Astrofotografi

Astrofotografi ialah satu bidang gabungan Astronomi dan Fotografi. Alat rakaman umum seperti Kamera DSLR, atau yang lebih spesifik seperti CCD dan Video, digunakan bagi mengambil foto-foto objek di langit.

Foto-foto ini kemudian akan diproses menggunakan pelbagai kaedah, bagi ‘menaikkan’ lagi ciri-cirinya menjadi lebih jelas.

Ini bermaksud, apa yang anda lihat di dalam foto-foto ini adalah berbeza dengan apa yang dapat dilihat menerusi mata.

Itulah hakikat sebenar Astrofotografi. Ramai yang tersalah anggap dan apabila mereka melihat apa yang terpampang menerusi teleskop tidak sama dengan apa yang dilihat dengan gambar astrofoto, mereka akan kecewa.

Namun, menerusi astrofotografi jugalah, begitu ramai orang yang boleh terpikat dengan Astronomi. Astrofotografi juga mampu menyumbang dari sudut sains dan kajian (jika dibuat dengan kaedah yang betul).

Oleh itu, tangggapan beberapa orang profesional (ya, saya pernah dengar sendiri) yang mengatakan Astrofotografi ini tidak ada apa-apa sumbangan dalam astronomi, boleh dikatakan kurang tepat.

Cubalah lihat betapa banyaknya komet yang ditemui menerusi astrofotografi.

Saya sendiri agak baru menceburi dalam cabang ini (bermula tahun 2004) dan hanya betul-betul serius pada awal 2011. Saya lebih cenderung menggunakan kamera CCD berbanding DSLR,  atas sebab-sebab tersendiri. Namun zaman sekarang ni, pengguna cameraphone pun dah boleh ambil gambar seperti Bulan!

Cabang Astrofotografi ini amat luas. Ia boleh menjadi begitu kompleks, dan boleh juga menjadi amat mudah. Ia berpotensi besar di dalam mempopularkan ilmu sains angkasa ini di Malaysia. Oleh itu, untuk tahun 2013 ini, sekali lagi saya akan berusaha fokus kepada penampilan bakat-bakat baru (dan juga otai-otai lama) bidang Astrofotografi di Malaysia.

Wallahualam.