Meteor Perseids memuncak pada 13 Ogos nanti, tapi…

Juraian meteor Perseids akan memuncak menjelang Subuh hari Selasa minggu hadapan, 13 Ogos 2019. Meteor ini merupakan di antara juraian meteor yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh peminat astronomi dan pemerhati langit. Jadi, apakah kebarangkalian dan prospek kenampakan meteor ini untuk tahun ini?

Tarikh kemunculan meteor.

Meteor Perseids akan mula kelihatan di langit bermula dari 17 Julai hingga 24 Ogos. Meteor-meteor ini akan mudah kelihatan dari tengah malam hinggalah menjelang Subuh. Pada awal pagi 13 Ogos nanti, bilangan meteor ini akan menjadi paling banyak.

Bilangan meteor

Dijangkakan akan kelihatan di antara 50-75 meteor setiap jam pada awal pagi tersebut. Namun nombor itu adalah dari kawasan luar bandar. Jika kita cuba melihatnya dari kawasan bandar, atau dari kawasan yang dicemari cahaya, bilangannya akan jauh rendah.

Nilai ZHR atau Zenithal Hourly Rate merupakan jumlah meteor jika dilihat dari kawasan sempurna gelap dan juga titik radian meteor ini berada tegak di atas kepala.

Di dalam kes Perseids ini, nilai ZHR-nya ialah 100. Memang banyak! Tetapi kita harus bersikap realistik dan mengambil kira kedudukan titik kemunculan ini dari langit Malaysia, serta keadaan persekitaran.

Gangguan cahaya Bulan.

Untuk tahun 2019 ini, pada 13 Ogos nanti, Bulan berada pada fasa hampir purnama. Ia akan hanya terbenam pada jam 5 pagi (Semenanjung). Ini bermaksud kita hanya akan memperolehi 1 jam langit yang gelap tanpa gangguan cahaya Bulan, untuk benar-benar menikmati kemunculan meteor Perseids ini!

Screenshot 2019-08-08 at 8.57.24 PM.jpg

Bulan berada dalam fasa hampir purnama pada awal pagi 13 Ogos 2019 nanti.

Walaupun begitu, janganlah berasa kecewa. Kita masih boleh melihat kemunculan meteor Perseids yang cerah-cerah sepanjang malam itu. Namun janganlah harap bilangannya nanti akan menjadi banyak!

Arah pandangan

Meteors Perseids akan muncul dari kawasan buruj Perseus yang berada di langit timur laut. Buruj ini akan terbit sekitar jam 1 pagi dan menjelang 5 pagi, ia agak tinggi di langit timur laut.

5 pagi langit Semenanjung Malaysia (6 pagi langit Sabah). SImulasi Sky Safari 6 Pro

Arahkan pandangan kita jauh daripada Bulan. Cari kawasan langit yang paling jauh dari gangguan cahaya Bulan, sebagai contoh arah timur. Kawasan inilah peluang terbaik untuk melihat bilangan meteor yang ‘agak banyak’.

Cara melihatnya

Setelah mendapat lokasi langit gelap yang paling ideal, lakukan cerapan meteor ini dengan hanya menggunakan mata sahaja. Kita tidak perlukan teleskop. Meteor-meteor ini akan muncul di mana-mana kawasan langit.

Cuba cari kawasan lapang yang tiada gangguan atau halangan. Kawasan padang atau tepi pantai adalah yang terbaik. Carilah kawasan yang tidak diganggu oleh cahaya seperti cahaya lampu jalan, lampu rumah atau kawasan lalu-lalang kenderaan.

Jangan sekadar menjenguk di luar tingkap 2 minit kemudian complain tak nampak meteor! Saya dah dengar banyak kisah seperti ini!

Suasana cerapan meteor di Sabah, pada tahun 2016. Foto kredit Harris Jefrrey

Cara yang betul ialah, kita kena berada dalam keadaan rileks dan berbaring. Hamparkan tikar atau kalau segan nak baring, carilah ‘kerusi malas’ yang boleh disengetkan. Jangan berdiri sambil mendongak! Ia akan mengakibatkan sakit tengkuk yang kronik pada keesokan paginya! Jangan cari nahas!

Merakam dalam kamera.

Lupakan saja kamera dalam telefon bimbit tu! Cara yang betul ialah dengan menggunakan kamera DSLR dan lens yang wide-angle. Rakamkan seberapa banyak shot yang boleh dengan waktu dedahan yang paling lama, sebagai contoh 30 saat.

p02z15bg.jpg

Kamera DSLR adalah alat rakaman meteor terbaik.

Disebabkan adanya Bulan, disarankan halakan kamera itu ke kawasan berlawanan arah daripada cahaya Bulan.

Berdasarkan maklum balas penjejak meteor yang ada, bilangan meteor yang berjaya dirakam dalam kamera jauh lebih kecil berbanding dengan apa yang kita dapat lihat dengan mata! Maka, jangan hairanlah jika di antara beribu-ribu frame yang dirakam, mungkin ada hanya 3-4 keping sahaja yang ada meteor!

Semoga berjaya!

Wallahua’lam

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...