Oktober 2015

  • 2-3 Okt Subuh Bintang Aldebaran hampir dengan Bulan
  • 5 Okt 5 AM Bulan Sukuan Akhir
  • 9 Okt Subuh Zuhrah dan bintang Regulus hampir dengan Bulan
  • 10 Okt 5 AM Marikh & Musytari hampir dengan Bulan
  • 11 Okt Subuh Utarid hampir dengan Bulan
  • 11 Okt 9 PM Bulan di apogee (paling jauh dari Bumi)
  • 12 Okt 11 AM Uranus bersetentang (opposisi)
  • 13 Okt 8 AM Bulan baru (ijtimak)
  • 16 Okt Subuh Utarid berkedudukan paling jauh dari matahari (Timur)
  • 16 Okt Maghrib-Isya Zuhal hampir dengan Bulan
  • 18 Okt Subuh Marikh amat hampir dengan Musytari
  • 26 Okt Subuh Zuhrah amat hampir dengan Musytari
  • 26 Okt Subuh Zuhrah berkedudukan paling jauh dari matahari (Timur)
  • 26 Okt 9 PM Bulan di perigee (paling hampir dengan Bumi)
  • 27 Okt 8 PM Bulan Penuh
  • 30 Okt Subuh Bintang Aldebaran hampir dengan Bulan

 

AWAL MAGHRIB

Satu-satunya planet yang ada di langit senja bulan ini ialah ZUHAL, dan itupun tidak begitu menarik kerana ia sudah semakin rendah ke ufuk setiap hari! Peluang untuk melihatnya semakin sukar setiap hari.


 

SUBUH

Waktu Subuh bulan ini amat sibuk! Ini adalah kerana pada tarikh tertentu, kita boleh melihat sehingga 4 buah planet dan Bulan serentak! Oleh itu siap sedia untuk bangun awal!

Pada 9 Oktober nanti, Bulan akan berada amat hampir dengan ZUHRAH! Kalau anda ada Binokular, kedua-dua objek ini boleh dimuatkan dalam satu pandangan! Malah jika ada teleskop berkuasa rendah pun boleh melihatnya serentak!

Keesokannya, 10 Oktober, Bulan akan berada bersebelahan MUSYTARI pula!

MARIKH berada di antara Zuhrah dan Musytari, tetapi disebabkan ia tidak begitu terang sinarannya, maka kadang-kadang kita boleh terlepas pandang.

UTARID berada ke bawah dari Musytari, dan akan dilintasi Bulan pada 11-12 Oktober! Ia semakin terang sekitar pertengahan bulan, namun semakin rendah kedudukannya menjelang hujung bulan.

Pada 26 Oktober nanti, sekali lagi Zuhrah dan Musytari akan berada bersebelahan (seperti mana ia berlaku pada awal Julai lepas). Ia seolah-olah memberi peluang kepada kita yang mungkin terlepas untuk melihatnya sebelum ini.

Bonusnya, Marikh akan berada dekat dengan kedua-dua planet ini. Jika anda mempunyai Binokular, cubalah lihat ketiga-tiga planet ini serentak!

Menjelang hujung bulan, Musytari semakin bergerak menjauhi Zuhrah, tetapi sekarang giliran Marikh pula menuju menghampiri Zuhrah!


 

METEOR Orionids

Meteor Orionids akan memuncak pada kadar 20 meteor sejam pada 21-22 Okt tahun ini. Prospeknya pun bagus kerana tiada gangguan cahaya dari Bulan!