Maklumat umum lokasi dan waktu Gerhana Matahari Cincin 26 Disember 2019.

Fenomena Gerhana, Transit & Penghijaban Highlights
Gerhana Matahari Cincin yang telah dirakam oleh penulis pada tahun 2013 di Australia.

Pada 26 Disember 2019 nanti, kita berpeluang menyaksikan sekali lagi fenomena Gerhana Matahari Cincin di Malaysia. Kali terakhir fenomena ini berlaku ialah pada tahun 1998.

Ketika itu, rata-rata masyarakat semenanjung Malaysia dari Melaka merentas ke Mersing dan terus ke laut ke sebuah pulau kecil bernama Pulau Dayang dan Aur (di mana saya berada di sana), telah menyaksikan satu susunan indah bulan dan matahari sejajar.

UPDATE 13 sep2019:  Terjumpa pautan keratan akhbar lama New Straits Times bertarikh 23 Ogos 1998 di Google News Archive yang memaparkan berita gerhana di atas. (terima kasih buat tuan Wan Mohd Aimran yang memberi link tersebut)

Kini, hampir 21 tahun kemudian, bayang-bayang Bulan akan kembali melintasi Malaysia.

Apakah Gerhana Matahari Cincin?

Gerhana Matahari Cincin berlaku apabila Bulan bergerak tepat di hadapan Matahari. Namun disebabkan pada ketika itu, Bulan berada sedikit jauh daripada Bumi, maka saiznya sedikit kecil dan tidak akan dapat menutupi keseluruhan bentuk piring Matahari.

“Ring of fire” antara gelaran yang diberikan ketika kemuncak Gerhana Matahari Cincin. Foto di atas menunjukkan dengan jelas ketika sentuhan atau kemunculan pertama bulan, kemuncak gerhana dan hingga kembali hilangnya bulan. 
(Image credit: Courtesy of Jay Pasachoff)

Kesannya ialah jika kita berada di dalam kawasan atau berhampiran dengan kawasan laluan tengah gerhana ini, Matahari akan kelihatan seperti cincin.

Laluan Gerhana Matahari Cincin 2019

Secara amnya, laluan gerhana cincin ini akan bermula dari Semenanjung Tanah Arab, kemudian memasuki selatan India dan Sri Lanka, seterusnya  Asia Tenggara merentasi Malaysia, Indonesia, Singapura dan Filipina sebelum ia berakhir di lautan Pasifik.

Di kawasan Asia Tenggara (lihat peta bawah), bayang-bayang Bulan akan memasuki Sumatera Utara. Kemudian ia akan merentas Selat Melaka dan memasuki kawasan Pulau Batam. Sebahagian kecil Semenanjung Malaysia dan Singapura juga akan masuk di dalam kawasan ini. Selepas itu, ia akan mencecah di Kalimantan. Masuk ke dalam sebahagian sempadan Sarawak dan Kalimantan sebelum jatuh ke laut. Di Filipina, hanya sebahagian kecil hujung selatan Mindanao akan dapat melihat bentuk cincin ini.

Di Malaysia, di manakah kawasan yang betul-betul akan dapat melihat bentuk gerhana cincin ini? Berdasarkan peta di bawah, didapati kawasan Kukup dan Tanjung Piai akan jadi spot paling hot untuk cerapan gerhana nanti.

Kena ingat, kawasan shading gelap tu je yang akan nampak bentuk cincin. Di sebelah atas (contoh di Pontian Kechil), masih boleh nampak gerhana.. tetapi hanya dalam fasa bentuk gerhana separa je.

Satu lagi kawasan ialah di Pengerang, tapi saya tak pasti ada kawasan umum yang sesuai tak untuk cerapan di sana. (Lihat peta bawah)

Jika nak ke Singapura, boleh menyeberang tambak johor dan pergi ke kawasan tengah dan selatan negara tersebut. Peta ini juga menunjukkan hanya separuh sahaja daripada Singapura akan dapat menikmati fasa separuh tu.

Jika nak adventurous lagi, boleh ke Pulau Batam, Di sini ada lokasi yang berada betul-betul di bahagian tengah laluan gerhana ini nanti. Dikhabarkan ramai juga pengkaji gerhana Malaysia akan ke sana nanti.

Waktu berlakunya gerhana

Secara amnya, fasa kemuncak Gerhana Matahari Cincin ini akan berlaku menjelang waktu Zuhur, atau tengahari.

Saya buat beberapa kiraan berdasarkan laman web Xavier Jubier ini, untuk beberapa lokasi pilihan di sekitar selatan Johor.

Tanjung Piai National Park, Johor ( 2 minit 31 saat )

Fasa Gerhana Waktu
Gerhana Separa bermula (C1) 11:26 AM
Gerhana Cincin bermula (C2) 1:21:07 PM
Kemuncal Gerhana Cincin (MAX) 1:22:23 PM
Gerhana Cincin berakhir (C3) 1:23:29 PM
Gerhana Separa berkahir (C4) 3:17:27 PM

Kukup ( 2 minit 4 saat )

Fasa Gerhana Waktu
Gerhana Separa bermula (C1) 11:25 AM
Gerhana Cincin bermula (C2) 1:21:05 PM
Kemuncal Gerhana Cincin (MAX) 1:22:07 PM
Gerhana Cincin berakhir (C3) 1:23:10 PM
Gerhana Separa berkahir (C4) 3:17:16 PM


Teluk Kerang ( 38 saat )

Fasa Gerhana Waktu
Gerhana Separa bermula (C1) 11:25 AM
Gerhana Cincin bermula (C2) 1:21:42 PM
Kemuncal Gerhana Cincin (MAX) 1:22:00 PM
Gerhana Cincin berakhir (C3) 1:22:20 PM
Gerhana Separa berkahir (C4) 3:17:12 PM

Pengerang ( 31 saat )

Fasa Gerhana Waktu
Gerhana Separa bermula (C1) 11:27 AM
Gerhana Cincin bermula (C2) 1:24:22 PM
Kemuncal Gerhana Cincin (MAX) 1:24:38 PM
Gerhana Cincin berakhir (C3) 1:24:54 PM
Gerhana Separa berkahir (C4) 3:19:08 PM

Di bawah ialah untuk lokasi di Sarawak

Serian ( 3 minit 26 saat )

Fasa Gerhana Waktu
Gerhana Separa bermula (C1) 11:49 AM
Gerhana Cincin bermula (C2) 1:46:44 PM
Kemuncal Gerhana Cincin (MAX) 1:48:27 PM
Gerhana Cincin berakhir (C3) 1:50:10 PM
Gerhana Separa berkahir (C4) 3:34:54 PM

Kota Samarahan (1 minit 46 saat )

Fasa Gerhana Waktu
Gerhana Separa bermula (C1) 11:48 AM
Gerhana Cincin bermula (C2) 1:47:15 PM
Kemuncal Gerhana Cincin (MAX) 1:48:08 PM
Gerhana Cincin berakhir (C3) 1:49:01 PM
Gerhana Separa berkahir (C4) 3:34:45 PM


Bagaimana dengan lokasi-lokasi lain di Malaysia?

Selain daripada kawasan di atas, seluruh Malaysia dan Brunei, serta sebahagian Singapura akan dapat menyaksikan Gerhana Matahari Separa. Di kawasan ini, ketika waktu puncak gerhana, Matahari tidak akan kelihatan seperti cincin, tetapi lebih menyerupai bentuk ‘bulan sabit’.

 Fasa Gerhana Matahari Separa. Bentuk seperti ‘bulan sabit’ inilah yang akan dapat dilihat dari kawasan luar daripada sempadan gerhana cincin tadi. Foto oleh penulis.

Adakah langit akan menjadi gelap?

Malangnya tidak. Fenomena Gerhana Matahari Cincin dan Separa tidak akan menghasilkan langit gelap seperti Gerhana Matahari Penuh. Ini disebabkan sebahagian Matahari masih kekal kelihatan bersinar.

Kena ingat, walaupun sedikit sahaja kawasan Matahari yang tinggal ketika kemuncak gerhana, ia masih SANGAT TERANG dan AMAT MERBAHAYA untuk kita pandang dengan mata kasar. Sila pastikan anda menggunakan cara yang BETUL dan SELAMAT ketika mencerap nanti.

Seingat saya berdasarkan pengalaman cerapan tahun 1998, 2009 dan 2013 yang lalu, suasana sekeliling akan kelihatan seperti mendung sedikit. Warna dijangka akan menjadi seperti lewat senja.

Namun, bergantung juga kepada keadaan cuaca. Jika berawan atau hujan, memanglah gelap!

Berapa lamakah durasi Gerhana Matahari ini nanti?

Secara amnya, KESELURUHAN fasa Gerhana Matahari ini, yakni ketika kali pertama munculnya bayang-bayang Bulan dan hinggalah ke momen Bulan itu kembali hilang, durasinya adalah selama lebih kurang 3 jam 51 minit.

Namun, untuk lokasi yang dapat menyaksikan fasa Gerhana Cincin, durasi bentuk cincin ini akan kelihatan sekitar 1 saat hingga paling lama pun sekitar 3 minit 26 saat (bergantung kepada lokasi).

Secara am, lebih hampir kita ke sempadan luar bayang-bayang, semakin pendek durasi bentuk cincinnya. Manakala durasi ini semakin panjang apabila kita bergerak semakin jauh ke selatan tanahair.

Adakah fenomena ini boleh dilihat dengan mata kasar?

Gerhana ini BOLEH DILIHAT dengan mata kasar DENGAN SYARAT anda menggunakan KAEDAH YANG BETUL dan SELAMAT!

Kena ingat Matahari ini amat terang dan amat berbahaya. Saya berulang kali nasihatkan, JANGAN SEKALI-KALI PANDANG KE ARAH MATAHARI TANPA PENAPIS MATAHARI YANG BETUL

Kesan terbakar di dalam retina mata jika pandang ke arah Matahari tanpa penapis! Awas awas! Klik imej untuk pautan artikel penting.

Rujuk koleksi video yang telah saya kumpulkan di dalam artikel Cara Paling Selamat Mencerap Gerhana Matahari untuk cara paling selamat.

Kesimpulan

Artikel ringkas ini sekadar memberi maklumat asas fenomena Gerhana Matahari Cincin (dan Separa) yang akan berlaku pada 26 Disember 2019 nanti.

InsyAllah akan ada lebih banyak artikel susulan selepas ini. Jika anda mempunyai sebarang cadangan, sila majukan pandangan di dalam ruangan komen di bawah. Pape roger!

0 0 votes
Article Rating
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments