Februari, bulan yang sibuk di planet Marikh!

Saya ada membincangkan sikit (dalam siaran live Bicara Santai Falak 14 Jan 2021) mengenai misi-misi angkasa yang akan berlaku sepanjang tahun 2021, dan boleh dikatakan bulan Februari nanti merupakan bulan yang paling sibuk.

3 buah misi dari 3 buah negara, akan sama ada masuk ke dalam orbit atau cuba untuk mendarat di atas permukaan planet Marikh!

Paling besar dan ambitious ialah dari misi Mars 2020 kepunyaan NASA, iaitu Perserverance . Ia merupakan sebuah perayau yang bersaiz sebuah kereta tetapi yang bernilai USD $2.7 juta.

Robot perayau ini akan mendarat pada 18 Februari 2021, dengan kaedah yang agak unik, yang mana roket yang membawa perayau ini ke permukaan Marikh, akan mengeluarkan sebatang kren yang panjang dan perlahan-lahan melepaskan Perserverance ini ke bawah. Cuba lihat video animasi proses tersebut.

Menurut laporan rasmi misi ini, Perserverance akan mendarat di dalam kawasan sebuah kawah bernama Jezero Crater. Perayau ini akan kemudian cuba mencari kesan kehidupan purba di Marikh (jika ada) dan mengumpul beberapa sampel tanah di sana. Kemudian jika semua berjalan lancar, sampel ini akan dibawa pulang pada tahun 2031, menerusi usahama antara NASA dan ESA. Ini amat bersejarah kerana ia bakal menjadi misi pertama manusia cuba membawa balik sampel dari Marikh.

Kalau sampel dari asteroid, kita semua dah banyak kali buat dah!

Perserverance juga mempunyai sebuah alat bernama MOXIE (singkatan kepada “Mars Oxygen ISRU Experiment”). Alat ini akan cuba menghasilkan oksigen daripada udara planet Marikh yang didominasi oleh gas karbon dioksida. Jika berjaya ia bakal menjadi langkah penting untuk manusia mendarat dan tinggal di permukaan planet Marikh ini.

Selain itu, Perserverance juga akan membawa helikopter kecil bernama Ingenuity . Ini merupakan prototaip dan eksperimen penting untuk lihat sejauh mana kemampuan sebuah helikopter terbang di dalam keadaan udara yang amat nipis di Marikh ini.

Kalau berjaya ni, bersepah lah dron terbang sana-sini kat Marikh tu nanti! 😀

Kapal angkasa HOPE kepunyaan UAE.

Selain daripada misi di atas, satu lagi misi bernama HOPE akan masuk ke dalam orbit Marikh. Misi ini merupakan misi pertama negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke planet ini dan juga misi pertama dikendalikan oleh sebuah negara yang majoritinya umat Islam. Ia dijadukan masuk ke orbit pada 9 Februari.

Misi dari negara China pula akan, Tianwen-1, akan masuk ke orbit Marikh sehari selepas HOPE. Ini juga merupakan misi pertama China ke planet merah ini yang dikendalikan sepenuhnya oleh negara komunis ini. Kejayaan misi-misi angkasa oleh China beberapa tahun kebelakangan ini amat menakjubkan!

Tianwen-1 kepunyaan China

Misi Tianwen-1 juga mempunyai sebuah perayau yang akan mendarat beberapa bulan selepas itu, katanya sekitar Mei 2021. Ini pun akan dibuat selepas beberapa bulan merakam dan mengkaji kawasan paling sesuai untuk mendarat perayau ini.

Adakah semua misi ini akan berjaya nanti? Jom kita sama-sama pantau berita-berita kemajuan misi ini menerusi web FalakOnline ataupun menerusi twitter FalakOnline.

0 0 vote
Article Rating
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x
%d bloggers like this: