Personaliti Astronomi Amatur Di Malaysia

genuineKomuniti Astronomi Amatur di Malaysia ini sebenarnya tidaklah begitu besar. Saya boleh katakan, personaliti yang betul-betul minat dan penyumbang besar di dalam aktiviti cerapan, ceramah, astrofotografi boleh dibilang dengan jari.

Namun, walaupun sedikit, kehadiran mereka ini tetap memberi impak yang besar terhadap kemajuan Astronomi di tanahair.

Saya amat berbesar hati kerana dapat mengenali mereka secara peribadi. Dan saya boleh katakan anda tidak perlu gusar dan was-was jika mahu menjemput mereka bersama-sama di dalam aktiviti anjuran anda. Mereka semua ini saya copkan “Approved and Certified”.

Jom kita raikan mereka ni (in no paticular order). Senarai ini belum lengkap, dan akan dikemaskini dari semasa ke semasa, InsyaAllah.


 

drrowiDr. Mahamarowi Omar, atau Dr.Rowi merupakan doktor pakar di Hospital USM Kubang Kerian. Aktif dengan aktiviti astronomi di pantai timur, beliau memiliki sebuah balai cerap persendirian di rumahnya, yang diberi nama Balai Cerap Mini Dr. Rowi . Kesungguhan beliau di dalam mempromosi astronomi cukup mengkagumkan. Saya sendiri menganggapnya sebagai guru kepada CCD imaging dan banyak membantu dalam pembinaan Balai cerap SGO saya.


 

tiniNurul Fatini Jaafar, seorang penggiat muda dan peminat astronomi yang tidak asing lagi, bagi anda yang berada di Pulau Pinang. Berkelulusan ijazah sarjana muda Sains Fizik & Astronomi USM, beliau boleh dikatakan satu-satunya astronomer amatur wanita yang cukup passionate di dalam bidang ini.

 


 

muzamirMuzamir Mazlan, sahabat baik yang juga merupakan penggerak kepada kebanyakan aktiviti-aktiviti stargazing dan cerapan langit di Malaysia. Beliau sudah agak lama meminati astronomi dan kini fokus kepada penghasilan star trails dan timelapse. Kami gelarkannya star trails guru! Kini beliau merupakan penolong pengurus Balai Cerap Teluk Kemang di Negeri Sembilan.


 

taufanAhmad Taufan, pegawai Falak di UniSZA, Terengganu. Saya anggap beliau sebagai seorang yang sungguh cool di dalam bidang yang amat digeruni ramai, matematik astronomi. Beliau rajin memberi pendapat di luar kotak pemikiran masyarakat sekarang, menerusi tulisan blog beliau, Bila Matahari Terbenam. Seorang yang amat aktif dalam bidang pencerapan hilal masa kini.


 

mdnorUstaz Mohd Nor Husain, merupakan tenaga pengajar di Kelantan. Beliau amat menyukai membuat perkiraan sendiri berkenaan kejadian langit, dan sering menunjukkan hasil aplikasi yang telah dibuat sendiri menggunakan excel. Saya pernah bersama beliau ke China untuk mencerap gerhana matahari pada tahun 2009. Kemampuan beliau menceritakan kisah kehebatan ilmuwan Islam dahulu sering menjadi tumpuan sesiapa sahaja yang duduk bersamanya.


 

BaharrudinProf. Madya Dr. Baharuddin Zainal, tokoh Falak dari Terengganu. Saya amat mengkagumi usaha beliau melakukan kajian terhadap sejarah Falak di Tanah Melayu. Beliau juga sering mendapat tempat di seminar astronomi tempatan. Orang lama di dalam kajian Hilal di Malaysia, ungkapan kata-kata dan pendapat beliau kadangkala begitu mendalam maksudnya sehingga saya sendiri terlopong cuba memahaminya!

 


 

hanafiahUstaz Hanafiah Abdul Razak dari Jabatan Mufti Johor. Sifu kepada kajian ilmu falak dan instrumen Rubu’ Mujayyab. Saya galakkan sesiapa yang ingin belajar berkenaan Rubu’ boleh berjumpa dan berguru dengan beliau. Tapi kena booking cepat kerana beliau ini terhangat di pasaran!

 


 

faisalUstaz Mohamad Faizal Bin Jani, merupakan pegawai Falak di Jabatan Mufti Negeri Perak. Beliau amat konsisten di dalam penyebaran ilmu falak di Perak, serta amat aktif di dalam program syarahan dan ceramah di Perak. Beliau juga telah menulis beberapa buah buku falak, yang menjadi rujukan saya sendiri di dalam mengadunkan ilmu astronomi moden dengan tafsiran Quran dan Hadith. Blog beliau, Al-Zarqali , turut menjadi rujukan saya selama ini.

 


 

dinperakUstaz Zainuddin Muhammad, sahabat lama dan juga merupakan rakan seperjuangan saya ketika mengembara ke Turki untuk mencerap gerhana penuh matahari pada tahun 2006. Beliau merupakan pegawai falak di Perak, dan sering hadir dan menyumbang tenaga di dalam perkongsian ilmu falak dengan masyarakat.

 


 

astromasDr.Mohd Rizuan Ali, merupakan seorang lagi blogger astronomi yang sudah lama bersama-sama berjuang memperkenalkan astronomi di mata rakyat Malaysia. Seorang yang amat cool and steady, beliau sekarang bertugas sebagai doktor perbuatan di salah sebuah hospital tempatan.

 


 

anuarUstaz Anuar Ariffin, bekas pegawai falak di Jabatan Mufti Pulau Pinang, merupakan tukang gendang falak yang tidak asing lagi di Pulau Pinang. Keriuhan beliau jangan dipandang enteng kerana di dalamnya terletak seribu satu ungkapan ilmu yang boleh dihadam dan dihayati. Anda berada di Pulau Pinang? Jangan lupa hubungi beliau di sana.


 

hardiUstaz Hardi Sadali, Ketua unit Falak di Jabatan Mufti Selangor. Minat beliau masih membara dan curahan ilmu terus diberikan kepada sesiapa yang berminat mempelajarinya.

 


 

williamWilliam Chin, seorang astronomer yang tidak asing lagi. Beliau merupakan guru saya dalam bidang astrofotografi ketika saya mula-mula mahu menceburinya. Beliau bertugas di Universiti Malaya dan sering menjadikan Gunung Kinabalu sebagai rumah kedua beliau untuk mencerap bintang! Beliau merupakan ahli aktif dalam Forum Komuniti Falak Online.


 

ckLim Choon Kiat, atau lebih manja dikenali sebagai CK, merupakan seorang peminat astronomi yang sungguh aktif di Pulau Pinang. Beliau memiliki sebuah balai cerap peribadi yang sentiasa terbuka untuk sesiapa yang berminat untuk menggunakannya. Beliau juga amat mahir dalam astrofotografi dan karya-karya beliau cukup menakjubkan.


 

redzuanMohd. Redzuan Tahar, seorang pegawai di Agensi Angkasa Negara dan sekarang berada di Observatori Negara Langkawi. Kemampuan beliau dalam bidang fotografi telah dicurahkan ke dalam Astrofotografi, dan memberi impak besar terutama kepada komuniti photographer yang ingin mencuba merakam langit malam. Beliau merupakan ahli aktif dalam Forum Komuniti Falak Online.

Skip to toolbar