosfera Bumi. Jangkaan ini akan berlaku dalam masa lebih kurang setahun. Layar solar yang besar ini mungkin akan dapat dilihat melintasi langit pada momen ia berlaku nanti.

Laman khas Lightsail 2 Mission Control ini ada menunjukkan kedudukan terkini kapal angkasa ini berada di dalam orbit. Mungkin ada pemerhati langit di Malaysia bernasib baik dapat melihatnya nanti kot.

Sumbangan crowdfunding projek LightSail 2 ini mencecah $7 juta dollar, hasil daripada para dermawan 50,000 ahli Planetary Society, serta orang perseorangan dari lebih 100 buah negara!

Untuk rujukan lebih lanjut sila ke pautan di bawah.

 

 

 

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...