Betelgeuse mungkin tak jadi meletup

Betelgeuse yang dirakam oleh Very Large Telescope dan SPHERE kepunyaan ESO. Kredit ESO/M. Montargès et al.

Setelah beberapa bulan, ahli astronomi dan juga peminat astronomi amatur seluruh dunia (termasuk saya hihi) menanti penuh debar menunggu bintang Betelgeuse meletup, nampak gayanya ia tak jadi nak kaboommm..

Berdasarkan laporan cerapan kecerahan terhadap Betelgeuse yang dibuat setiap malam oleh @betelbot, data terkini (9 Mac 2020) menunjukkan tren kecerahannya semakin menaik.

Laman web AstronomyNow melaporkan, menurut ahli astronomi di University of Washington, Emily Levesque, perubahan mendadak kecerahan Beteleguese adalah normal bagi bintang-bintang yang ‘sebaya’ dan berada di dalam fasa tua, super gergasi merah. Menurut beliau, di dalam umur yang tua ini, bintang seperti Betelgeuse kadangkala akan merembes atau membebaskan kuantiti gas yang besar daripada lapisan atmosferanya. Kesannya ialah partikel-partikel debu daripada gas ini akan menghalang sebahagian daripada cahaya yang dipancarkan oleh bintang ini lalu menyebabkan ia kelihatan semakin pudar buat beberapa ketika.

Pemerhatian suhu bintang Betelgeuse yang dibuat oleh Emily bersama dengan Philip Massey daripada Balai Cerap Lowell pada 14 Feb 2020 lepas menunjukkan suhu bintang ini menurun sebanyak 50 hingga 100 darjah lebih rendah berbanding data tahun 2004 lalu.

Penurunan suhu ini tidak konsisten dengan teori sebelum ini yang menyatakan Betelgeuse semakin pudar kesan daripada satu proses perolakan sel gas gergasi yang naik ke permukaan bintang ini dan menyejuk. Menurut kedua saintis ini, jika proses perolakan itu berlaku, suhu Betelegeuse akan jatuh lebih rendah berbanding apa yang diperhatikan tadi.

Menurut Massey lagi, perbandingan suhu sekarang dengan data tahun 2004 menunjukkan tidak banyak perbezaan suhu yang berlaku. Oleh itu, kita yakin jawapan kepada mengapa Betelgeuse semakin pudar ialah kesan habuk daripada gas yang dirembeskan.

Maknanya, ini bukanlah sifat-sifat sebuah bintang yang nak meletup menjadi supernova!

Aisyemannnn

Walaupun begitu, Betelgeuse tetap dijangka akan meletup dan saintis menganggarkan ia akan berlaku dalam masa 100,000 tahun apabila proses perlakuran nuklearnya berhenti dan terasnya runtuh.

Penantian kita untuk melihat Betelgeuse meletup mungkin terpaksa dilanjutkan lagi, tetapi sebagai pemerhati langit yang tegar, saya galakkan agar kita terus memerhatikan sebarang perubahan yang berlaku terhadap satu-satunya bintang merah yang terang di dalam buruj Orion ini.

Manalah tahu…esok lusa ia …. kebawwboowww….

Wallahua’lam

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...