Skip to toolbar

Bukti kehidupan wujud di planet Zuhrah?

Molekul phosphine ditemui di planet Zuhrah, di lapisan awan 50 km di atas permukaan planet ini. Penemuan phosphine ini mungkin menunjukkan kewujudan ekstra-terestrial yang hidup di udara!

Dunia astronomi ‘meletop’ malam tadi apabila pengumuman oleh sekumpulan saintis astronomi yang menyatakan ‘mungkin’ ada bukti wujudnya kehidupan di planet….. Zuhrah!

Apakah!!!? Zuhrah? Biar betul!?

Menurut kenyataan akhbar oleh European Space Agency (ESO) ini, sekumpulan astronomer dari pelbagai negara telah menemui satu jenis molekul – phosphine – di dalam lapisan awan planet Zuhrah (atau Venus).

Phosphine diketahui hanya boleh wujud daripada 2 jenis sumber, iaitu samada ia terbentuk secara industri ATAU dihasilkan oleh mikrob-mikrob yang hidup di dalam persekitaran yang tiada oksigen.

So…. kita semua tahu mana ada mak cik kiah yang tinggal kat planet Zuhrah bukak kilang kereta kat sana… maknanya tinggal satu pilihan aje la…. ALIENSSSS!!!!

Jap..jap..rileks dulu. Sebelum korang viral tak tentu arah.. kita cuba faham dulu kisah sebenar penemuan ini.

Ahli astronomi sudah lama memikirkan lapisan awan di atas permukaan Zuhrah berkemungkinan sesuai menjadi ‘rumah’ kepada kehidupan level mikrob yang kecil yang boleh terapung-apung di udara. Namun untuk membuktikannya merupakan satu benda yang berlainan! Kita tak boleh nak pergi sana untuk ambil sampel.

Maka, satu cara yang digunakan ialah dengan mencari bukti secara kimia, kaedah yang dikenali sebagai biomarkers. Di sini, saintis cuba mencari bahan kimia yang terhasil daripada benda hidup, sebagai contoh oksigen.

Disclaimer: Bab kimia dan biologi bukanlah bidang saya. Maka kalau ada penerangan yang salah atau marapu-rapu, itu semua kelemahan diri saya. Saya cuba menerangkan setakat mana yang mampu.

Baru-baru ini, saintis mendapati phosphine boleh dijadikan batu tanda kepada biomarker yang baik. Di Bumi, phosphine (PH3) hanya terhasil daripada buatan manusia (industri) atau bakteria anaerobic (jenis bakteria yang tidak memerlukan oksigen untuk hidup).

Balai cerap JCMT di Hawai’i. Foto kredit Tom Kerr, UKIRT

Apabila kesan phosphine ini berjaya dikesan di dalam spektrum cahaya planet Zuhrah menerusi James Clerk Maxwell Telescope (JCMT) yang dikendalikan oleh East Asian Observatory di Hawai’i, saintis cukup terkejut!

Phosphine diketahui boleh menyerap cahaya pada wavelength skala milimeter (jauh di luar kemampuan mata manusia untuk melihatnya), tetapi peralatan di JCMT memang dibina untuk mencerap fenomena penyerapan jenis ini.

Bagi mempastikan data dari JCMT itu benar-benar tepat, ahli astronomi telah menggunakan teleskop lebih besar, iaitu Atacama Large Millimeter/submillimeter Array (ALMA) di Chile, yang mempunyai 45 buah piring radio yang digabungkan.

Hasil daripada dua cerapan ini saintis mendapati phosphone wujud dalam jumlah yang kecil, 20 molekul phosphine untuk setiap 1 BILION molekul ‘benda-benda lain.

Sikit tu, tapi ia tetap wujud!

Planet Zuhrah ini bukanlah planet yang pertama yang kita fikir untuk cari kehidupan. Selalunya Marikh-lah yang menjadi idaman. Tekanan udara di permukaannya 90 kali ganda lebih berat berbanding Bumi! Umpama kita berada di dalam lautan sedalam 900 meter! Atmosferanya hampir semua terdiri daripada karbon dioksida yang menjadikan suhunya mencecah sehingga 470 darjah celsius! Pada suhu ini, timah dan plumbum pun boleh cair!

Awan dia pulak terdiri daripada asid sulfurik!

Tetapi pada ketinggian sekitar 50 km di atas permukaan yang ‘menyeksakan’ itu, suhu berada pada sekitar 20-30 darjah Celsius, sama macam di Bumi. Tekanan udara di sini pun lebih kurang serupa di Bumi. Maka, saintis akan fokus di kawasan ini untuk menjadi bukti kehidupan.. kalau ada la.

Apabila phosphine berjaya dikesan pada ketinggian 50 km ini, saintis masih lagi bingung. Sebabnya, pada persekitaran ini phosphine hanya boleh wujud sebentar sahaja dan akan hancur dalam kadar yang cepat. Saintis menganggarkan dalam masa kurang 1000 tahun, phosphine yang wujud boleh hilang.

Persoalannya, apakah yang menghasilkan ‘stok baru’ molekul-molekul phosphine ini?

Saintis yang mengkaji ini telah cuba melihat beberapa kemungkinan lain.

  1. Cahaya Matahari? Terlalu sedikit untuk tembus lapisan awan yang tebal.
  2. Proses geologi di permukaan atau bawah permukaan Zuhrah? Tak mungkin sebab proses tu tak cukup menghasilkan jumlah phosphine yang ditemui.
  3. Kilat? Amat jarang berlaku di sana. Jumlah kilat di Zuhrah perlulah mencapai kadar 10 JUTA kali lebih kerap berlaku untuk menghasilkan jumlah phosphine tadi).
  4. Meteor? out….
  5. Gunung berapi? lagi out…

Tapi gunung berapi ada potensi. Kita masih tidak tahu sejauh mana aktifnya permukaan Zuhrah yang berapa banyak gunung berapi yang masih aktif di sana. Menurut perkiraan, Zuhrah perlu mempunyai jumlah gunung berapi aktif 200 kali LEBIH BANYAK daripada yang ada di Bumi. Apa pun, yang ini masih belum meyakinkan.

Maka dari itu, proses semulajadi yang bukan biologikal seperti di atas, belum cukup untuk menghasilkan phosphine. Jadi.. apakah yang menghasilkan phosphine ini?

ALIENNNS????

Rileks dulu… kita tak boleh senang-senang buat kesimpulan sebegitu. Masih banyak benda lain yang kita tak tahu. Mungkin ada proses semulajadi lain yang kita BELUM TAHU.

Malah, persekitaran di sekitar dan dalam planet Zuhrah pun masih belum diterokai sepenuhnya. Ketika ini hanya prob kepunyai negara Jepun, Akatsuki yang sedang aktif mencerap planet ini dari kawasan orbitnya. Sebelum ini misi pertama ke permukaan Zuhrah ialah oleh Soviet Union menerusi prob Venera pada tahun 70an, Magellan kepunyaan NASA pada tahun 1990-1994.

Pengumuman semalam merupakan detik bersejarah di dalam dunia astronomi. Potensi untuk mencari kehidupan di planet selain Bumi semakin hangat. Kita hidup di dalam planet yang sudah direka cipta untuk kehidupan manusia dan makhluk-makhluk lain. Pengetahuan kita terhadap kewujudan mahkluk lain bersandarkan apa yang kita tahu dan kenal di Bumi.

Mungkinkah di dalam persekitaran yang jauh berbeza dengan kita, boleh wujud kehidupan level bakteria atau organisma halus?

Mungkin sampai kiamat kita tak akan dapat tahu jawapannya. Tapi apa yang pasti, dengan mempelajari dan menerokai kemungkinan-kemungkinan seperti ini, ia jelas menunjukkan betapa hebat dan berkuasanya Allah SWT yang menyusun atur alam ini.

Janji kita terus belajar, teroka, lihat, fikir dan zikir!


Rujukan.

Share this:
2 3 votes
Article Rating
Subscribe
Notify of
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x