Suasana unik Gerhana Matahari Cincin berjaya dirakam di Malaysia. Tahniah!

Sudah seminggu berlalunya fenomena Gerhana Matahari Cincin yang menjadi tarikan hampir keseluruhan rakyat Malaysia dan juga negara-negara yang turut mengalaminya.

Berdasarkan liputan berita yang begitu banyak, boleh dikatakan kejadian alam ini berjaya meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai ilmu astronomi serta pergerakan objek-objek di alam semesta. Lebih-lebih lagi kali terakhir Gerhana Matahari Cincin berlaku di Malaysia ialah pada tahun 1998.

Saya pula mengambil keputusan untuk mencerap fenomena ini dari negara Oman. Di antara faktor utama ialah untuk merakam momen gerhana ketika sudut Matahari yang masih rendah serta cuaca yang elok. (Ok..bab cuaca ini memang susah nak ramal kerana kondisi hari gerhana di sana di luar jangkaan…tapi itu nanti saya cerita lain!)

Bagi meraikan ribuan foto-foto serta video yang dikongsikan di media sosial, suka saya abadikan beberapa foto yang menarik menerusi artikel ini. Memang semua foto yang dikongsi menerusi Page FalakOnline ini unik-unik belaka dan setiap satunya amat istimewa!

Paling mengujakan foto-foto ini dirakam oleh kita-kita orang yang biasa-biasa je!!

Saya sarankan anda melungsuri ruangan komennya untuk melihatnya satu per satu. Tahniah semua!

Fitri Karim merakam foto di atas dari Gelang Patah menggunakan Huwaei Mate 20 dan kacamata gerhana matahari. Jelas kelihatan bentuk sabit Matahari walaupun di-zoom.

Nurul ‘Izzah Zulkifli pula merakam foto di atas menerusi teleskop National Geographic berserta dengan penapis. Menurut beliau keadaan yang berawan dan diselang-seli langit cerah begitu mencabar sekali. 

Amani Hasan dari Batu Caves, Selangor pula menggunakan kamera Nikon dan segala macam filter yang ada, daripada ND filter, UV filter, awan filter.. sampai patah-patah pemegang kamera! Nasib baik tak guna water filter! hihihi…

Lokasi yang berawan juga ada kelebihannya. Silau cahaya matahari yang tidak begitu terang membolehkan rakaman menerusi kamera dibuat tanpa sebarang penapis… bak kata orang… ada natural filter… iaitu awan! Cuba lihat foto-foto unik gerhana dan awan di bawah ini…

Foto oleh Zila Don yang di-forward oleh Arif San ini berjaya merakam momen unik seekor burung melintasi berhampiran Matahari. Rakaman ini dibuat menggunakan iphone 7 plus. Terbaik!

Menerusi teleskop, rupa bentuk gerhana akan menjadi lebih jelas. Bentuk sabitnya lebih jitu dan tajam. Rakaman yang dibuat menggunakan kamera DSLR pun akan mendapat hasil yang baik. Kita lihat antara foto kombo DSLR-teleskop yang dikongsi…

Akf Aning merakam fasa lengkap keseluruhan gerhana daripada awal hingga akhir, termasuklah momen cincinnya menerusi lens SEL24240 dan penapis matahari. Gigih tu!!

Muhammad Huggy Bear Masreza dari Masjid Perpat Timbul di Tg Piai berkongsi foto fasa cincin yang amat jitu dan jelas sekali. Katanya ia dirakam menggunakan teleskop jenama Celestron dan kamera Nikon D7000
 
Cuba perhatikan disebabkan lokasi Tg Piai bukalah tepat di tengah-tengah lintasan Bulan, maka bentuk cincinnya tak simetri.

Kadangkala apa yang dirancang tak menjadi. Paling suspen apabila saiz filter yang dipasang tak ikut saiz lens yang digunakan. Ketika ini segala macam idea kreatif mula muncul!

Pengalaman As Alias ialah beliau terpaksa menggunakan tangan untuk menutup bahagian depan lens supaya cahaya Matahari dapat dikurangkan!

Ok la tu, saya pun guna cara yang sama semasa di Oman hari! hihihi…

Merakam menerusi DSLR juga ada kelebihannya kerana ia boleh disambung ke komputer dan dipaparkan menerusi skrin yang lebih besar dan selesa.

Epan Faisal berkongsi setup beliau dari lokasi Tanjung Piai. Saiz besar Matahari yang dirakam ini adalah disebabkan teleskop yang digunakannya, Schidmt-Cassegrain, mempunyai jarak fokus (F) yang panjang dan imejnya akan lebih besar.

Selain objek Matahari/Bulan itu sendiri, ramai juga mengambil peluang merakam imej Matahari yang terhasil daripada celah-celah lubang kecil, seperti topi, daun-daun pokok dan seumpamanya.

Cikgu Zaim dari MRSM Kubang Pasu yang pada awalnya merancang nak ke Tanjung Piai tetapi terpaksa tukar rancangan, telah melakukan aktiviti setempat dengan mengajar anak-anak di kawasan perumahan beliau membina kamera lubang pin. Terbaik usaha ini Cikgu!

Ck Aziz dari Kuala Terengganu merakam imej lubang pin Gerhana Matahari menerusi lubang paku atap yang tengah dibina. Baik-baik bang…terbakar tangan tu! 🙂

Muhammad Zubair Mustapha merakam ratusan imej Matahari yang terhasil daripada celah-celah daun pokok. Saya suka foto seperti ini kerana secara peribadi kali terakhir saya sendiri melihat imej ini dengan jelas ialah pada tahun 2006 dulu! Great shot!

Are Pex May pun turut kongsi foto comel imej Matahari dibawah dedaun pokok.

Nazihah Shariff berkongsi foto imej Matahari menggunakan satu benda bulat yang …. saya sendiri tak pasti.. apo ko bondo tu….ce citer sikit.. 😀

Maksu Balkhair merakam imej itu daripada celah-celah daun.. dan rasanya yang lagi satu tu tudung saji kot.

Lagi foto unik dari Shafiza Shaharom dari Gurun, Kedah.

Azian Khalil merakam hasil lubang-lubang kecil sampul surat! Layan!!

Selain daripada itu, banyak juga video yang turut dikongsi. Antaranya adalah seperti di bawah…

 

Ada banyak lagi video format facebook yang telah dikongsi tapi saya tak dapat nak embed masuk ke dalam artikel. Tak pasti kenapa jadi macamtu! Minta maaf banyak-banyak!

Fenomena yang jarang berlaku di Malaysia ini pun sepatutnya dikongsi bersama dengan seramai orang yang boleh. Tahniah kepada Epan Faisal dan rakan memberi peluang kepada Abam Polis ini menyaksikan juga kejadian menakjubkan ini. Terbaik!

Abam bomba tak ada ke? 😉

Lopes Nawza berkongsi teleskop yang digunakan.

Mau 10 kali aku adjust warna skrin komputer ini..ingatkan salah tengok..tapi memang betul la.. teleskop pink wujud dalam dunia ni! hahahaha…

Apa pun gambar ni paling win! Terbaik abam Daknam Al-Ahmadi! 😀

Terima kasih kepada semua yang berkongsi gambar. Tak mampu saya nak copy paste semua di sini, tetapi InsyaAllah sumbangan anda amat-amat saya hargai.

Jika anda lihat foto-foto lain serta video yang tak dapat nak di-link dalam artikel ini, bolehlah ke 2 pos FalakOnline di bawah dan lihat ruangan komennya.

InsyaAllah selepas ini, saya cuba siapkan sedikit catatan travelog cerapan saya di Oman pula.

Dan juga jangan lupa, SEKALI LAGI kita berpelunga menyaksikan GERHANA MATAHARI SEPARA pada 21 Jun 2020 nanti! Jangan buang cermin mata matahari atau penapis matahari tu lagi!

 

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...