ALMANAK ASTRONOMI 2018

Pengenalan

Almanak Astronomi 2018 ini merupakan himpunan fenomena Astronomi yang menarik untuk dicerap atau diamati untuk sepanjang tahun 2018. Ia telah dikira dan disesuaikan waktu dan tarikh kejadian kepada waktu Malaysia dan sekitar Asia Tenggara. Anda tidak perlu membuat pertukaran tarikh dan waktu lagi. Majoriti daripada fenomena-fenomena ini mudah untuk dicerap dengan mata kasar dan tidak memerlukan sebarang alat.  Terdapat lebih daripada 290 fenomena yang dikenalpasti menarik untuk diamati nanti.

Untuk tahun 2018 ini, ada sedikit penambahan yang telah dibuat. Saya telah juga memasukkan beberapa fenomena langit yang hanya sesuai untuk digunakan menggunakan alat pencerapan seperti binokular atau teleskop. Saya juga ada menyenaraikan fenomena yang sesuai untuk dirakam dengan kamera memandangkan sekarang ini ramai yang memiliki kamera.

Oleh itu, bagi membezakan di antara jenis-jenis fenomena tadi, saya ada buat tandaan baru di hujung setiap kejadian yang akan berlaku. Sila lihat contoh di bawah:

Ada beberapa tandaan berwarna biru yang akan memberi gambaran ringkas kategori manakah fenomena ini akan berlaku. Maksud setiap huruf itu adalah seperti berikut:

  • [i]=informasi – Fenomena yang berlaku ini mungkin tidak boleh dilihat dengan mata, atau berlaku ketika objek itu tidak kelihatan di langit Malaysia dan Asia Tenggara. Sekadar informasi yang mungkin berguna untuk tujuan lain.
  • [m]=mata kasar – Fenomena ini boleh dilihat atau sesuai untuk dilihat dengan mata kasar.
  • [b]=binokular – Fenomena ini amat bagus untuk dilihat menggunakan binokular;
  • [t]=teleskop – Fenomena ini juga bagus untuk dilihat menerusi teleskop.
  • [afk]=astrofoto dslr+lens – Fenomena ini mudah dirakam menggunakan kamera DSLR dan kit lens biasa.
  • [aft]=astrofoto dslr/ccd+teleskop – Fenomena ini amat bagus untuk dirakam menggunakan DSLR atau kamera CCD dan dipasang pada teleskop yang mempunyai pelekap (mount) bermotor. Ini untuk anda yang level intermediate atau advance.

Contoh:

  • [m][b][afk] : Fenomena ini sesuai untuk dilihat dengan mata kasar dan binokular. Juga sesuai dirakam menggunakan kamera DSLR biasa.
  • [b][t][afk][aft]: Fenomena ini hanya sesuai jika menggunakan binokular atau teleskop. Boleh dirakam samada menggunakan DSLR biasa atau juga dipasang pada teleskop.

Rasanya boleh faham kot?

Star Rating

Selain itu, seperti AA2017 yang lepas, saya mengekalkan rating atau ★★  yang mana

  • ★ – fenomena yang menarik dan penting untuk diberi perhatian.
  • ★  – fenomena yang sungguh menarik dan amatlah rugi jika anda tak tengok! Wajib berusaha untuk pergi tengok!

Perihal Waktu.

Kebanyakan fenomena di dalam AA2018 menggunakan waktu solat sebagai titik rujukan. Ini bertujuan memudah penggunaan bagi anda yang berada di kawasan longlitud yang berlainan daripada saya di Kuala Lumpur. Jika saya letak “Lihat timur pada jam 6.30 pagi”… ini mungkin sesuai untuk lokasi saya di semenanjung, tetapi bagi rakan-rakan di Sabah contohnya, jam 6.30 pagi dah terang benderang!

Oleh itu, saya cuba standardkan waktu dengan menggunakan ayat seperti “1 jam SELEPAS Maghrib” atau “3 jam SEBELUM Subuh”. Dari situ jika waktu Subuh anda ialah 4.30 pagi.. maka fenomena yang dinyatakan sebagai “3 jam SEBELUM Subuh” tu.. boleh dikira menjadi 1.30 pagi di lokasi anda.

Untuk rakan-rakan pengguna lain yang tidak begitu memahami pukul berapakan waktu solat yang dirujukkan tadi, saya boleh ringkaskan seperti di bawah:

  • Subuh – Ketika kita sudah dapat lihat cahaya matahari secara samar-samar buat kali pertama. Secara amnya ia berlaku 1 jam 10 minit SEBELUM matahari terbit. Dalam perisian astronomi ia dikenali sebagai Astronomical Dawn
  • Maghrib – Ketika waktu matahari terbenam.
  • Isya‘ – Ketika hilang sepenuhnya cahaya samar-samar matahari yang masih kelihatan selepas Maghrib tadi. Secara amnya ia berlaku 1 jam 10 minit SELEPAS matahari terbenam. Dalam perisian astronomi ia dikenali sebagai Astronomical Dusk.

Cara Pengiraan AA2018

Kiraan asas AA2018 dibuat menggunakan CalSkyOccult 4.3.2.0, International Meteor Organization, dan Timeanddate.com Selain itu, saya ada juga membangunkan aplikasi khas menggunakan python untuk mengenalpasti beberapa fenomena tertentu. Pemeriksaan level kedua dibuat sekali lagi menggunakan perisian Sky Safari 5 Pro  dan Cartes du Ciel,  untuk memastikan kesahihan,  kesesuaian dan kebolehnampakkan dari langit Malaysia.

Disebabkan terlampau banyak fenomena langit yang boleh disenaraikan, maka adalah hampir mustahil untuk mengumpulkannya dalam satu diari yang padat dan ringkas. Maka, saya telah membuat tapisan dan hanya memilih fenomena langit yang memenuhi kriteria-kriteria tertentu dan boleh dikatakan menarik perhatian orang awam dan level umum.


Hakcipta/Copyright

Maklumat-maklumat di dalam Astronomi Almanak 2018 ini boleh dikongsi dengan sesiapa sahaja, menerusi medium elektronik (sama ada laman web, media sosial atau aplikasi mesej telefon), dengan syarat:

  • Tiada perubahan dibuat dari maklumat asal
  • Disertakan sekali pautan asal ke page ini ( http://falakonline.net/semesta/aa2018/ ) dengan menyatakannya sebagai sumber rujukan. Saya dapati ada beberapa kes untuk AA2017 yang lepas di mana, maklumat telah diambil dari sini tetapi tiada langsung dinyatakan daripada mana sumbernya. Kecik hati saya…

Anda dibenarkan mencetak AA2018 untuk kegunaan sendiri.

Anda tidak dibenarkan memindah dan mencetaknya ke dalam bentuk percetakan hard copy(seperti buku atau poster) bagi tujuan komersial atau edaran percuma kepada umumMELAINKAN sudah mendapat kebenaran bertulis/emel terlebih dahulu daripada penulis.

Penulis berhak menambah malumat-maklumat baru ke dalam AA2018 dari semasa ke semasa mengikut keperluan semasa. Ini merupakan sebuah Living Document.

Pengumuman penambahan atau pembetulan akan dibuat menerusi media sosial FalakOnline di Facebook dan Twitter.

Penghasilan AA2018 agak rumit dan perlukan penelitian terperinci. Oleh itu, saya harap dapat kerjasama di dalam menjaga hak intelektual penghasilan almanak yang dijana khas untuk langit kita di Malaysia dan sekitar Asia Tenggara ini.

Saya doakan agar anda dapat sedikit sebanyak manfaat daripadanya. Jika ada sebarang kesilapan atau mungkin pertambahan fenomena yang menarik yang saya terlepas pandang, saya alu-alukan feedback anda.

 

#tabarakallah


JANUARI 2018

  • 1 Jan – Utarid berada pada kedudukan paling tinggi di ufuk timur selepas Subuh. [m][b][afk]
  • 2 Jan – Bulan berada pada posisi paling ke utara (20.1º) pada jam 7 pagi. [i]
  • 2 Jan – Utarid dalam posisi elongasi paling jauh, 23º, ke sebelah barat Matahari pada jam 10 pagi. [i]
  • 2 Jan – Bulan Penuh PERIGEE pada jam 10:24 pagi. Bulan Penuh paling dekat dengan Bumi untuk tahun 2018.[m]
  • 3 Jan – Marikh berada hampir dengan bintang Zubenelgenubi (0.5º). Boleh dilihat 2 jam sebelum Subuh arah Timur.[m][b][t][afk][aft]
  • 3 Jan – Bumi di kedudukan perihelion (paling hampir dengan Matahari) pada jam 2 petang. [i]
  • 4 Jan – Meteor Quadrantids di kemuncak pada jam 6 pagi, tetapi kehadiran cahaya Bulan akan mengganggu. Prospek kenampakan tidak bagus. [i]
  • 7 Jan – ★★ Musytari dan Marikh berhimpun amat dekat pada jarak 0.2º sahaja. Boleh dilihat 2 jam sebelum Subuh arah timur. [m][b][t][afk][aft]
  • 9 Jan – Bulan Sukuan Akhir pada jam 6.25 pagi. [i]
  • 9 Jan – Zuhrah pada kedudukan Superior Conjunction (berada di bahagian belakang Matahari) pada jam 3 petang. [i]
  • 11 Jan – Bulan, Musytari dan Marikh berada di dalam kawasan langit seluas 8º sahaja. Mula terbit 3 jam sebelum Subuh arah Timur. [m][b][afk]
  • 13 Jan – Zuhal berada amat dekat dengan Utarid (0.7º) tetapi amat rendah di ufuk timur. Hanya kelihatan 20 minit selepas Subuh. [b][t][afk][aft]
  • 15 Jan – Bulan, Zuhal dan Utarid berada di dalam kawasan langit seluas 4.5º sahaja. Rendah di ufuk timur, 20 minit selepas Subuh. [m][b][afk]
  • 16 Jan – Bulan berada pada posisi paling ke selatan (-20º) pada jam 12 tengah malam. [i]
  • 17 Jan – Bulan Baru / Ijtimak APOGEE pada jam 10.17 pagi. Bulan baru paling jauh dengan Bumi untuk tahun 2018. [i]
  • 25 Jan – Bulan Sukuan Awal pada jam 6.20 pagi [i]
  • 26 Jan – Zuhal mula masuk ke dalam lingkungan 5º dan semakin mendekati kawasan kluster M22 dan M28 dalam buruj Sagittarius. Lihat ufuk timur selepas Subuh. [b][afk][aft]
  • 27 Jan – Bulan berada 1.8º dari bintang Aldebaran dan hampir dengan kluster Hyades. Boleh dilihat selepas Maghrib hinggalah ke selepas tengah malam. [m][b][t][afk][aft]
  • 29 Jan – Bulan berada pada posisi paling ke utara (20.1º) pada jam 7 petang. [i]
  • 31 Jan – Marikh mula memasuki lingkungan kawasan 5º dari kluster M80. Lihat sekitar waktu Subuh [b][afk][aft]
  • 31 Jan – Oposisi planet kerdil Ceres pada jam 11:04 pagi. [i]
  • 31 Jan – Bulan Penuh pada jam 9.26 malam. [i]
  • 31 Jan – ★★ Gerhana Bulan Penuh. Fasa gerhana bermula dari 7:48 malam hingga 11:11 malam. Fasa Gerhana Penuh bermula dari 8:51 malam, kemuncak gerhana pada jam 9:29 malam dan tamat pada jam 10.07 malam. Boleh dilihat dari seluruh Malaysia. [m][b][t][afk][aft]

FEBRUARI  2018

  • 1 Feb – Marikh dan bintang Graffias dipisahkan sejauh 0.4º sahaja. Terbit 3 jam sebelum Subuh arah Timur. [m][b][t][afk][aft]
  • 2 Feb – Bulan berada amat hampir dengan Regulus (kurang 1º) sekitar 2 jam sebelum Subuh. [m][b][t][afk][aft]
  • 6 Feb – Bulan berada 7º daripada bintang Spica. Lihat sekitar waktu Subuh. [m][b][afk]
  • 6-7 Feb – Marikh berada 2º dari kluster M80. Lihat sekitar waktu Subuh. [b][t][afk][aft]
  • 7 Feb – Bulan Sukuan Akhir pada jam 11.53 malam [i]
  • 7 Feb – Zuhal mula keluar dari lingkungan 5º dan semakin menjauhi kawasan Nebula Lagoon dan Nebula Trifid. Lihat sebelah timur, sekitar Subuh. [b][afk]
  • 8 Feb – Bulan dan Musytari berada 4º sahaja antara satu sama lain. Terbit sekitar 4 jam sebelum Subuh. [m][b][afk]
  • 9 Feb – Marikh berada kurang 6º dari Bulan. Bintang Antares berada berhampiran membentuk satu garisan. Kelihatan sekitar waktu Subuh. [m][b][afk]
  • 10 Feb – Marikh berada kurang 8º dari Bulan. Bersama-sama dengan bintang Antares, ia membentuk segi tiga. Kelihatan sekitar waktu Subuh. [m][b][afk]
  • 11 Feb – Zuhal berada kurang 8º di sebelah Bulan. Pandang arah timur sekitar Subuh. [m][b][afk]
  • 12 Feb – Bulan berada pada posisi paling ke selatan (-20º) pada jam 7 pagi. [i]
  • 12 Feb – Zuhal berada 5º di sebelah Bulan. Pandang arah timur sekitar Subuh. [m][b][afk]
  • 12 Feb – Marikh berada 5º dari bintang Antares di dalam buruj Scorpius. [m][b][afk]
  • 14 Feb – Marikh mula keluar dari lingkungan kawasan 5º dari kluster M80. [m][b][afk]
  • 16 Feb – Bulan Baru / Ijtimak pada jam 5.05 pagi [i]
  • 17 Feb – Utarid pada posisi Superior Conjunction (di belakang Matahari) pada jam 8 malam. [i]
  • 20 Feb – Marikh berada 0.05º dari kluster NGC 6235. Kelihatan sekitar Subuh. [b][t][afk][aft]
  • 22 Feb – Zuhal membentuk segi tiga dengan kluster M22 dan M28 dalam lingkungan 3º. Kelihatan sekitar Subuh. [m][b][afk][aft]
  • 23 Feb – Bulan Sukuan Awal pada jam 4.09 petang [i]
  • 23 Feb – ★★Fenomena penghijaban Bulan dengan bintang-bintang di dalam kluster Hyades. Bintang Aldebaran berada 3º berhampiran dengannya. Kelihatan selepas Maghrib hingga menjelang tengah malam. [m][b][t][afk][aft]
  • 26 Feb – Bulan berada pada posisi paling ke utara (20.1º) pada jam 4 pagi.[i]
  • 26 Feb – Asteroid Vesta berada 1.5º dari bintang Sabik dalam buruj Ophiuchus. Langit sekitar Subuh. [b][t][afk][aft]
  • 28 Feb – Bintang Regulus berada sekitar 10º di sebelah bawah Bulan. Boleh diihat selepas Maghrib hingga menjelang Subuh. [m][b][afk]

MAC 2018

  • 1 Mac – Bulan berada kurang 7º dari bintang Regulus. Boleh dilihat selepas Isya hingga ke Subuh. [m][b][afk]
  • 2 Mac – Bulan Penuh pada jam 8.51 pagi. [i]
  • 4 Mac – Vesta berada 1.2º sahaja dari kluster M9 di dalam buruj Ophiuchus. Sekitar Subuh arah timur. [b][t][afk][aft]
  • 4 Mac – Utarid dan Zuhrah dipisahkan hanya 1º. Rendah di ufuk barat selepas Maghrib. [m][b][t][afk][aft]
  • 5 Mac – Bulan berada kurang 7º dari bintang Spica. Perhatikan menjelang tengah malam hingga ke Subuh. [m][b][afk]
  • 7 Mac – Musytari berada sekitar 7º di sisi kiri bawah dari Bulan. Boleh dilihat sekitar Subuh.[m][b][afk]
  • 8 Mac – Musytari berada sekitar 7º di sisi kanan Bulan dan boleh dilihat sekitar Subuh. [m][b][afk]
  • 9 Mac – Bulan, Marikh dan Antares membentuk segi tiga. Boleh dilihat 3 jam sebelum Subuh. [m][b][afk]
  • 9 Mac – Bulan Sukuan Akhir pada jam 7:19 petang [i]
  • 10 Mac – Marikh berada 4º di sisi bawah Bulan. Lihat sekitar waktu Subuh. [m][b][afk]
  • 11 Mac – Bulan berada pada posisi paling ke selatan (-20.1º) pada jam 2 petang. [i]
  • 11 Mac – Zuhal berada 3º di sisi bawah Bulan. Lihat sekitar Subuh. [m][b][afk]
  • 14 Mac – Utarid berada pada kedudukan paling tinggi di ufuk barat selepas Maghrib. [m][b][afk]
  • 15 Mac – Utarid dalam posisi elongasi paling jauh, 18º, ke sebelah Timur Matahari pada jam 9 malam. [i]
  • 16 Mac – Marikh mula memasuki kawasan lingkungan 2º di antara nebula Lagoon dan nebula Trifid. Lihat sekitar waktu Subuh. [b][t][afk][aft]
  • 17 Mac – Bulan Baru / Ijtimak pada jam 9:11 malam [i]
  • 19-20 Mac – ★★ Marikh berada di antara nebula Lagoon dan nebula Trifid! Lihat sekitar waktu Subuh. [b][t][afk][aft]
  • 19 Mac – Zuhrah berada 7º di sisi bawah Bulan rendah di ufuk barat selepas Maghrib. [m][b][afk]
  • 21 Mac – Ekuinoks bulan Mac pada jam 12.15 tengah malam. Matahari melintasi garisan Khatulistiwa dari selatan ke utara. [i]
  • 22 Mac – Bintang Aldebaran dan kluster bintang Hyades berada di sisi atas Bulan. Lihat selepas Maghrib-Isya’ [m][b][afk]
  • 22 Mac – Zuhal berada poin paling hampir dengan kluster M22, kurang 2º. Kelihatan selepas tengah malam hingga ke Subuh. [b][t][afk][aft]
  • 23 Mac – Bintang Aldebaran dan kluster bintang Hyades berada di sisi bawah kiri dari Bulan. Lihat selepas Maghrib-Isya’. [m][b][afk]
  • 24 Mac – Marikh mula keluar dari kawasan lingkungan 2º di antara nebula Lagoon dan nebula Trifid. Lihat sekitar waktu Subuh. [b][t][afk][aft]
  • 24 Mac – Zuhrah berada kurang 4º dari kluster Seven Sisters. Rendah di ufuk barat selepas Maghrib [m][b][afk]
  • 24 Mac – Bulan Sukuan Awal pada jam 11:35 malam [i]
  • 25 Mac – Bulan berada pada posisi paling ke utara (20.2º) pada jam 10 pagi. [i]
  • 28 Mac – Marikh berada kurang 1.5º dari kluster M28! [b][t][afk][aft]
  • 28 Mac – Bintang Regulus berada kurang 2º di sebelah kanan Bulan. Lihat selepas Isya’ hinggalah ke lewat tengah malam. [m][b][afk]
  • 29 Mac – Uranus berada 0.15º sahaja dari Zuhrah. Amat rendah di uruk barat selepas Maghrib. [b][t][afk][aft]
  • 31 Mac – Bulan Penuh pada jam 8:36 malam [i]

APRIL 2018

  • 1 Apr – Bintang Spica berada kurang 8º ke kanan Bulan. Lihat selepas Isya’ hinggalah ke Subuh. [m][b][afk]
  • 2 Apr – Utarid pada posisi Inferior Conjunction pada jam 1 pagi. [i]
  • 2 Apr – Vesta berada 1.5º sahaja dari kluster M23 di dalam buruj Sagittarius. Lihat selepas tengah malam ke Subuh. [b][t][afk][aft]
  • 2 Apr – ★★ Marikh berada 0.4º dari kluster M22! Kelihatan sekitar Subuh. Zuhal berhampiran. [b][t][afk][aft]
  • 3 Apr – ★★ Marikh berada kurang 1.5º dari Zuhal! Lihat sekitar Subuh. [m][b][t][afk][aft]
  • 3 Apr – Musytari berada 4º di kanan Bulan. Kelihatan menjelang tengah malam hinggalah ke Subuh. [m][b][afk]
  • 4 Apr – Bintang Antares berada kurang 10º di sisi bawah kiri Bulan. Lihat selepas tengah malam hingga ke Subuh. [m][b][afk]
  • 7 Apr – Marikh dan Zuhal berada sekitar 9º di sebelah kiri dari Bulan. Lihat sekitar Subuh. [m][b][afk]
  • 7 Apr – Bulan berada pada posisi paling ke selatan (-20.3º) pada jam 10 malam. [i]
  • 8 Apr – Bulan Sukuan Akhir pada jam 3:17 petang. [i]
  • 8 Apr – Bulan, Marikh dan Zuhal di dalam kawasan 5º dan membentuk segitiga kecil. Lihat sekitar Subuh. [m][b][afk]
  • 14 Apr – Utarid berada 7º di sisi kiri bawah dari Bulan. 45 minit selepas Subuh arah ufuk Timur. [m][b][afk]
  • 16 Apr – Bulan Baru / Ijtimak pada jam 9:57 pagi. [i]
  • 17 Apr – Bulan sabit yang amat halus berada 8º ke sebelah bawah kiri dari planet Zuhrah, rendah diufuk barat 20 minit selepas Maghrib. [m][b][afk]
  • 18 Apr – Zuhrah berada 8º di bawah Bulan, 20 minit selepas Maghrib rendah di ufuk Barat. [m][b][afk]
  • 19 Apr – Bintang Aldebaran dan kluster bintang Hyades berada 4º ke sebelah bawah Bulan. Kelihatan selepas Maghrib hinggalah 1 jam selepas Isya. [m][b][afk]
  • 21 Apr – Bulan berada pada posisi paling ke utara (20.4º) pada jam 3 petang. [i]
  • 22 Apr – Meteor Lyrids memuncak pada jam 2 pagi. Bulan akan terbenam sekitar tengah malam dan tidak akan mengganggu kenampakan meteor ini. Prospek bagus. Purata kenampakan 18 meteor setiap jam. [m]
  • 22 Apr – Pusat Bima Sakti berada pada kedudukan paling tinggi pada jam 5 pagi. [m][b][afk]
  • 23 Apr – Bulan Sukuan Awal pada jam 5:45 pagi. [i]
  • 24 Apr – Bintang Regulus berada 5º ke kanan Bulan. Lihat selepas Maghrib hinggalah ke tengah malam. [m][b][afk]
  • 24-25 Apr – Zuhrah berada 3.5º dari kluster Seven Sisters. Amat rendah di ufuk barat 45 minit selepas Maghrib. [b][afk]
  • 28 Apr – Bintang Spica berada 8º ke kanan Bulan. Kelihatan selepas Maghrib hingga ke tengah malam. [m][b][afk]
  • 30 Apr – Utarid dalam posisi elongasi paling jauh, 27º, ke sebelah Barat Matahari pada jam 4 pagi. [i]
  • 30 Apr – Bulan Penuh pada jam 8:58 pagi. [i]
  • 30 Apr – Musytari berada 4º dari Bulan. Lihat selepas Isya hinggalah ke Subuh. [m][b][afk]

MEI 2018

  • 2 Mei – Utarid berada pada kedudukan paling tinggi di ufuk timur selepas Subuh. [m][b][afk]
  • 3 Mei – Vesta berada hanya 1.5º dari Nebula Omega di dalam buruj Sagittarius. Lihat selepas tengah malam ke Subuh. [b][t][afk][aft]
  • 4 Mei – Marikh, Zuhal dan Bulan berada segaris, merentasi 30º kawasan langit. Lihat sekitar Subuh. [m][afk]
  • 5 Mei – Bulan berada pada posisi paling ke selatan (-20.6º) pada jam 7 pagi. [i]
  • 5 Mei – Zuhal berada kurang 2º dari Bulan. Lihat sekitar Subuh. [m][b][t][afk][aft]
  • 6 Mei – Marikh berada kurang 5º ke kiri Bulan. Lihat sekitar Subuh. [m][b][afk]
  • 6 Mei – Meteor Eta Aquariids memuncak, tetapi kehadiran cahaya Bulan yang baru melepasi fasa purnama akan mengganggu kenampakan. Prospek tidak bagus. [m]
  • 7 Mei – Marikh berada kurang 8º ke kanan Bulan. Lihat sekitar Subuh. [m][b][afk]
  • 7 Mei – Pusat Bima Sakti berada pada kedudukan paling tinggi pada jam 4 pagi. [m][b][afk]
  • 8 Mei – Bulan Sukuan Akhir pada jam 10:08 pagi. [i]
  • 8-9 Mei – Zuhrah berada kurang 1º dari kluster NGC 1746. Rendah di ufuk barat selepas Maghrib. [b][t][afk][aft]
  • 9 Mei – Oposisi Musytari pada jam 8:41 pagi. [i]
  • 13 Mei – Utarid berada kurang 10º ke bawah kiri Bulan. Rendah di ufuk timur, 45 minit selepas Subuh. [m][b][afk]
  • 14 Mei – Utarid berada kurang 4º di sebelah kiri atas Bulan. Rendah di ufuk timur, 45 minit selepas Subuh. [m][b][afk]
  • 14-15 Mei – ★★Marikh berada kurang 0.5º dari kluster M75! Lihat selepas tengah malam hingga Subuh [b][t][afk][aft]
  • 15 Mei – Bulan Baru / Ijtimak pada jam 7:47 petang. [i]
  • 16 Mei – ★★Zuhal berada kurang 2º dari kluster M22! Lihat selepas tengah malam ke Subuh. [b][t][afk][aft]
  • 17 Mei – Zuhrah berada kurang 7º di sebelah kanan Bulan. Lihat selepas Maghrib di ufuk barat. [m][b][afk]
  • 18 Mei – Zuhrah berada kurang 10º di sebelah bawah Bulan. Lihat selepas Maghrib di ufuk barat. [m][b][afk]
  • 18 Mei – Bulan berada pada posisi paling ke utara (20.7º) pada jam 11 malam. [i]
  • 21 Mei – Bintang Regulus berada 8º di sebelah atas Bulan. Kelihatan selepas Maghrib hingga tengah malam. [m][b][afk]
  • 21 Mei – Zuhrah berada kurang 1º dari kluster M35, ufuk barat selepas Maghrib hingga Isya’. [b][t][afk][aft]
  • 22 Mei – Bulan Sukuan Awal pada jam 11:49 pagi. [i]
  • 22 Mei – Bintang Regulus berada 6º di sebelah atas Bulan. Kelihatan selepas Maghrib hingga tengah malam. [m][b][afk]
  • 23 Mei – Pusat Bima Sakti berada pada kedudukan paling tinggi pada jam 3 pagi. [m][b][afk]
  • 25 & 26 Mei – Bintang Spica berada hampir dengan Bulan. Kelihatan selepas Maghrib hingga lewat tengah malam. [m][b][afk]
  • 27 Mei – Musytari berada 5º daripada Bulan. Lihat selepas Maghrib hingga menjelang Subuh. [m][b][afk]
  • 28 Mei – Istiwa Azam. Matahari 90º di atas Kaabah pada jam 5.18 petang. [i][m]
  • 29 Mei – Antares berada 9º ke kanan dari Bulan. Lihat selepas Maghrib hingga ke Subuh. [m][b][afk]
  • 29 Mei – Bulan Penuh pada jam 10:19 malam [i]

JUN 2018

  • 1 Jun – Zuhal berada 2º dari Bulan. Lihat selepas Isya’ hinggalah ke Subuh. [m][b][t][afk][aft]
  • 1 Jun – Bulan berada pada posisi paling ke selatan (-20.7º) pada jam 3 petang. [i]
  • 3 Jun – Zuhal mula memasuki kawasan lingkungan 3º dengan kluster M22 dan M28. Lihat selepas Isya’ ke Subuh.[b][t][afk][aft]
  • 3 Jun – Bintang Zubenelgenubi berada kurang 1º dari Musytari. Lihat selepas Isya’ hingga menjelang Subuh. [m][b][t][afk][aft]
  • 3-4 Jun – Marikh berada hampir dengan Bulan. Kelihatan menjelang tengah malam hingga ke Subuh. [m][b][afk]
  • 6 Jun – Utarid pada posisi Superior Conjunction (di belakang Matahari) pada jam 10 pagi. [i]
  • 7 Jun – Bulan Sukuan Akhir pada jam 2:31 pagi. [i]
  • 7 Jun – Pusat Bima Sakti berada pada kedudukan paling tinggi pada jam 2 pagi. [m][b][afk]
  • 14 Jun – Bulan Baru / Ijtimak pada jam 3:43 pagi. [i]
  • 15 Jun – Bulan berada pada posisi paling ke utara (20.8º) pada jam 8 pagi. [i]
  • 16 Jun – Zuhrah berada kurang 3º dari Bulan di ufuk barat selepas Maghrib. [m][b][afk]
  • 17 Jun – Zuhal membentuk segi tiga tepat dengan kluster M22 dan M28. Lihat selepas Isya’ ke Subuh. [b][t][afk][aft]
  • 18 Jun – Bintang Regulus berada hampir dengan Bulan, kurang 3º. Lihat selepas Maghrib hingga selepas Isya’. [m][b][afk]
  • 20 Jun – Oposisi asteroid Vesta pada jam 6:56 pagi. [b][t][afk][aft]
  • 20 Jun – Bulan Sukuan Awal pada jam 6:50 petang [i]
  • ## 20 Jun – Zuhrah berada kurang 1º dari kluster Beehive. Rendah di ufuk barat dari Maghrib hingga ke Isya’. [b][afk][aft]
  • 21 Jun – Soltis bulan Jun berlaku pada jam 6:07 petang. Matahari berada pada titik paling ke utara dan berada di atas Garisan Sartan. [i]
  • 22 Jun – Pusat Bima Sakti berada pada kedudukan paling tinggi pada jam 1 pagi. [m][b][afk]
  • 22 Jun – Bintang Spica berada kurang 8º dari Bulan. Lihat selepas Maghrib hingga ke tengah malam. [m][b][afk]
  • 23-24 Jun – Musytari berada hampir dengan Bulan. Lepas selepas Maghrib hingga menjelang Subuh. [m][b][afk]
  • 25 Jun – Zuhal mula keluar dari kawasan lingkungan 3º dengan kluster M22 dan M28. Lihat selepas Isya’ ke Subuh.[b][t][afk][aft]
  • 25-26 Jun – Bintang Antares berada hampir dengan Bulan. Kelihatan selepas Maghrib hinggalah ke Subuh. [m][b][afk]
  • 27-28 Jun – Zuhal berada hampir dengan Bulan. Lihat selepas Isya’ hinggalah ke Subuh. [m][b][afk]
  • 27 Jun – Oposisi Zuhal pada jam 9:29 malam. [i]
  • 27-28 Jun – Ceres berada kurang 0.3º dari bintang Algieba di buruj Leo. Lihat sekitar Isya di ufuk barat. [b][t][afk][aft]
  • 28 Jun – Bulan Penuh pada jam 12:52 tengahari. [i]
  • 28 Jun – Bulan berada pada posisi paling ke selatan (-20.8º) pada jam 10 malam. [i]

JULAI 2018

  • 1 Jul – Marikh berada hampir dengan Bulan. Lihat sekitar waktu Subuh. [m][b][afk]
  • 5 Jul – Zuhal mula memasuki lingkungan 5º dan menghampiri kawasan Nebula Lagoon dan Nebula Trifid. [b][afk][aft]
  • 6 Jul – Bulan Sukuan Akhir pada jam 3:50 petang. [i]
  • 7 Jul – Pusat Bima Sakti berada pada kedudukan paling tinggi pada jam 12 tengah malam. [m][b][afk]
  • 10 Jul – Bulan berada hampir dengan bintang Aldebaran dan kluster Hyades. Rendah di ufuk timur selepas Subuh. [m][b][afk]
  • 10 Jul – Utarid berada pada kedudukan paling tinggi di ufuk barat selepas Maghrib. [m][b][afk]
  • 10 Jul – Zuhrah berada 1º dari bintang Regulus. Ufuk barat selepas Maghrib hingga ke 1 jam selepas Isya’ [m][b][t][afk][aft]
  • 12 Jul – Bulan berada pada posisi paling ke utara (20.8º) pada jam 7 petang. [i]
  • 12 Jul – Utarid dalam posisi elongasi paling jauh, 26º, ke sebelah timur Matahari pada jam 11 pagi. [i]
  • 13 Jul – Bulan Baru / Ijtimak PERIGEE pada jam 10:47 pagi. Bulan baru paling hampir dengan Bumi untuk tahun 2018. [i]
  • 14 Jul – Utarid berada 7º di atas Bulan. Rendah di ufuk barat selepas Maghrib. [m][b][afk]
  • 15 Jul – Utarid berada 7º di bawah Bulan.Rendah di ufuk barat selepas Maghrib. [m][b][afk]
  • 16 Jul – Istiwa Azam. Matahari berada tegak di atas Kaabah pada jam 5:27 petang. [i][m]
  • 16 Jul – Zuhrah berada hampir dengan Bulan di ufuk barat. Lihat selepas Maghrib ke 1-2 jam selepas Isya’. [m][b][afk]
  • 19 Jul – Bintang Spica berada hampir dengan Bulan. Lihat selepas Maghrib hingga ke tengah malam. [m][b][afk]
  • 20 Jul – Bulan Sukuan Awal pada jam 3:52 pagi [i]
  • 20-21 Jul – Musytari berada hampir dengan Bulan. Lihat selepas Maghrib hingga ke tengah malam. [m][b][afk]
  • 21 Jul – Pusat Bima Sakti berada pada kedudukan paling tinggi pada jam 11 malam. [m][b][afk]
  • 23 Jul – Zuhal mula keluar dari lingkungan 5º dan semakin menjauhi kawasan kluster M22 dan M28. Lihat selepas Maghrib hingga tengah malam. [b][t][afk][aft]
  • 23 Jul – Bintang Antares berada hampir dengan Bulan. Lihat selepas Maghrib hinggalah lewat tengah malam. [m][b][afk]
  • 23 Jul – Zuhrah berada pada kedudukan paling tinggi di ufuk barat selepas Maghrib. [m][b][afk]
  • 24-25 Jul – Zuhal berada hampir dengan Bulan. Lihat selepas Maghrib hinggalah lewat tengah malam. [m][b][afk]
  • 26 Jul – Bulan berada pada posisi paling ke selatan (-20.7º) pada jam 4 pagi. [i]
  • 27 Jul – ★★Oposisi Marikh pada jam 10.28 pagi. [i]
  • 27 Jul – Marikh berada hampir dengan Bulan. Lihat selepas Maghrib hinggalah ke Subuh. [m][b][afk]
  • 28 Jul – Bulan Penuh APOGEE pada jam 4:20 pagi. Bulan Penuh paling jauh dengan Bumi untuk tahun 2018. [i]
  • 28 Jul – ★★Gerhana Bulan Penuh. Fasa gerhana bermula dari 2:24 pagi malam hingga 6:19 pagi. Fasa Gerhana Penuh bermula dari 3:30 pagi hingga 5:13 pagi malam. Kemuncak gerhana pada jam 4:21 pagi. Boleh dilihat dari seluruh Malaysia. [m][b][t][afk][aft]

OGOS 2018

  • 5 Ogos – Bulan Sukuan Akhir pada jam 2:17 pagi [i]
  • 5 Ogos – Ceres berada amat hampir dengan galaksi M66 di dalam buruj Leo. Lihat sekitar Isya’ rendah di ufuk barat. [b][t][aft]
  • 6 Ogos – Pusat Bima Sakti berada pada kedudukan paling tinggi pada jam 10 malam. [m][b][afk]
  • 7 Ogos – Bulan berada hampir dengan bintang Antares dan kluster Hyades. Lihat rendah di ufuk timur sekitar Subuh. [m][b][afk]
  • 9 Ogos – Bulan berada pada posisi paling ke utara (20.8º) pada jam 6 pagi. [i]
  • 9 Ogos – Utarid pada posisi Inferior Conjunction pada jam 10 pagi. [i]
  • 11 Ogos – Bulan Baru / Ijtimak APOGEE pada jam 5:57 petang. Bulan Baru paling jauh dengan Bumi untuk tahun 2018. [i]
  • 13 Ogos – ★★Meteor Perseids memuncak menjelang Subuh. Tiada cahaya Bulan akan mengganggu kali ini Prospek amat baik dengan purata kenampakan 110 meteor setiap jam! [m]
  • 14 Ogos – Zuhrah berada hampir dengan Bulan. Lihat selepas Maghrib arah barat. [m][b][afk]
  • 15 Ogos – Zuhrah, Bulan dan Spica membentuk segi tiga. Lihat selepas Maghrib. [m][b][afk]
  • 16-17 Ogos – Muytari berada 0.5º dari bintang Zubenelgenubi. [m][b][t][afk][aft]
  • 17 Ogos – Musytari berada hampir dengan Bulan. Kelihatan selepas Maghrib hinggalah menjelang tengah malam. [m][b][afk]
  • 17 Ogos – Zuhrah dalam posisi elongasi paling jauh, 46º, ke sebelah timur Matahari pada jam 11 malam. [i]
  • 18 Ogos – Bulan Sukuan Awal pada jam 3:48 petang. [i]
  • 19 Ogos – Bintang Antares berada hampir dengan Bulan. Kelihatan selepas Maghrib hinggalah menjelang tengah malam. [m][b][afk]
  • 21 Ogos – Zuhal berada amat hampir dengan Bulan, kurang 3º. Kelihatan selepas Maghrib hinggalah lewat tengah malam. [m][b][afk]
  • 21 Ogos – Pusat Bima Sakti berada pada kedudukan paling tinggi pada jam 9 malam. [m][b][afk]
  • 22 Ogos – Bulan berada pada posisi paling ke selatan (-20.8º) pada jam 10 pagi. [i]
  • 23 Ogos – Marikh berada hampir dengan Bulan. Kelihatan selepas Maghrib hinggalah menjelang Subuh. [m][b][afk]
  • 26 Ogos – Utarid berada pada kedudukan paling tinggi di ufuk timur selepas Subuh. [m][b][afk]
  • 26 Ogos – Bulan Penuh pada jam 7:56 petang. [i]
  • 27 Ogos – Utarid dalam posisi elongasi paling jauh, 18º, ke sebelah Barat Matahari pada jam 5 pagi. [i]

SEPTEMBER 2018

  • 1 Sep – Zuhrah berada 1º dari bintang Spica. Ufuk barat selepas Maghrib hingga ke Isya’. [m][b][t][afk][aft]
  • 3 Sep – Bulan Sukuan Akhir pada jam 10:37 pagi. [i]
  • 3 Sep – Bulan berada di dalam kluster Hyades dan hampir dengan bintang Aldebaran. Berpotensi banyak penghijaban bintang akan dapat dilihat. Lihat selepas tengah malam hingga ke Subuh. [m][b][t][afk][aft]
  • 5 Sep – Bulan berada pada posisi paling ke utara (20.8º) pada jam 2 petang. [i]
  • 5 Sep – Pusat Bima Sakti berada pada kedudukan paling tinggi pada jam 8 malam. [m][b][afk]
  • 8 Sep – Oposisi Neptune pada jam 2:26 pagi. [i]
  • 8 Sep – Zuhal berada paling hampir dengan Nebula Lagoon dan Nebula Trifid. Dalam lingkungan 3º. Lihat selepas Isya’ [b][t][afk][aft]
  • 10 Sep – Bulan Baru / Ijtimak pada jam 2:01 pagi [i]
  • 12 Sep – Zuhrah berada hampir dengan Bulan. Rendah di ufuk barat selepas Maghrib. [m][b][afk]
  • *13 Sep – Zuhrah, Musytari dan Bulan membentuk segi tiga cantik di ufuk barat selepas Maghrib. [m][b][afk]
  • 14 Sep – Muystari berada hampir dengan Bulan. Lihat selepas Maghrib. [m][b][afk]
  • 15 Sep – Bintang Antares berada hampir dengan Bulan. Lihat selepas Maghrib. [m][b][afk]
  • 17 Sep – Bulan Sukuan Awal pada jam 7:14 pagi. [i]
  • 17 Sep – Zuhal berada kurang 3º dari Bulan. Lihat selepas Maghrib hingga ke tengah malam. [m][b][afk][aft]
  • 18 Sep – Bulan berada pada posisi paling ke selatan (-20.9º) pada jam 5 petang. [i]
  • 19-20 Sep – Marikh berada hampir dengan Bulan. Kelihatan selepas Maghrib hingga lewat tengah malam. [m][b][afk]
  • 21 Sep – Utarid pada posisi Superior Conjunction (di belakang Matahari) pada jam 10 pagi. [i]
  • 21 Sep – Vesta berada hanya 1º dengan Nebula Lagoon di dalam buruj Sagittarius. Lihat selepas Maghrib ke Isya’ [b][t][afk][aft]
  • 21 Sep – Pusat Bima Sakti berada pada kedudukan paling tinggi pada jam 7 petang. [m][b][afk]
  • 23 Sep – Ekuinoks bulan Sep berlaku pada jam 4.02 pagi. Matahari melintasi garisan Khatulistiwa dari utara ke selatan. [i]
  • 25 Sep – Bulan Penuh pada jam 10:52 pagi. [i]
  • 30 Sep – Bulan berada hampir dengan bintang Antares dan kluster Hyades. Lihat selepas tengah malam hingga ke Subuh. [m][b][afk]

OKTOBER 2018

  • 2 Okt – Bulan Sukuan Akhir pada jam 5:45 petang. [i]
  • 2 Okt – Bulan berada pada posisi paling ke utara (21.0º) pada jam 9 malam. [i]
  • 5 Okt – Vesta berada kurang 1º dari kluster M28 di dalam buruj Sagittarius. Lihat selepas Isya’ di sebelah barat. [b][t][afk][aft]
  • 6 Okt – Bintang Regulus amat hampir dengan Bulan, kurang 3º. Rendah di ufuk timur sekitar Subuh. [m][b][afk][aft]
  • 9 Okt – Bulan Baru / Ijtimak pada jam 11:46 pagi. [i]
  • 10 Okt – Zuhrah berada di sebelah kiri Bulan. Rendah di ufuk barat selepas Maghrib. [m][b][afk]
  • 12 Okt – Vesta berada kurang 2º dari kluster M22 di dalam buruj Sagittarius. Lihat selepas Isya’ arah barat. [b][t][afk][aft]
  • 11-12 Okt – Musytari berada hampir dengan Bulan. Rendah di ufuk barat selepas Maghrib. [m][b][afk]
  • 13 Okt – Bintang Antares berada hampir dengan Bulan. Ufuk barat selepas Maghrib ke Isya’. [m][b][afk]
  • 14-15 Okt – Zuhal berada hampir dengan Bulan. Kelihatan selepas Maghrib hinggalah menjelang tengah malam. [m][b][afk]
  • 16 Okt – Bulan berada pada posisi paling ke selatan (-21.2º) pada jam 1 pagi. [i]
  • 16 Okt – Marikh, Bulan dan Zuhal sebaris. Kelihatan selepas Maghrib hingga tengah malam. [m][afk]
  • 17 Okt – Bulan Sukuan Awal pada jam 2:01 pagi. [i]
  • 18 Okt – Marikh berada kurang 2º dari Bulan. Kelihatan selepas Maghrib hingga tengah malam. [m][b][t][afk][aft]
  • 21 Okt – Zuhal mula memasuki kawasan lingkungan 5º dan semakin mendekati kawasan kluster M22 dan M28. Ufuk barat. Kelihatan selepas Maghrib hingga 2 jam selepas Isya’. [m][b][afk][aft]
  • 22 Okt – ★★Meteor Orionids memuncak menjelang Subuh. Bulan hanya akan terbenam selepas tengah malam. Prospek agak bagus dengan purata kenampakan 20 meteor setiap jam. [m]
  • 24 Okt – Oposisi Uranus pada jam 8:46 pagi. [i]
  • 25 Okt – Bulan Penuh pada jam 12:45 tengah malam. [i]
  • 26 Okt – Zuhrah pada posisi Inferior Conjunction pada jam 10 malam (6º dari Matahari). [i]
  • 27-28 Okt – Bulan berada hampir dengan bintang Antares dan kluster Hyades. Lihat selepas Isya’ hingga ke Subuh. [m][b][afk]
  • 29 Okt – Utarid berada 3º dari Musytari. Rendah di ufuk barat, 15 minit selepas Maghrib. [m][b][afk]
  • 30 Okt – Bulan berada pada posisi paling ke utara (21.3º) pada jam 2 pagi. [i]

NOVEMBER 2018

  • 1 Nov – Bulan Sukuan Akhir pada jam 12:40 tengah malam. [i]
  • 2 Nov – Bintang Regulus berada hampir dengan Bulan. [m][b][afk]
  • 5 Nov – Marikh berada 0.5º dari bintang Deneb Algiedi di dalam buruj Capricornus. [b][t][afk][aft]
  • 6 Nov – Zuhrah berada hampir dengan Bulan, amat rendah di ufuk timur. 45 minit selepas Subuh. [m][b][afk]
  • 6 Nov – Utarid dalam posisi elongasi paling jauh, 23º, ke sebelah Timur Matahari pada jam 7 petang. [i]
  • 7 Nov – Zuhal mula keluar dari lingkungan 5º dan semakin menjauhi kawasan Nebula Lagoon dan Nebula Trifid. Selepas Maghrib hingga ke Isya [b][t][afk][aft]
  • 7 Nov – Utarid berada pada kedudukan paling tinggi di ufuk barat selepas Maghrib. [m][b][afk]
  • 8 Nov – Bulan Baru / Ijtimak pada jam 12:02 tengah malam. [i]
  • 11 Nov – Zuhal berada hampir 3º dengan Bulan. Lihat selepas Maghrib hingga ke Isya’. [m][b][afk]
  • 12 Nov – Bulan berada pada posisi paling ke selatan (-21.4º) pada jam 10 pagi. [i]
  • 15 Nov – Bintang Spica berada kurang 1.5º dari Zuhrah. Rendah di ufuk timur selepas Subuh. [b][t][afk][aft]
  • 15 Nov – Bulan Sukuan Awal pada jam 10:54 malam. [i]
  • 15-16 Nov – Marikh berada hampir dengan Bulan. [m][b][afk]
  • 18 Nov – ★★Meteor Leonids memuncak menjelang Subuh. Bulan hanya akan terbenam selepas tengah malam. Prospek agak bagus dengan purata kenampakan 10-20 meteor setiap jam. [m]
  • 23 Nov – Bulan Penuh pada jam 1:39 petang. [i]
  • 23 Nov – Bulan berada hampir dengan bintang Aldebaran dan kluster Hyades. Lihat selepas Maghrib hinggalah ke Subuh. [m][b][afk]
  • 26 Nov – Bulan berada pada posisi paling ke utara (21.5º) pada jam 9 pagi. [i]
  • 27 Nov – Utarid pada posisi Inferior Conjunction pada jam 5 petang. [i]
  • 28 Nov – ★★Bulan melintasi hadapan kluster Beehive! Banyak penghijaban bintang akan berlaku! Bermula 3 jam sebelum Subuh hinggalah masuk waktu Subuh. [b][t][afk][aft]
  • 29-30 Nov – Bintang Regulus berada hampir dengan Bulan. Lihat sekitar Subuh. [m][b][afk]
  • 30 Nov – Bulan Sukuan Akhir pada jam 8:18 pagi. [i]
  • 30 Nov – Neptune mula masuk dalam lingkungan 5º dengan planet Marikh. Langit selepas Isya’. [b][t][afk][aft]

DISEMBER 2018

  • 3 Dis – Bulan, Zuhrah dan Spica membentuk segi tiga. Lihat selepas Subuh. [m][b][afk]
  • 4 Dis – Zuhrah berada hampir dengan Bulan. [m][b][afk]
  • 6 Dis – Utarid berada hampir dengan Bulan. Amat rendah di ufuk timur, 45 minit selepas Subuh. [m][b][afk]
  • 7 Dis – Bulan Baru / Ijtimak pada jam 3:20 petang. [i]
  • 7 Dis – ★★Neptune berada 0.05º sahaja dari Marikh! Lihat selepas Isya’ [b][t][afk][aft]
  • 9 Dis – Bulan berada pada posisi paling ke selatan (-21.5º) pada jam 7 petang. [i]
  • 14 Dis – Neptune mula keluar dari kawasan 5º dari Marikh. [b][t][afk][aft]
  • 14-15 Dis – Marikh berada hampir dengan Bulan. Lihat selepas Maghrib hingga menjelang tengah malam. [m][b][afk]
  • 15 Dis – ★★Meteor Geminids memuncak menjelang Subuh. Bulan terbenam sekitar tengah malam. Prospek amat bagus dengan purata kenampakan 120 meteor setiap jam. [m]
  • 15 Dis – Utarid berada pada kedudukan paling tinggi di ufuk timur selepas Subuh. [m][b][afk]
  • 15 Dis – Bulan Sukuan Awal pada jam 7:49 petang. [i]
  • 16 Dis – Utarid dalam posisi elongasi paling jauh, 21º, ke sebelah Barat Matahari pada jam 3 pagi. [i]
  • 20 Dis – Ceres mula masuk ke dalam lingkungan 5º dari Zuhrah. Sekitar Subuh arah timur. [b][t][afk][aft]
  • 21 Dis – Bintang Antares berada hampir dengan Bulan. Lihat selepas Isya’ hinggalah ke Subuh. [m][b][afk]
  • 22 Dis – Soltis bulan Disember berlaku pada jam 12:28 tengah malam. Matahari berada pada titik paling ke selatan dan berada di atas Garisan Jadi. [i]
  • 22 Dis – Utarid berada kurang 1º dari Muystari. Rendah di ufuk timur, 45 minit selepas Subuh. [m][b][t][afk][aft]
  • 23 Dis – Bulan Penuh pada jam 1:48 pagi.[i]
  • 23 Dis – Bulan berada pada posisi paling ke utara (21.5º) pada jam 7 petang. [i]
  • 26 Dis – Zuhrah berada pada kedudukan paling tinggi di ufuk timur selepas Subuh. [m][b][afk]
  • 27 Dis – Bintang Regulus berada hampir dengan Bulan. Lihat sekitar Subuh. [m][b][afk]
  • 28 Dis – Ceres berada titik paling hampir dengan Zuhrah pada jarak 3º. Langit Subuh arah timur. [b][t][afk][aft]
  • 29 Dis – Bulan Sukuan Akhir pada jam 5:34 petang. [i]
  • 31 Dis – Bintang Spica berada hampir dengan Bulan. Lihat selepas Subuh. [m][b][afk]
Skip to toolbar