Skip to toolbar

Dah sedia ke nak tangkap Komet NEOWISE?

Foto oleh Viktor Szemán pada 13 Julai13, 2020 @ Debraď, Slovakia. Sumber asal.

Siap sedia semua, Komet C/2020 F3 NEOWISE akan mula muncul di langit senja selepas Maghrib bermula 17 Julai ini.

Setelah berminggu-minggu kita disajikan dengan gambar Komet NEOWISE yang sangat cantik dari negara-negara di hemisfera utara, InsyaAllah kali ini kita mungkin berpeluang melihat komet yang terang ini melungsuri langit senja kita.

Sebelum ini, Komet NEOWISE berada di langit Subuh. Kedudukan negara kita berhampiran dengan Khatulistiwa menyukarkan usaha untuk kita melihat komet ini dengan jelas.

Saya sendiri telah gagal setelah mencuba beberapa kali. Di antara faktornya ialah apabila komet ini berada cukup tinggi dan tidak terhalang, waktu itu langit sudah pun cerah terang benderang! Saya dapati 20-25 minit sebelum Matahari terbit adalah waktu yang mencabar untuk mencari komet ini. Dicampur pula dengan keadaan berawan, maka lagi susahlah nak nampak!

Hanya satu gambar sahaja yang saya dapat rakam. Itu pun tidak jelas dan bagi anda yang tidak pernah melihat komet, mungkin tak jumpa tompok kelam di celah-celah awan dalam gambar tu!

Apa pun, nasib kita bakal menjadi lebih baik (InsyaAllah). Setelah komet ini hilang ditelan cahaya Matahari (kedudukanya hampir selari dengan Matahari), ia mula muncul di langit senja pula!

Dan kali ini, berdasarkan kiraan falak, laluan komet ini jauh berbeza dan lebih sesuai untuk kita di Malaysia dan Asia Tenggara. Alhamdulillah!

Di bawah ialah kawasan laluan Komet NEOWISE bermula 17 hingga 31 Julai 2020. Berdasarkan peta ini, ia kelihatan akan bergerak menegak secara vertikal dari hari ke hari. Ini berbeza ketika waktu Subuh hari tu, yang mana komet ini bergerak hampir mendatar rendah di ufuk dan tidak naik tinggi.

Comet C/2020 F3 NEOWISE position relative to the stars. (R.A. Dec coordinates) from 17-31 July 2020. 40 minutes after sunset. Malaysia, Singapore, Brunei , most of Indonesia, and southern Philippines

Di bawah saya akan cuba huraikan kedudukannya dari hari ke hari. Kiraan ini adalah daripada langit Kuala Lumpur, namun tidak banyak bezanya jika kita melihatnya daripada bandar-bandar lain di Semenanjung, serta Sabah, Sarawak, Brunei, Singapura dan sebahagian besar Indonesia dan selatan Filipina.

Panduan ini menggunakan sela waktu JAM atau MINIT SELEPAS waktu rujukan solat iaitu waktu Maghrib (Matahari terbenam) dan Isya’ (Astronomical Twilight) di LOKASI MASING-MASING.

Contoh, jika panduan ini mengatakan 20 minit selepas Maghrib, dan jika Maghrib/Sunset kawasan saya ialah 7:20 pm, peta ini menunjukkan kedudukan 7:40pm. Jika kawasan anda Maghribnya 7:00 pm, maka peta ini boleh merujuk kepada jam 7:20pm. Tambah 20 minit kepada waktu Maghrib anda.

Untuk mendapatkan kedudukan pada waktu lain, saya galakkan anda gunakan aplikasi seperti Stellarium untuk melakukan simulasinya.

17 Julai 2020

20 minit selepas Maghrib

20 minit selepas Maghrib, Komet NEOWISE akan berada rendah di horizon/ufuk barat, di sebelah kanan dari kedudukan terbenam Matahari. Arah mata angin ialah Barat Laut (North West). Ketinggiannya ialah sekitar 4.5 degree di atas ufuk.

Bergantung kepada kecerahannya juga nanti. Jika ia kekal dengan kecerahannya sekarang (ketika artikel ini ditulis pada 14 Jul), ia ‘mungkin’ boleh dirakam dengan kamera, dengan syarat tiada ganggguan di ufuk barat, dan tiada awan.

Lokasi terbaik untuk mencerapnya ialah di pantai barat mengadap laut. Tapi asalkannya lokasi kita mempunyai pandangan ufuk barat yang baik dan luas, InsyaAllah boleh cuba.

Mata kasar mungkin agak mencabar. Ini adalah berdasarkan pemerhatian saya pada waktu Subuh minggu lepas. Binokular mungkin akan membantu.

Ia akan terbenam 50 minit selepas Maghrib.

18 Julai 2020

20 minit selepas Maghrib

20 minit selepas Maghrib ia semakin tinggi, sekitar 7 degree. Ini akan memudahkan kita melihatnya lebih lama selepas matahari terbenam, dan juga berpeluang mencarinya dalam keadaan langit yang semakin gelap.

Arahnya masih sama di sebelah Barat Laut.

Ia akan terbenam 1 jam 10 minit selepas Maghrib, sekitar waktu Isya’.

19 Julai 2020

30 minit selepas Maghrib

Pada waktu matahari terbenam (sunset/Maghrib), ia berada tinggi 13 degree di atas ufuk. 20 minit selepas itu, ia akan berada 10 degree.

Kedudukanya semakin menjauhi matahari, membolehkan kita mencerapnya dalam waktu lewat sedikit. Dalam sekitar 30 minit selepas Maghrib, langit kita sudahpun agak gelap, dan ini akan memudahkan kenampakannya.

Saya galakkan dalam semua situasi ini, guna Binokular sebagai alat bantuan mencerap. Jika anda kali pertama menggunakan teleskop, saya tak galakkannya. Itulah pentingnya ada Binokular!

Komet ini akan terbenam 10 minit SELEPAS Isya’!! (atau Astronomical Twilight)

20 Julai 2020

30 minit selepas Maghrib

Sekarang ini, komet ini semakin tinggi maka tak perlu kita terkejar-kejar mencarinya selepas Maghrib.

30 minit selepas Maghrib adalah waktu yang optimum. Ketika ini ia berada tinggi 12 darjah di atas ufuk! Ia sudah boleh dilihat dengan berlatar-belakangkan suasana langit yang semakin gelap, atau lebih dikenali sebagai ‘blue hour’.

Peluang menarik untuk fotografer yang ingin merakam komet ini dengan foreground yang menarik.

Ia akan terbenam sekitar 1 jam 45 minit selepas Maghrib! Lama tu peluang kita nak cari komet ini!

21 Julai 2020

30 minit selepas Maghrib

30 minit selepas Maghrib, ia berada tinggi 15 degree di atas ufuk! Pada waktu ini, jika langit cantik, anda boleh lihat buruj Biduk (Big Dipper) di sebelah kanannya.

Petang ini juga cerapan Hilal Zulhijjah! Berdasarkan umur anak bulan kali ini, kita mungkin berpeluang merakam komet ini bersekali dengan anak bulan Zulhijjah!!

Komet ini akan terbenam 2 jam selepas Maghrib!

22 Julai 2020

30 minit selepa Maghrib

30 minit selepas Maghrib, ia berada 18 degree di atas ufuk!

Tinggi tu!

Lagi menarik ialah Bulan sabit yang halus mulus berada di sebelah kiri kedudukan komet ini! Kalau anda guna kamera lens 18mm pun rasanya boleh muat kedua-dua objek ini!

Wau!

Komet ini cukup tinggi sekarang ini, hinggakan pada waktu Isya pun ia masih berada 10 degree di atas ufuk!

Ia akan terbenam 2 jam 15 minit selepas Maghrib.

23 Julai 2020

30 minit selepas Maghrib

30 minit selepas Maghrib, ia berada 21 degree di atas ufuk.
Pada waktu Isya’ ia berada 13.5 degree di atas ufuk.

Ia berada di kawasan langit yang jauh daripada Matahari, membolehkan kita melihatnya dengan selesa dalam keadaan langit yang gelap.

Cahaya Bulan sabit yang nipis yang berada bersebelahannya tidak akan mengganggu.

Ia akan terbenam 2 jam 30 minit selepas Maghrib!

24 Julai 2020

30 minit selepas Maghrib

30 minit selepas Maghrib, ia berada 24 degree di atas ufuk.
Waktu Isya‘ ia berada 16 degree di atas ufuk.

Jika anda merakam komet ini dalam langit yang gelap. di sebelah kananya ialah buruj Biduk, manakala di kirinya ialah buruj Leo.

Komet ini akan terbenam 2 jam 45 minit selepas Maghrib!

25-31 Julai 2020

Kedudukan pada waktu Isya’ dari 25-31 Julai 2020

Pada tarikh-tarikh ini, Komet NEOWISE secara amnya akan semakin tinggi dan akan membelok beranjak ke kiri sedikit demi sedikit.

Ketinggian dan waktu terbenam pada tarikh-tarikh di atas adalah seperti berikut:

25 Julai. 20 degree ketika waktu Isya. Terbenam 3 jam selepas Maghrib.
26 Julai. 22 degree ketika waktu Isya. Terbenam 3 jam 10 minit selepas Maghrib.
27 Julai. 24 degree ketika waktu Isya. Terbenam 3 jam 20 minit selepas Maghrib.
28 Julai. 27 degree ketika waktu Isya. Terbenam 3 jam 30 minit selepas Maghrib.
29 Julai. 29 degree ketika waktu Isya. Terbenam 3 jam 35 minit selepas Maghrib.
30 Julai. 31 degree ketika waktu Isya. Terbenam 3 jam 40 minit selepas Maghrib.
31 Julai. 33 degree ketika waktu Isya. Terbenam 3 jam 45 minit selepas Maghrib.

Apakah kecerahannya pasa tarikh-tarikh tersebut dan selepasnya? Susah nak agak dan bergantung kepada keadaannya dari semasa ke semasa. Untuk mengetahui kecerahannya dalam skala magnitud, saya tak galakkannya guna apps dan perisian yang sedia ada. Itu hanya kecerahan anggaran berdasarkan perangai komet yang ‘normal’. Komet NEOWISE ini sedikit cerah daripada apa yang dijangka.

Oleh itu, saya syorkan kita sentiasa monitor laporan kecerahan komet ini daripada pencerap-pencerap dunia lain di laman web COBS menerusi link ini.

https://www.cobs.si/analysis2?col=comet_id&id=1875&start_date=2020/03/30%2000:00&end_date=2020/09/01%2000:00&plot_type=0&perihelion=1&fit_curve=1&obs_type=3

Secara amnya, jika ia berada di skala magnitud 6 atau lebih kecil nombornya, ia cerah dan boleh dilihat dengan mata kasar dalam langit yang gelap. Jika ia berlegar magnitud lebih besar daripada 6, kita perlukan Binokular dan teleskop. Dalam kes ini, rakaman kamera DSRL tiada masalah.

Ketika artikel ini ditulis ia berada pada magnitud 2. Lebih kurang kecerahan bintang-bintang 3 sederet dalam buruj Orion tu. Tetapi kena ingat, cerapan yang dibuat pada sekitar tarikh 17-20 Julai tu adalah dalam keadaan langit masih terang, maka ia agak mencabar untuk dilihat dengan mata. Binokular tetap alat yang paling sesuai dalam kes ini.

Adakah komet ini akan bergerak laju!

Soalan ini sering ditanya. Komet bukan seperti meteor atau tahi bintang. Pergerakannnya sama je seperti bulan dan bintang-bintang yang kita lihat setiap hari. Hanya dengan kita perhatikannya dari hari ke hari, barulah kita akan nampak perubahan kedudukannya berdasarkan bintang dan buruj di langit.

Jika anda nampak ada objek bergerak perlahan-lahan dalam masa beberapa minit pun dah berubah kedudukannya, itupun bukan komet. Ia mungkin kapal terbang atau ISS je pun.

Boleh ke dilihat dengan mata kasar dengan senang?

Saya jangkakan untuk melihat dengan mata kasar, kita kena lihatnya dalam waktu langit sudah gelap, contoh menjelang Isya’ dan dari kawasan yang tiada gangguan cahaya.

Cuba cari kawasan yang jauh dari tiang lampu elektrik tu! Silau cahaya lampu tu akan mengganggu.

Dari kawasan bandar, mungkin mencabar sikit.

Sebaiknya guna Binokular atau teleskop.

Boleh kah dirakam menggunakan camera pada handphone?

Jika ia kekal terang seperti sekarang ini, saya jangkakan kita boleh rakam. Tetapi kena up-kan ISO atau Gain, atau jika ada option, panjangkan exposure.

Seeloknya guna DSLR.

Kalau guna DSLR, lens apa kena guna?

Guna lens yang wide, seperti 18mm-50mm pun dah cukup. Berdasarkan gambar-gambar yang dikongsi sekarang ini, saya dapati banyak yang guna wide lens dapat rakam bentuknya yang cantik.

Saya tak galakkan anda guna telefoto lens seperti 200mm, melainkan anda letakkannya di atas tripod mount bermotor/tacking.

Jangan guna fish-eye, sebab komet ini kecik je.. kalau guna fish-eye lens.. berpinarlah mata kita nak cari titik komet kicik dalam frame tu! jenuh bang, jangan cari pasal!

Perlukah guna mount teleskop bermotor?

Tak perlu, melainkan anda berniat nak buat exposure yang panjang, contoh 30 saat atau lebih.

Tripod kamera biasa pun dah ok.

Apa setting kamera yang sesuai?

Yang ini susah nak cakap sebab bergantung kepada banyak faktor. Secara amnya, kekalkan ISO bawah 800, supaya noise kurang. Exposure tu lagi panjang lagi bagus, tetapi mungkin akan mengakibatkan bintang-bintang menjadi trailing. Dalam kes ini, eksperimenlah dengan pelbagai setting sehinggalah dapat gambar yang kita puas hati.

Tak ada tripod la bos, macamana ye?

Beli tripod.

Adakah kedudukan komet ini sama sahaja untuk seluruh Malaysia?

Secara amnya, panduan yang saya berikan ini sesuai untuk majoriti Asia Tenggara, iaitu Malaysia, Brunei, Singapura, sebahagian besar Indonesia dan selatan Filipina.

Jangan risau mengenai waktu. Saya tahu lain negara lain waktunya. Itulah sebab panduan di atas saya rujuk kepada waktu yang standard pada setiap lokasi, iaitu waktu Maghrib (Sunset), waktu Isya’ (Astronomical Twilight). Jika anda tahu waktu solat di kawasan masing-masing, tambah sahaja bilangan minit yang diberikan tadi.

Sampai bila kita boleh lihat komet ini?

Wallahua’lam. Bergantung kepada apa yang berlaku di dalam komet ini. Kita hanya tunggu dan lihat sahaja.

Kesimpulan

Komet NEOWISE ini muncul selepas ‘kekecewaan’ Komet ATLAS yang dijangka akan menjadi cerah tetapi malangnya ia hancur berkecai. ALhamdulillah, NEOWISE berjaya selamat ketika ia melintasi Matahari minggu lepas dan kekal aktif. Bagi kita di Malaysia, mungkin ini adalah peluang terbaik untuk merakam sebuah komet yang terang sejak Komet Hale-Bopp pada tahun 1996 yang lalu!

Mudah-mudahan kita doakan agar langit cantik dan bebas awan pada hari-hari tersebut. Jangan merungut jika cuaca tidak ‘bekerjasama’ sebab urusan awan tu bukan urusan kita! Kita teruskan berdoa kepada Allah SWT agak diberi peluang kali ini….kannnnn….

#keepcalmkeeppraying

Share this:
0 0 vote
Article Rating
Subscribe
Notify of
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x