Meteor Quadrantids mula memuncak malam ini… tapi..

Bagi peminat meteor, jangan lepaskan peluang melihat musim meteor pertama untuk tahun ini, iaitu Meteor Quadrantids. Meteor ini adalah di antara juraian meteor yang sangat aktif, namun ruang masa untuk kita lihatnya banyak dan aktif di langit agak terhad.

International Meteor Organization (IMO) melaporkan, ruang waktu Quadrantids memuncak ialah dalam masa 6 jam sahaja. Oleh itu, jika ruang 6 jam itu berlaku pada waktu malam, peminat astronomi di kawasan itu akan berpeluang melihat sehingga 100 meteor sejam!

Mengapa ruang optimum ia memuncak hanya 6 jam sahaja? Ini adalah kerana lebar laluan habuk-habuk meteoroid Quadrantids ini amat nipis dan sudut lintasannya dengan Bumi hampir bersudut tegak dengan satah orbit Bumi. Adalah dipercayai juga Quadrantids ini berasal daripada sebuah asteroid dan bukannya komet (seperti mana kebanyakan meteoroid-meteroid lain). Asteroid asalnya ialah 2003 EH1, sebuah asteroid kecil yang mengorbit Matahari setiap 5.52 tahun.

Maklumat terkini daripada kalendar International Meteor Organization’s 2020 Meteor Shower Calendar menunjukkan waktu puncak Quadrantids tahun ini berlaku pada 4 Januari 2020 jam 08:20 UT. Ini adalah bersamaan 4 Januari 2020 4:20 PM waktu Malaysia.

(Ada sedikit ralat dalam Almanak Astronomi 2020 yang mana sebelum ini saya menulis 12:20 pm. Saya dah perbetulkan menjadi 4:20 pm. Harap maklum)

Apa peluang kenampakan Meteor Quadrantids kita di Malaysia?

Waktu

Waktu puncakknya akan berlaku pada jam 4:20 pm waktu Malaysia. Disebabkan julat waktu ia memuncak ialah selama 6 jam, maka kita boleh katakan ia bermula antara jam 1:20 PM hingga 7:20 PM pada 4 Januari 2020. Ini bermakna waktu puncaknya berlaku pada waktu SIANG di Malaysia!

Jika kita nak tengok juga pada waktu malam, bolehlah cuba bermula tengah malam nanti (masuk Sabtu 4 Jan) hingga ke Subuh, ataupun tengah malam esok (masuk Ahad 5 Jan) hingga ke Subuh hari Ahad. Malangnya kedua-dua waktu peluang kita nak melihat meteor ini amat jauh (selang 12 jam) dengan waktu puncak sebenarnya.

(Sila rujuk artikel-artikel sebelum ini mengenai panduan mencerap meteor. Caranya sama sahaja untuk semua jenis juraian meteor yang muncul)

Meteor ini akan muncul dari kawasan buruj Bootes dan Ursa Major (atau dikenali di sini sebagai Biduk). Namun kita kena ingat meteor-meteor ini akan muncul di mana-mana kawasan langit dan tak semestinya pada titik ia muncul itu.

Rajah di atas menunjukkan kawasan langit di mana Meteor Quadrantids seolah-olah muncul. Harus diingat ini hanya rajah panduan sahaja dan bukannya seperti yang kita akan dapat lihat di langit!

Bulan

Bulan semakin membesar menuju ke fasa purnama. Pada malam nanti, ia akan terbenam sekitar 1 pagi (12 tengah malam di Sabah), manakala esoknya akan terbenam 1:40 pagi (12:40 am di Sabah). Jika anda nak mencuba nasib dan melakukan cerapan, buatlah selepas terbenamnya Bulan.


Kesimpulan

Maka berdasarkan faktor-faktor di atas, peluang untuk kita di Malaysia serta negara-negara berhampiran seperti Indonesia, Singapura, Brunei, Thailand dan Filipina, untuk melihat meteor Quadrantids adalah amat tipis.

Namun begitu tidak salah kita mencuba. Lagipun ia berlaku pada hujung minggu, maka tak adalah kalut nak pergi kerja atau ke sekolah keesokannya!

(Satu lagi nasihat yang ingin saya kongsikan ialah, ada beberapa laman web yang amat gemar memetik tajuk sensasi yang mengenai kenampakan meteor yang banyak tanpa mengambil kira faktor dan situasi langit di Malaysia. Laman-laman web ini sekadar menyalin apa yang ditulis di laman web luar negara, yang mana mungkin artikel itu sesuai untuk negara mereka tetapi timing-nya tak sesuai dengan kita. InsyaAllah kalau anda perhatikan selama ini menerusi artikel FalakOnline saya sering tumpukan kenampakan berdasarkan langit kita di sini, dan kadangkala tajuknya agak ‘mengecewakan orang’ tetapi saya rasa terpanggil untuk memaklumkan maklumat setepat yang mungkin dan tidak memberi harapan palsu). Wallahua’lam


Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...