Nebula Orion – Kilang bintang-bintang

Berita Umum

orion nebula

 

Saya pernah menulis berkenaan dengan buruj Orion, beberapa bulan lepas. Keunikan bentuk buruj ini membolehkan kita di Malaysia, menggunakan beberapa buah bintangnya sebagai penanda arah untuk mencari arah kiblat.

Ini merupakan suatu yang sudah well documented sekian lama dalam buku-buku Falak di Malaysia. Cuma suka saya di sini mengingatkan bahawa, tandaan arah ini hanya boleh digunakan di Malaysia, dan negara-negara jiran sahaja.

Ia tidak boleh digunakan jika anda berada di London, atau Tokyo, dan juga di Madinah! Sudut alzimuth kiblat berbeza di sana berbanding di sini.

Ok, tak apa. Kita borak bab ini lebih terperinci pada artikel lain. Saya di sini nak tumpukan kepada sebuah objek yang sungguh senang untuk dicari, senang untuk dicerap dan senang untuk dirakam menggunakan kamera DSLR.

Objek yang dimaksudkan ialah Nebula Orion.

Nebula Orion ini ialah sebuah nebula, dan merupakan salah satu lokasi di angkasa, daripada entah berapa yang ada, tempat di mana bintang-bintang sedang dilahirkan.

Jika anda lihat foto di atas, anda akan dapat lihat rupa bentuk yang menyerupai awan di samping terdapat beberapa buah bintang yang berada di tengah-tengahnya.

(Foto di atas diambil menerusi Kamera DSLR Nikon D300S, dedahan 9.6 saat, ISO1600, menerusi Teleskop 24″ di Baitul Hilal Teluk Kemang, Negeri Sembilan)

Kumpulan bintang di tengah itu digelar The Trapezium. Ia terbentuk daripada awan-awan di Nebula Orion ini. Gelaran Trapezium itu dikaitkan dengan bentuk atau susun atur bintang-bintang itu yang membentuk sebuah trapezium.

Menerusi teleskop, keempat-empat buah bintang ini amat mudah dilihat. Kesan-kesan nebula di sekelilingnya pun dapat dilihat dengan agak mudah. Lebih besar sesebuah teleskop itu, maka lebih jelaslah anda dapat lihat bentuk nebula yang ada disekitar Trapezium itu.

Namun, anda harus faham, menerusi teleskop, anda tidak akan dapat melihat Nebula Orion ini dalam keadaan berwarna-warni seperti dalam foto-foto di atas. Ini adalah kerana mata kita tidak sensitif dengan warna pada waktu malam. Kesan warna warni dalam foto itu sebenarnya hanya dapat dirakam oleh cip kamera, yang jauh lebih sensitif dengan warna berbanding mata kita. Itu pun belum lagi dimasukkan faktor memproses foto itu di dalam perisian seperti Photoshop!

Di manakah lokasi sebenar Orion Nebula ini di dalam buruj Orion?

Peta di bawah menunjukkan lokasi Nebula Orion jika anda mencarinya sekitar waktu Isya sekarang. Ia berada ke kanan dari 3 bintang sederet di tengah-tengah buruj Orion tu. Saya cadangkan, gunalah binokular untuk mencarinya terlebih dahulu.

screen 2013-01-04 at 9.03.05 AM

 

Bagaimana rupa Nebula Orion ini menerusi sebuah binokular?

Saya pernah terbitkan sebuah video beberapa bulan lepas (sila lihat video itu di bawah). Tujuan asal video itu ialah untuk menunjukkan perbezaan pandangan binokular 7×50 dan 10×50, tetapi contoh objek yang saya berikan ialah kawasan di sekitar Nebula Orion ini. Menerusi simulasi yang saya buat itu, anda boleh dapat bayangkan ‘besar’ manakah nebula ini kelihatan menerusi sebuah binokular.

Jika diambil gambar, apakah rupabentuk Nebula Orion ini?

Di bawah ialah contoh foto Nebula Orion yang diambil menggunakan kamera DSLR 40D yang telah di-moddedkan, dan dipasang kamera tersebut menerusi sebuah teleskopSaya ambilnya dari Balai Cerap SGO pada malam yang kurang cantik langitnya, serta skil pemprosesan yang amat terhad.

Walaupun tak begitu menarik, tetapi menerusi foto itu anda boleh dapat bayangkan begitu banyaknya ciri-ciri nebula itu yang dapat dirakam

M42

 

Berapa jauh sebenarnya nebula ini?

Kajian ahli astronomi sekarang meletakkan Nebula Orion ini pada jarak lebih kurang 1344 Tahun Cahaya. Jadi anda boleh bayangkan betapa lamanya cahaya darinya perlu merentasi angkasaraya sebelum sampai ke bumi!

Bintang yang paling muda di dalamnya, dipercayai berumur kurang dari 100,000 tahun!

Begitu hebatnya ciptaan Allah, yang meletakkan Nebula Orion ini di dalam sebuah buruj yang amat mudah untuk dicari, serta amat mudah untuk dirakam dan dikaji.

screen 2013-01-04 at 9.21.47 AM

 

“Kemudian Dia menunjukkan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit sedang langit itu masih berupa asap; lalu Dia berfirman kepadanya dan kepada bumi: Turutilah kamu berrdua akan perintahKu, samada dengan sukarela atau dengan paksa! Keduanya menjawab: Kami berdua sedia menurut patuh dengan sukarela”   Surah Fussilat: Ayat 11

Wallahualam.

0 0 votes
Article Rating

Leave a Reply

1 Comment
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
Awie Chicateh

best.. kalau boleh setiapa nya disertakan ayat ayat AL QURAN