ShahGazer Observatory (SGO)

sgo-1

Balai Cerap ShahGazer Observatory (atau SGO) merupakan satu lagi milestone di dalam pengembaraan saya di dalam dunia astronomi. Alhamdulillah, setelah beberapa bulan di dalam pembinaan, SGO akhirnya mula beroperasi sepenuhnya di dalam bulan Feb 2011.

Perancangan SGO ini sebenarnya telah berlangsung lebih setahun yang lalu. Berbekalkan pengalaman yang amat bernilai ketika berkampung di balai cerap mini Dr.Rowi di Kota Bharu pada awal 2010, saya mengambil keputusan untuk melakukan cerapan dari satu lokasi tetap, mudah dicapai serta pulangan hasil yang memberangsangkan.

sgo-2

Suka saya katakan di sini, SGO beroperasi sepenuhnya untuk memenuhi keperluan astrofotografi dan kajian automasi instrumentasi peralatan astronomi. Minat saya kepada bidang perkomputeran dan automasi, memudahkan lagi saya mengambil keputusan tersebut. Sementara bidang astrotofografi, yang boleh dikatakan baru juga bagi saya, dilihatkan dapat membuka peluang dan pilihan lebih luas untuk berkongsi keindahan alam semesta kepada orang ramai, menggunakan hasil titik peluh sendiri.

Ramai juga bertanya, kenapa membina sebuah balai cerap di kawasan perumahan yang agak teruk pencemaran cahayanya.

Jawapannya ialah, memang kawasan langit SGO kurang sesuai untuk pencerapan visual, namun kemampuan kamera CCD boleh menampung kekurangan tersebut. Itulah sebab mengapa saya fokus kepada astrofotografi menggunakan kamera CCD

Ramai juga bertanya, kenapa membina sebuah balai cerap di kawasan perumahan yang agak teruk pencemaran cahayanya.

Jawapannya ialah, memang kawasan langit SGO kurang sesuai untuk pencerapan visual, namun kemampuan kamera CCD boleh menampung kekurangan tersebut. Itulah sebab mengapa saya fokus kepada astrofotografi menggunakan kamera CCD.
Berdasarkan bacaan dan kajian di internet, ramai peminat astronomi mempunyai balai cerap di bandar-bandar besar, tetapi mampu merakam objek-objek angkasa dengan begitu efektif. Diakui, tidak ada pengganti kepada langit yang gelap dan cantik, namun saya sering berkira-kira, dalam masa sebulan, berapa kali sahaja yang dapat saya keluar ke lokasi mencerap yang gelap untuk merakam gambar, berbanding dengan peluang yang mungkin dicapai dari satu tapak yang kekal dan dekat?
Faktor kos juga membuat saya berfikir, kerana dengan harga minyak yang semakin tinggi, bukan murah untuk selalu pergi merantau mencari tapak mencerap. Itu pun belum tentu cuaca OK!
Rekabentuk SGO banyak diadaptasi daripada balai cerap mini Dr. Rowi dan Perseid di Pulau Pinang. Dipanggil sebagai rekabentuk roll-off-roof, ia juga merupakan bentuk popular balai cerap astronomi amatur di seluruh dunia. Saya rasa tidak perlu untuk membuat kubah, kerana dengan keadaan cuaca malam yang agak panas di sini, udara panas akan berkepuk-kepuk kumpul dalam kubah, menyebabkan ia jadi lagi panas dan mengganggu hasil imej yang dirakam (distortion). Lagipun, sambil menunggu CCD mengambil gambar, kan lebih baik boleh baring-baring tinjau langit dengan mata sambil minum kopi panas!

sgo-3 sgo-4
Aktiviti.
Di antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan di balaicerap SGO sehingga hari ini ialah:

  • Astrofotografi objek-objek Deep Sky, iaitu seperti Bintang, Nebula dan Galaksi
  • Astrofotografi objek-objek sistem solar, seperti Matahari, Bulan dan Planet.
  • Pengumpulan data harian terhadap Matahari (formasi Sunspot dan Prominance)
  • Kajian automasi sistem bersepadu balaicerap menggunakan utiliti ASCOM.
  • Pemprosesan imej yang diambil bertujuan untuk berkongsi keindahan alam semesta
  • Lawatan peminat astronomi.
  • Pencerapan langit malam atau matahari (berdasarkan permintaan).

Peralatan.

Skywatcher Equinox 120ED

Saya memilih teleskop Skywatcher Equinox 120ED sebagai teleskop utama di SGO. Ia tidaklah terlalu besar sehingga membebankan, namun tidak terlalu pendek focal length-nya untuk astrofotografi. Di Malaysia, yang saya tahu Perseid Telescope menjualnya dalam harga yang berpatutan.

Spesifikasi:
Skywatcher Equinox 120ED, f/7.5
Aperture: 120mm
Focal Length: 900mm

Skywatcher Equinox 80ED

Ini merupakan adik kepada 120ED di atas, tetapi dengan aperture yang lebih kecil. Saya sedang merancang untuk menggunakannya dengan kamera Mallincam untuk memancar video deep-sky secara live.

EQ6-Pro

Teleskop mount yang digunakan ialah jenis EQ6-Pro. Ia merupakan sebuah mount yang berat dan lasak, dan ia memang direka khas untuk astrofotografi.

AstroTrac

Ini lebih digunakan untuk aktiviti astrofotografi di luar SGO

QHY9-mono

Kamera CCD 8.3 megapixel yang menjadi kamera utama di SGO. Ia turut dilengkapi dengan QHY filter wheel untuk pemasangan penapis bewarna RGB.

QHY5-mono

Kamera ini berfungsi sebagai Guidecam.

QHY IMG132E

Kamera ini berfungsi sebagai perakam utama planet-planet, matahari dan Bulan.

Moonlite Focuser

Ini ialah sebuah alat memfokus automatik yang membantu mencari titik fokus paling tepat bagi setiap foto yang diambil. Kawalannya boleh terus di teleskop, menggunakan unit Digital Read Out -nya, atau dikawal sepenuhnya menerusi PC.

sgo-5

EQDIR

Sebuah modul/alat kecil yang menggantikan keypad SynScan, dan memboleh mount EQ6 diatas, dikawal terus dari PC, menggunakan perisian EQMOD

GPUSB

Sebuah modul/alat yang mengawal sistem autoguider untuk rakaman astrofotografi.
Vixen 8″ VC200L

Sebuah lagi teleskop bersaiz 8″ yang belum diguna sepenuhnya. Teleskop ini sesuai untuk pencerapan visual, namun direka khas untuk astrofotografi.

 

Di bawah merupakan beberapa foto suasana SGO yang serba ringkas.

sgofb1 sgofb2 sgofb3 sgofb4 sgofb5

Selain itu, SGO juga telah menerima beberapa kunjungan daripada sahabat-sahabat Falak, Di antara yang sempat dirakam adalah seperti di bawah:

sgovisit1 sgovisitor2
Lawatan Ustaz Shahrizan Daud At Turabi & Krew Producksi di SGO

sgovisitor3

Dr.Susiknan Azhari (Indonesia)

Begitulah sedikit sebanyak pengenalan ringkas kepada SGO. Saya mempersilakan mana-mana kelab sekolah, persatuan atau rakan-rakan FO yang berminat untuk datang melawat SGO dan sama-sama kita berkongsi minat, pengalaman dan teknologi astronomi masa kini.

sgo-6

Seperti selalu saya katakan di dalam ceramah saya, bidang Astronomi ini amat luas, dan merangkumi pelbagai bidang, skil dan latar belakang. Terpulang kepada anda untuk menerokainya! Di SGO, titik pertemuannya ialah pada bidang teknologi automasi, astrofotografi dan astronomi!

Jom teropong…bersama SGO!

Berminat untuk melawat SGO? Sila hubungi saya menerusi email.

“Dan ia memudahkan bagi kamu malam dan siang, dan matahari serta bulan dan bintang-bintang dimudahkan dengan perintahNya untuk keperluan-keperluan kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kebijaksanaan Allah) bagi kaum yang mahu memahaminya” (Surah An-Nahl:12)

 

SGO – Bukan Sekadar Loteng!

sgofb5

Skip to toolbar