Skip to toolbar

Rangkuman Fenomena Langit (Julai-Disember 2020)

Kita telah pun sampai ke separuh masa kedua untuk tahun 2020. Pandemik COVID-19 sedikit sebanyak telah memberi kesan kepada aktiviti cerapan kita pada awal-awal tahun ini. Apa pun kita masih ada berbaki 6 bulan untuk meneruskan pemerhatian fenomena langit yang masih ada. ALhamdulillah, jika kita amati satu per satu Almanak Astronomi 2020 untuk bulan Julai hingga Disember ini, masih banyak lagi kejadian langit yang boleh diamati.

Nota: InsyaAllah malam esok, saya akan buat penerangan ringkas di FB dan di Youtube mengenai fenomena-fenomena ini. Tunggu pengumuman dan link-nya nanti.

Sementara itu, jom kita lihat dulu apakah yang menarik yang akan dapat dilihat nanti!


Bulan lintas Musytari dan Zuhal (5-7 Julai)

5 Julai 2020

Bulan akan melintasi hampir dengan 2 planet gergasi kita, iaitu Musytari dan Zuhal. Bagi kita yang belum pernah melihat kedua planet ini, atau tidak tahu yang mana satu, boleh menggunakan peluang ini dengan berpandukan Bulan.

Bulan ketika ini berada dalam fasa purnama! Jika langit OK, saya akan lakukan LiveSGO pada malam-malam tersebut!

Zuhrah melintasi kluster bintang Hyades (5-12 Julai)

8 Julai 2020

Zuhrah akan melintasi betul-betul di hadapan kluster bintang, Hyades, di dalam buruj Taurus. Cuba perhatikan dari hari ke hari, dan kita akan dapat lihat Zuhrah berubah kedudukannya dari bahagian sisi atas Hyades, hinggalah ia bergerak ke bahagian sisi bawah gugusan ini.

Bulan ziarah Marikh, Zuhrah ziarah Aldebaran (12 Julai)

12 Julai 2020

Pada sekitar awal pagi menjelang Subuh hari Ahad, 12 Julai nanti kita akan dapat menyaksikan 2 buah lintasan yang sangat menarik.

Pertama ialah Bulan akan berada amat hampir dengan planet Marikh. Jika kita pernah ingat beberapa bulan lepas, Marikh hanya kelihatan seperti sebutir bintang merah yang sederhana terang. Tetapi sekarang ini, Bumi semakin menghampirinya dan ia kelihatan semakin terang! Gunalah peluang ini untuk mencari planet merah ini berpandukan Bulan.

Kemudian halakan pandangan ke arah ufuk timur. Kita akan dapat lihat planet Zuhrah (Venus). Tetapi yang menariknya ialah di sebelah kanannya, akan kelihatan sebutir bintang merah yang terang, Itulah bintang Aldebaran.

Istiqbal Musytari (14 Julai)

Musytari kembali berada di posisi paling optimum tahun ini. Ia akan berada bersetentang dengan Matahari, yakni apabila Matahari terbenam di barat, planet ini akan terbit di timur dan akan kelihatan sepanjang malam hinggalah ke Subuh. Fenomena ini dikenali sebagai istiqbal atau opposition.

Bulan-bulan mendatang ini adalah waktu prime bagi peminat planet gergasi ini. Gunalah peluang mengamati sebarang perubahan yang mungkin berlaku di atmosferanya, serta lihat juga pergerakan 4 buah bulannya yang terang itu!

Matahari kembali berada di atas Kaabah. Istiwa’ Ad’zam (15 Julai)

Sekali lagi Matahari akan mula bergerak di atas Kaabah, menandakan hari Istiwa Ad’zam yang kedua untuk tahun ini. Gunalah peluang untuk kita memeriksan tandaan arah kiblat kita di permis masing-masing. Ia berlaku pada jam 5:28 petang waktu Malaysia.

Bulan singgah jumpa Zuhrah dan Aldebaran (17 Julai)

17 Julai 2020

Bulan yang semakin nipis ini akan melintasi hampir dengan Zuhrah, Aldebaran dan gugusan Hyades. Saya berpendapat ini akan menjadi satu photo op yang cantik dan menarik. Disebabkan Bulan berada dalam fasa nipis, fenomena earthshine akan dapat dilihat pada waktu yang sama!

Komet Lemmon melintasi kawasan galaksi Markarian’s Chain (19-22 Julai)

Pada tarikh-tarikh antara 19 hingga 22 Julai 2020 nanti, komet Lemmon ini akan melintasi kawasan langit yang popular yang dikenali sebagai Markarian’s Chain. Jika anda mempunyai kamera CCD yang bagus, serta langit yang gelap, ini adalah peluang yang unik untuk dirakam!

Info lanjut di sini.

Zuhal pula istiqbal! (21 Julai)

Kita beruntung tahun ini kerana Zuhal dan Musytari duduk sebelah menyebelah. Jika minggu lepas Musytari berada di posisi istiqbal, hari ini giliran Zuhal pula!

Zuhal adalah planet yang amat cantik untuk dicerap menerusi teleskop. Gelangnya tahun ini masih lagi terbuka luas dan mengancam jiwa! Jika ada teleskop yang besar, cuba cari bulannya yang paling terang, Titan. Ia mudah kelihatan seperti sebutir bintang halus yang sentiasa berada hampir dengan planet gelang ini.

Bulan lintas Musytari dan Zuhal lagi! (2 Ogos)

2 Ogos 2020

Bulan sekali lagi melintasi hampir dengan planet Musytari dan Zuhal pada malam ini.

Meteor Perseids memuncak! (13 Ogos)

Meteor Perseids akan memuncak antara 9pm-12am, 12 Ogos. Bagi kita di Malaysia, cuba lihat selepas tengah malam hingga ke Subuh, 13 Ogos 2020. Prospek agak bagus, namun cahaya Bulan (dalam fasa sukuan akhir) mungkin akan mengganggu sedikit kenampakan meteor-meteor yang kelam.

Cuba lakukan cerapan di kawasan langit berlawanan arah daripada gangguan cahaya Bulan, contoh ke arah barat atau selatan.

Seperti biasa, kiraan mengatakan jumlah meteor yang dijangka kelihatan akan pada kadar 110 meteor setiap jam. TETAPI disebabkan adanya cahaya Bulan, serta lokasi titik radian meteor yang bukan berada di atas kepala (zenith), bilangan ini tidak akan tercapai.

Apa pun kita masih berpeluang melihat bilangan meteor yang banyak berbanding hari-hari biasa!

Jumpa lagi! Bulan, Musytari dan Zuhal! (29 Ogos)

29 Ogos 2020

Seolah-olah tidak jemu, Bulan sekali lagi melintasi dua buah planet terang ini. Perhatikan setiap kali ulangan lintasan ini, kedudukan Zuhal dan Musytari semakin ada penjarakan sosial. Fasa Bulan yang lalu pun berbeza dari bulan ke bulan.

Bulan lintas Marikh yang semakin besar dan terang! (5-6 September)

5 Sep 2020

Pasti kita akan terkejut melihat Marikh yang semakin terang ini. Bulan akan melintas sekali lagi berhampiran dengan planet merah ini. Kita pasti tidak akan terlepas pandang kerana planet ini sungguh-sungguh terang dan warna merahnya memancar!

Bulan sabit dan Zuhrah (14 September, 14 Oktober, 13 November dan 13 Disember)

14 Sep 2020

Subuh pada tarikh-tarikh ini, bulan sabit tua akan berada hampir dengan Zuhrah. Peluang photo op yang sangat baik!

Istiqbal Marikh! (14 Oktober)

Planet merah Marikh kembali ke posisi istiqbalnya untuk tahun ini! Kali terakhir ialah pada tahun 2018 yang lalu.

Setiap kali istiqbal, jarak Bumi dan Marikh berbeza-beza. Ada istiqbal yang lebih baik berbanding lain, kerana jarak Bumi-Marikh dekat ketika itu. Tahun 2018 dan 2020 ini adalah antara momen yang paling baik untuk kita mencerap Marikh. Selepas itu, jarak kita dengan planet ini tidaklah sedekat sekarang. Kita terpaksa menunggu tahun 2035 untuk dapat melihat ia ‘sebesar’ ini.

Saya akan sediakan satu artikel lengkap khas untuk istiqbal Marikh ini nanti.

Meteor Orionids! (21 Oktober)

Meteor Orionids akan memuncak pada tengah malam ini hingga ke Subuh. Prospek tahun ini agak bagus kerana tiada gangguan cahaya Bulan (Bulan berada hampir dengan fasa sukuan awal dan sudah pun terbenam sebelum tengah malam).

Bilangan purata meteor yang kelihatan ialah ZHR=20 meteor sejam. Seperti biasa suka saya ingatkan bilangan ini adalah purata kenampakan dari kawasan yang betul-betul gelap dan tiada gangguan cahaya langsung. Jika kita mencerap dari kawasan bandar atau ada silau cahaya lampu, bilangan meteor yang nampak itu nanti akan berkurangan.

Bulan buat guard of honour terhadap Marikh! (29 Oktober)

29 Okt 2020

Marikh yang baru sahaja melepas posisi istiqbal hari itu, akan ditemani oleh Bulan pada malam ini! Cantik pemandangan ini kerana kedua-dua objek terang ini akan menyinari langit selepas Maghrib hinggalah ke Subuh!

Peluang lihat Utarid (14 November)

14 Nov 2020

Jika kita tak pernah melihat planet Utarid, pada Subuh ini kita berpeluang menjejaki planet ini dengan bantuan Bulan. Lihat rendah di ufuk timur selepas Subuh. Planet ini akan berada di sisi kanan Bulan.

Meteor Leonids (18 November)

18 Nov 2020

Meteor Leonids akan memuncak pada 7 pm 17 Nov 2020. Maka, waktu terbaik di Malaysia ialah tengah malam hingga ke Subuh 18 Nov 2020. Prospek tahun ini agak baik kerana tiada gangguan cahaya Bulan.

Bilangan purata meteor yang dijangka kelihatan ialah antara 10-20 meteor setiap jam (dari kawasan langit yang gelap dan tiada gangguan cahaya)

Lagi lintasan cantik Bulan dengan Musytari serta Zuhal (19 November)

19 Nov 2020

Musytari dan Zuhal semakin rendah di sebelah barat. Bulan kali ni akan melintas kedua-dua planet ini dalam fasa bulan sabit. Agak malang kedudukan Musytari di sebelah kanan Bulan. Jika ia senget ke kiri sikit, pasti kita dapat lihat bentuk smiley!

Meteor Geminids terbaik (14 Disember)

14 Nov 2020

Meteor yang ditunggu-tunggu iaitu Meteor Geminids akan memuncak pada 8:60 am 14 Dis 2020. Waktu terbaik untuk Malaysia ialah tengah malam hingga ke Subuh, 14 Dis 2020.

Prospek kenampakan amat bagus tahun ini kerana tiada gangguan cahaya Bulan. Peluang untuk melihat banyak meteor pada malam ini!

Kenampakan purata meteor ini ialah sekitar 120-150 meteor setiap jam dari kawasan gelap. Disebabkan intensiti meteor Geminids agak kuat dan juga faktor langit yang gelap, kita dijangka berpeluang tinggi dapat melihat bilangan yang banyak walaupun dari kawasan yang sederhana gelap!

Jom!!

Musytari menghimpit Zuhal! Bulan join sekali! (17 Disember)

17 Dis 2020

Pada selepas Maghrib hari ini, halakan pandangan ke barat. Kita akan nampak Bulan sabit halus dan berhampirannya Zuhal dan Musytari kelihatan seolah-olah ‘bintang kembar’!

Photo op yang sangat cantik ni!

Musytari dan Zuhal sangat dekat!! (21 Disember)

21 Disember 2020

Kemuncak bagi fenomena tahun 2020 ini ialah Musytari dan Zuhal akan melintasi antara satu sama lain pada kedudukan yang amat dekat, iaitu 6 arc minit!, iaitu lebih kurang 1/5 saiz diameter bulan purnama!

Dekat tu!!!

Jika ada teleskop, apabila anda halakan ke arah planet ini, kedua-duanya boleh dimuatkan di dalam satu medan pandangan yang sama, secara serentak!


Itulah antara fenomena utama yang menarik untuk baki tahun 2020 ini. Ada banyak lagi fenomena lain yang saya tak senaraikan di sini, tetapi ia tetap menarik untuk diamati. Anda boleh dapatkan kesemuanya menerusi kalendar Almanak Astronomi 2020.

Selamat mencerap!

Share this:
0 0 vote
Article Rating
Subscribe
Notify of
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x