Jom saksikan meteor Perseid!

Fenomena Meteor, Komet dan Asteroid
Sebuah meteor melintas di hadapan planet Venus yang dirakam oleh Emma pada 14 Disember 2018 menggunakan kamera Fujifilm X-A1 18mm f2.8 30″ ISO 2000. Sumber.

Musim Meteor Perseid sudah kembali! Setiap tahun di antara 17 hingga 24 Ogos, Bumi akan bergerak masuk di dalam kawasan aliran habuk dan debu yang agak padat. Hasil perlanggaran habuk dan debu ini dengan atmosfera Bumi akan menghasilkan tenaga yang besar, serta cahaya yang dikenali sebagai meteor atau tahi bintang.

Menurut laporan International Meteor Organization (IMO), pada tahun ini, meteor Perseid akan memuncak di antara jam 9 malam hingga 12 tengah malam, 12 Ogos 2020 waktu Malaysia.

Maka, peluang terbaik untuk kita di Malaysia dan Asia Tenggara bermula dari selepas tengah malam hingga ke Subuh, hari Khamis, 13 Ogos 2020.

Meteor Perseid ini merupakan antara pancuran meteor yang paling aktif (selain daripada Geminids) dan mempunyai kadar kenampakan meteor Zenithal Hourly Rate (ZHR) sekitar 100 meteor setiap jam!

Namun, seperti biasa harus diingat, nilai ZHR ini adalah dari kawasan langit yang 100% gelap dan titik muncul meteor-meteor ini (radian) berada tegak di atas kepala.

Kita di Malaysia, titik radian ini hanya akan terbit sekitar 1 pagi (12 tengah malam di Sabah) dan menjelang Subuh, ia hanya berada pada ketinggian 34 darjah sahaja.

Maka itu, nilai ZHR kita di Malaysia JAUH LEBIH RENDAH. Jangan beranggapan kita akan dapat lihat juraian yang mencurah-curah seperti hujan!

Apa pun, jumlah kenampakan meteor pada waktu tersebut adalah lebih banyak berbanding malam-malam biasa.

Adakah cahaya Bulan akan mengganggu?

Bulan akan berumur 22.3 hari pada malam tersebut, iaitu sehari selepas fasa Sukuan Akhir. Ia akan terbit sekitar jam 1:45 am (12:45 am di Sabah), lebih kurang sama dengan waktu radian Perseid terbit. Ia akan kelihatan hinggalah matahari terbit.

Fasa Bulan pada malam meteor Perseid memuncak.

Disebabkan bentuk fasa Bulan masih besar, cahaya silaunya mungkin akan mengganggu sedikit kenampakan meteor-meteor Perseid yang halus. Namun, bagi meteor-meteor yang besar dan terang tidak menjadi masalah.

Asal-usul meteor Perseid.

Secara amnya, meteor-meteor adalah debu dan habuk yang berasal daripada komet. Walaupun ada juga kes-kes tertentu ia berasal dari asteroid tetapi lebih banyak yang berasal daripada komet.

Di sepanjang laluan sesebuah komet, akan ada banyak habuk dan debu (juga dikenali sebagai meteoroid) yang tertinggal ‘di belakang’. Jika orbit Bumi berselisih dengan laluan ini, meteoroid-meteoroid ini akan terbakar apabila berlanggar dengan atmosfera Bumi lalu menghasilkan cahaya terang yang dikenali sebagai meteor.

Simulasi laluan meteoroid daripada Komet 109P/Swift-Tuttle yang menghasilkan meteor Perseid. Sumber.

Meteor Perseid berasal daripada Komet 109P/Swift-Tuttle. Komet ini mengorbit Matahari setiap 133 tahun, dan pada saat ini ia berada nun jauh di belakang orbit Uranus.

Meteor-meteor yang jatuh ke Bumi ini majoritinya akan terbakar terlebih dahulu di lapisan atmosfera 100km di atas permukaan Bumi. Hanya segilintir kecil sahaja yang mungkin terselamat daripada hancur 100%, dan sempat jatuh ke bumi sebelum ia hancur berderai. Cebisan-cebisan yang jatuh ke permukaan Bumi ini dikenali sebagai meteorit.

Cara mencerap meteor Perseid.

Titik radian meteor ini adalah dari kawasan buruj Perseus. Buruj ini berada di langit utara. Sebagai pedoman, kedudukan Perseus adalah di sebelah kiri dari buruj Orion.

Lokasi radian atau titik muncul meteor Perseid ialah di dalam buruj Perseus di langit utara. Peta ini menunjukkan kedudukan pada jam 5 pagi di Kuala Lumpur.

Cara terbaik mencerap meteor ialah dengan berbaring dan hanya menggunakan mata kasar. Peralatan seperti teleskop atau binokular tidak diperlukan.

Anda perlu hanya berbaring dan pandang ke kawasan langit yang paling gelap dan tinggi.

Jangan fokus terlalu hampir dengan ufuk kerana di kawasan ufuk ini, atmosfera agak tebal, dan banyak awan dan jerebu. Seeloknya pandang tegak ke kawasan atas kepala, yang juga dikenali sebagai titik zenith.

Contoh rupa sebuah meteor berjenis fireball.

Pada tahun ini, disebabkan Bulan ada di langit ketika memuncaknya meteor Perseid, jangan pandang ke arah timur. Cuba fokus ke arah Selatan, Barat-Daya, Barat, dan Barat-Laut. Kawasan langit di sini lebih gelap dan peluang kenampakan meteor lebih tinggi.

Carilah kawasan yang luas dan tidak terhalang bangunan atau pokok-pokok tinggi.

Cari juga kawasan yang gelap dan tiada lampu yang menyilaukan.Jika anda berada di kawasan kampung yang sememangnya gelap, tetapi ada lampu jalan yang terang, cubalah halang cahaya lampu itu, mungkin dengan menggunakan sisi dinding rumah, bangunan atau mungkin juga rimbunan dedaun pokok.

Jika anda mencerap dari kawasan bandar seperti Kuala Lumpur, peluang melihat meteor yang banyak akan menjadi amat tipis. Ini disebabkan pencemaran cahayayang teruk akan memberi kesan langsung kepada kenampakan meteor-meteor yang kelam. Kalau boleh, berusahalah keluar daripada kawasan jauh dari pusat bandar.

Janganlah mencerap meteor dari kawasan tengah bandar yang besar. Pergi cari kawasan luar bandar atau langit yang tidak ada banyak pencemaran cahaya! Sumber.

Poin penting di sini ialah, walaupun jumlah meteor ini banyak, tetapi majoritinya adalah meteor-meteor yang kelam dan halus, Hanya sekali sekala sahaja meteor yang terang seperti jenis fireball atau bolides akan muncul.

Mata anda juga perlu dikalibrasi terlebih dahulu sebelum boleh nampak meteor-meteor ini. Maksud di sini ialah anda perlu duduk lebih kurang 30 minit di dalam kawasan gelap, barulah mata anda lengkap mengadaptasi suasana persekitaran gelap dan boleh lihat cahaya-cahaya yang malap.

Merakam meteor

Untuk merakam meteor, caranya amat mudah, tapi nak dapat hasilnya amat susah!

Lintasan cahaya meteor yang muncul di langit itu, memang mudah diihat dengan mata, tetapi ia masih malap untuk dirakam di dalam kamera. Jangan rasa hairan jika anda mungkin dapat mengira beratus-ratus meteor sepanjang malam cerapan itu nanti dengan mata, tetapi di dalam kamera mungkin tak sampai 5 frame yang ada meteor di dalamnya!

With that being said , jangan pula rasa kecewa atau lemah semangat. Anggap saja merakam meteor ini umpama pergi memancing, kalau dapat tangkap seekor ikan … kira rezeki lah tu, ikan kecik atau ikan besar..itu belakang kira! 😃

Jangan pula terpengaruh dengan gambar meteor yang berduyun-duyun kelihatan dalam satu frame gambar, yang sering dikongsikan di internet. Itu sebenarnya ialah gambar composite, iaitu gabungan frame-frame yang ada meteor dan disatukan dalam satu frame.

Foto komposit atau gabungan beberapa frame gambar meteor Perseid. Hakikat sebenar ketika mencerap dengan mata bukanlah seperti ini. Foto oleh Petr Horálek/NASA

Secara peribadi, saya lebih sukakan gambar yang datang dari satu frame sahaja, dan bukan digabung-gabung.

Berikut merupakan antara perkara paling penting dalam merakam meteor.

Jenis lensa kamera

Secara amnya, meteor akan muncul di mana-mana sahaja. Kita tak boleh nak mengagak di mana ia akan muncul dan bila ia muncul. Maka itu, gunalah lensa kamera yang agak luas atau wide. Ini akan memberi medan pandangan (field of view) yang luas.

Lensa bersaiz 15-20mm dan intervalometer antara komponen penting dalam merakam meteor menggunakan DSLR.

Tetapi jangan pula guna lensa jenis fish eye. Walaupun ia memberi pandangan langit yang sangat luas, menjangkau 100 darjah atau lebih, meteor-meteor yang muncul itu semuanya kecil-kecil, dan ia akan mudah hilang dalam gambar itu. Gunalah lensa sekitar 15mm-20mm adalah yang paling optimum.

Nilai f/ratio

Nilai f/ratio lensa juga penting. Lagi kecil nombornya, contoh f/2.8, maka peluang untuk anda merakam meteor-meteor yang kelam dan halus lagi tinggi.

Jangan set f/ratio kepada nilai yang tinggi seperti f/3.0 atau lebih, kerana bukaannya menjadi terlalu kecil dan akan ia tidak akan dapat merakam cahaya kelam yang datang dari meteor-meteor halus ini.

Tips ramai otai fotografer meteor dunia mengatakan, cuba kekalkan f/ratio di bawah nilai 2.0

ISO dan waktu dedahan

Set ISO sekitar antara 400-800.Jangan terlalu tinggi kerana ia akan menghasilkan gambar yang mempunyai kesan hingar atau noiseyang terlalu tinggi.

Set waktu dedahan berdasarkan lokasi cerapan anda. Cuba set antara 10-30 saat. Uji satu frame dahulu, dan jika imej yang terhasil terlalu ‘putih’, rendah atau pendekkan waktu dedahan.

Intervalometer dan tripod

Kamera perlu dibiarkan merakam secara automatik dan diletakkan di atas tripod. Jika anda tidak ada tripod, boleh letakkan di permukaan yang stabil.

Intervalometer ialah alat tambahan yang dipasang seperti remote shutter pada tepi kamera anda. Ia boleh ditetapkan supaya kamera kita merakam secara berterusan mengikut sela-masa dan waktu dedahan yang kita ingini. Kamera-kamera yang baru sekarang ini pun sudah ada built-in intervalometeryang boleh ditetapkan menerusi menu setting kamera itu.

Bateri

Supaya anda dapat memperolehi hasil yang baik, anda perlu merakam sepanjang malam, paling tidak pun bermula tengah malam hingga ke Subuh, iaitu lebih kurang 6 jam.

Maka itu, pastikan anda mempunyai bateri yang banyak untuk digunakan sepanjang 6 jam itu.

Masalah kelembapan

Jika malam cerapan kita itu berkelembapan tinggi, banyak embun di sana sini, maka cabarannya ialah hendak memastikan lensa kita itu tidak berembun!

Embun adalah antara musuh kamera di malam-malam yang lembap dan sejuk!

Antara cara yang sering dibuat ialah dengan membeli hand warmer dan mengikatnya disekeliling lensa kamera kita itu. Ia mungkin dapat bertahan 1-2 jam. Ia sangat murah dan amat berkesan.

Ada juga yang menggunakan hair dryer . Ini juga bagus tetapi lokasi cerapan anda tu perlu ada sumber kuasa untuk alat itu pulak!

Jangan lupa fokus lensa tu

Paling penting ialah sila fokus lensa kamera tu dulu sebelum memulakan rakaman anda!

Jangan ingat gambar bintang yang ‘besar’ dan ‘bulat’ tu bagus. Itu sebenarnya tanda-tanda kamera anda tu belum betul-betul fokus!

Memang sakit hati apabila kita penat merakam beribu-ribu frame, dan ada yang mempunyai meteor di dalamnya, tetapi semuanya kelabu, kembang dan tak fokus dengan sempurna!

(Yes, saya bercakap ni berdasarkan pengalaman lampau..huhuhu)

Selamat mencerap semua!

Wallahua’lam.

5 1 vote
Article Rating
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments