Ogos 2015

  • 2 Ogo 6 PM Bulan di perigee (paling hampir dengan Bumi)
  • 7 Ogo 10 AM Bulan Sukuan Akhir
  • 7-8 Ogos Maghrib Utarid dan Musytari hampir dengan bintang Regulus
  • 9 Ogo Subuh Bintang Aldebaran hampir dengan Bulan
  • 18 Ogo 9 AM Bulan di apogee (paling jauh dari Bumi)
  • 19-20 Ogo Maghrib-Isya Bintang Spica hampir dengan Bulan
  • 22 Ogo Maghrib-Isya Zuhal hampir dengan Bulan
  • 23 Ogo 3 AM Bulan Sukuan Pertama
  • 30 Ogo 2 AM Bulan Penuh
  • 30 Ogo 11 PM Bulan di perigee (paling hampir dengan Bumi)

 

AWAL MAGHRIB

Pada minggu pertama bulan ini, rendah di ufuk barat akan berkumpulnya 3 buah planet serentak, iaitu ZUHRAH, MUSYTARI dan UTARID.

Namun, fenomena kali ini agak mencabar kerana ia begitu rendah dan tenggelam di dalam cahaya matahari. Anda perlukan langit barat yang tiada halangan , serta tiada awan yang mengganggu penglihatan.

Jangka waktu untuk melihat pun agak singkat, lebih kurang 10 minit sahaja, sebelum ia terbenam.

Setelah berbulan-bulan, Zuhrah dan Musytari menghiasi langit barat, kini tibalah masa kita mengucapkan selamat tinggal (buat sementara waktu).

Utarid pula semakin tinggi setiap hari. Menjelang pertengahan bulan, ia akan berada agak tinggi untuk cuba kita sama-sama jejakinya. Pada 16 Ogos, Bulan sabit muda akan berada bersebelahannya. Boleh guna peluang ini untuk mencari planet yang suka “main sembunyi-sembunyi” ni!


 

ISYA hinggalah ke TENGAH MALAM.

ZUHAL berada tegak di atas kepala pada awal bulan, dan ia pun semakin hari semakin rendah ke barat. Bulan akan melintasi hampir dengan planet ini pada 22 Ogos nanti.


 

SUBUH

MARIKH mula muncul di langit, rendah di ufuk timur sekitar Subuh. Namun ia masih terlalu jauh dan kelam untuk menarik perhatian sesiapa pun.

Menjelang hujung bulan nanti, Zuhrah akan muncul pula di langit Timur! Perhatikan betapa lajunya perubahan kedudukannya nanti! Sekejap sahaja ia akan makin tinggi dari kaki langit!


 

METEOR PERSEIDS

METEOR Perseids akan memuncak pada 12-13 Ogos nanti! Dengan kadar sekitar 60 100 meteor sejam, tahun ini mempunyai prospek yang amat baik kerana cahaya Bulan tidak akan mengganggu penglihatan kita! Jangan lepaskan peluang!