Ekuinoks bulan September berlaku petang nanti!

Hari ini menandakan Hari Ekuinoks untuk bulan September. Bagi tahun 2019 ini, momen tepat ketika fenomena ini berlaku ialah pada jam 3:50 pm, 23 September 2019.

Apakah sebenarnya Ekuinoks?

Paksi Bumi yang senget 23.4 darjah menyebabkan Matahari akan terbit dan terbenam di titik yang berlainan sepanjang tahun.

Kesannya ialah ada waktunya hemisfera utara atau selatan akan menerima cahaya Matahari lebih lama berbanding hemisfera yang berlawanan.

Titik terbit Matahari ini tidak akan melebihi azimut 23.4 darjah ke ‘kiri’ atau ke ‘kanan’ daripada poin arah mata angin Barat/Timur kita.

Simulasi Sky Safari Pro yang menunjukkan titik terbit Matahari sepanjang tahun. 

Dalam istilah geografi, ketika Matahari berada paling ke utara, iaitu 23.4 darjah Utara, ia akan berada tegak di atas Garisan Sartan, manakala ketika ia berada 23.4 darjah ke selatan, ia berada di atas garisan Jadi.

Apabila Matahari bergerak ke ‘kiri’ dan ke ‘kanan’ ini, akan berlaku pada tarikh dan waktu tertentu, di mana Matahari akan melintasi garisan Khatulistiwa.

Simulasi Sky Safari Pro menunjukkan kedudukan sempadan siang dan malam Bumi pada hari Ekuinoks. 

Momen inilah yang dipanggil sebagai Ekuinoks.

Ekuinoks bulan September ini menandakan bermulanya musim luruh bagi negara-negara hemisfera utara, dan bermulanya musim bunga bagi negara-negara di hemisfera selatan.

Bagi kita di Malaysia ni, Ekuinoks September ini menandakan perubahan pergerakan angin, dan menandakan bermula musim Monsun Timur Laut. Situasi jerebu yang teruk yang kita alami sebulan dua lepas ini dijangka akan bertambah pulih apabila angin timur laut meniup asap jerebu keluar dari Malaysia.

Ia juga menandakan bermula musim hujan ribut banjir! alamak!

Adakah pada hari ini, kita akan mengalami waktu malam dan siang yang sama panjang?

Soalan menarik. Malangnya ia tidaklah semudah sebegitu!

Sejak turun temurun kita diajar bahawa ketika Ekuinoks, seluruh permukaan Bumi akan mengalami panjang siang dan lama yang sama.

Malah perkataan ‘equinox’ itu sendiri diambil daripada bahasa Latin yang membawa maksud ‘equal night’ atau malam yang sama panjang.

Adakah itu benar? Ok jom kita kaji satu per satu.

Waktu sebenar terbit Matahari ialah ketika bahagian ‘piring’ atas Matahari mula kelihatan di atas ufuk. Sama juga kes ketika waktu terbenam Matahari apabila keseluruhan bentuk piring Matahari hilang di bawah ufuk.

Bahagian atas piring Matahari adalah titik rujukan waktu terbit atau terbenam. Simulasi Sky Safari.

Disebabkan Matahari ini besar dan ada saiz (bukan berbentuk titik seperti bintang), maka momen ia betul-betul terbit dan terbenam akan mengambil masa sedikit.

Maka itu, julat sebenar untuk siang kita bermula dan berakhir adalah lebih sedikit berbanding 12 jam.

Biasan Cahaya.

Lagi satu faktor yang kena ambil kira ialah biasan cahaya. Disebabkan Bumi kita mempunyai atmosfera dan lapisan ini mempunyai ketumpatan yang berbeza-beza, ia akan membiaskan mana-mana cahaya yang bergerak melaluinya.

Apabila kita pandang ke ufuk (horizon), kita sebenarnya sedang melihat lapisan atmosfera yang lebih tebal berbanding apabila kita pandang ke atas.

Kesannya ialah cahaya akan terbias lagi banyak!

Maka itu, apabila kita melihat Matahari yang rendah dan hampir dengan ufuk pada waktu pagi atau petang itu, itu sebenarnya cahaya Matahari yang sudah terbias oleh atmosfera Bumi.

Kesan atmosfera yang akan membiaskan cahaya Matahari. Sumber

Hakikatnya, jasad Matahari itu sendiri sedang berada di bawah ufuk!

Di dalam pengiraan efemeris Matahari, biasan cahaya ini akan menyebabkan ‘jasad’ Matahari ini kelihatan 6 minit lebih lama (pada waktu terbenam), serta 6 minit lebih awal (pada waktu terbit).

Faktor ini akan menambahkan lagi waktu siang kita. Maka itu, panjang pada hari Ekuinoks ini lebih daripada 12 jam!

Lagi satu bukti biasan cahaya ini berlaku ialah apabila kita melihat bentuk ‘bulat’ Matahari itu kelihatan penyek apabila ia menghampiri ufuk.


Kesan biasan menyebabkan bentuk Matahari kelihatan penyek. 😀 (Sumber)

Serakan cahaya

Kiraan di atas tidak mengambil kira serakan cahaya Matahari SETELAH Matahari terbenam (waktu antara Maghrib dan Isya’), dan juga SEBELUM Matahari terbit (waktu antara Subuh dan Syuruk). Jika kita mengambil kira waktu-waktu ini sebagai ‘masih siang’, maka terlebih-lebih lah lagi waktu siang ketika Ekuinoks ini jauh lebih lama berbanding 12 jam!

Timur Barat

Selain itu, hari Ekuinoks ini juga peluang untuk kita mencari titik tepat Timur dan Barat.

Waktu terbaik ialah ketika Matahari sedang terbit dan terbenam.

Boleh cuba guna aplikasi web di suncalc.org ini untuk melihat poin di mana timur/barat dari kawasan anda.

Pergerakan Matahari melintasi langit dari kawasan Kuala Lumpur pada hari Ekuinoks ini. Sumber

Imej satelit

Saya suka melihat imej yang dihasilkan oleh Windy.com yang mana jelas ini menunjukkan pergerakan sempadan siang/malam kita pada hari ini tepat tegak dari atas ke bawah (utara/selatan).

Di laman web timeanddate.com ia memaparkan sempadan siang malam seperti di bawah.


Semoga artikel ringkas ini dapat menjawab sedikit sebanyak persoalan mengenai hari Ekuinoks.

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...