Skip to toolbar

Syabas! Air ditemui di atas Bulan! Yeay syabassss!

Ais di atas Bulan. Ini cerita lama yang pernah kita baca beberapa tahun lepas apabila prob angkasa yang mengorbit Bulan mengesan ais di kawasan bayang-bayang kekal di celah-celah kawah di bahagian selatan Bulan.

Tapi, berita terbaru yang diumumkan Isnin lepas menerusi kertas kajian Nature, molekul air atau H2O secara jelas telah ditemui di sebuah kawah gergasi bernama Clavius yang terletak di hemisfera selatan Bulan. Menjadikan berita ini lebih menarik ialah kawasan penemuan ini berada di kawasan yang menerima cahaya matahari secara terus!

Penemuan yang dibuat oleh balai cerap milik NASA bernama Stratospheric Observatory for Infrared Astronomy (SOFIA) menunjukkan bukti kuat besar kemungkinan air boleh wujud di merata-rata tempat di atas permukaan Bulan dan tidak terhad di dalam kawasan bayang-bayang kekal sahaja!

Wow! Lepas ni tak ada masalah air la ye?

Err… mesti hang duk selangor ni…. anyway….

Menurut kertas di Nature tu, kepadatan air di dalam kawasan itu ialah antara 100 hingga 412 bahagian untuk setiap 1 juta bahagian… atau jika dikumpulkan umpama air sebanyak 12 ounce atau 354 mililiter air yang terperangkap di dalam 1 meter padu tanah.

Sikit je tu…

Sebagai perbandingan, padang pasir Sahara mempunyai 100 kali lebih banyak jumlah air berbanding apa yang ditemui oleh SOFIA.!

Tapi walaupun sedikit, penemuan ini menunjukkan bahawa di dalam persekitaran yang ekstrem seperti di permukaan Bulan yang tiada atmosfera dan panas pada waktu siang, air boleh wujud di situ. Menurut Paul Hertz, pengarah Bahagian Astrofizik di dalam Science Mission Directorate di ibu pejabat NASA, penemuan ini mencabar pengetahuan kita sebelum ini mengenai permukaan Bulan dan mengungkit persoalan menarik mengenai sumber penting yang diperlukan di dalam eksplorasi ruang angkasa.

Sebelum penemuan oleh SOFIA ini, proses hidrasi telah pun ditemui oleh banyak misi angkasa seperti Lunar Crater Observation and Sensing Satellite yang menemui ais di kawasan gelap kekal di celah-celah kawah di bahagian kutub Bulan. Selain itu, misi seperti Cassini, Deep Impact dan juga misi dari negara India, Chandrayaan-1, turut menemui bukti proses hidrasi (OH) di permukaan Bulan yang kena cahaya Matahari, tetapi ketika itu misi-misi tersebut masih belum dapat membezakan samada ia dalam bentuk hidrasi (OH) atau H2O.

Hidrasi ialah proses penambahan air atau unsur air (seperti H atau OH) ke atas entiti molekular.

Misi asal SOFIA ini ialah mencerap objek-objek jauh seperti galaksi, gugusan bintang dan lohong hitam. Namun pada tahun 2018, mereka mahu mencuba cerapan ke atas Bulan pula. Menurut Naseem Rangwala, saintis projek SOFIA di Ames Research Center di Silicon Valley, California, mereka pun tak pasti untuk dapat apa-apa hasil daripada cerapan percubaan ini, dan amat teruja apabila ada penemuan baru telah berjaya dibuat.

Perghhh…boleh cuba try test diaorang ni ek…

SOFIA ialah sebuah teleskop berdiameter 106 inci, yang diletakkan di dalam sebuah kapal terbang Boeing 747SP, yang terbang pada altitud sehingga 45,000 kaki. Pada ketinggian ini, ia berada di atas 99% daripada lapisan wap air yang wujud di dalam atmosfera Bumi. Dengan tiada gangguan dari wap air ini, cerapan menerusi julat infra-merah dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

Kapal terbang Boeing 747SP membawa balai cerap SOFIA. Kredit: NASA/Jim Ross

Alat yang digunakan untuk mengesan molekul air pada julat 6.1 micron bernama Faint Object infraRed CAmera for the SOFIA Telescope (FORCAST).

Foto di bawah ialah kawah Clavius yang dirakam oleh penulis malam semalam.

Kawah Clavius di kawasan hemisfera selatan berhampiran dengan kutub selatan Bulan. Foto oleh @shahgazer

Ketika ini bagaimana air boleh wujud di permukaan Bulan masih menjadi teka-teki. Antara teori yang diutarakan ialah meteorit mikro dari angkasa yang membawa molekul air di dalamnya, telah meninggalkan air di dalam permukaan Bulan.

Satu lagi teori ialah angin suria daripada Matahari membawa hidrogen ke permukaan Bulan dan berlaku reaksi kimia dengan bahan-bahan mineral Bulan yang mempunyai unsur oksigen di dalamnya, lalu membentuk hydroxil. Kemudian radiasi yang terhasil daripada perlanggaran meteorit mikro tadi menukarkan hydroxil menjadi air.

Bagaimana air ‘tersimpan’ pun masih menjadi tanda tanya. Air itu mungkin terperangkap di dalam bentuk struktur yang kecil seperti manik, yang mana ia terhasil akibat suhu yang amat panas ketika meteorit mikro itu menghentam permukaan Bulan.

SOFIA dijadualkan akan melakukan cerapan susulan ketika Bulan memasuki fasa-fasa berlainan, untuk melihat bagaimana air ini dihasilkan, disimpan dan bergerak di persekitaran permukaan Bulan. Misi Bulan seperti Volatiles Investigating Polar Exploration Rover (VIPER) akan menggunakan data yang dikumpulkan oleh SOFIA ini sebagai usaha memeta kawasan air di Bulan untuk misi manusia di masa hadapan.

Syabassssss!!!!! 😈

Kedudukan kawah Clavius yang dirakam oleh Emma Zulaiha semalam.

Share this:
0 0 vote
Article Rating
Subscribe
Notify of
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x