Rakaman astrofoto sesi cerapan 6 Julai 2013

Fenomena Log Cerapan Rujukan, Peralatan & Perisian

Alhamdulillah, walaupun terlewat mula astrofoto, aktiviti di Balai Cerap Teluk Kemang semalam berjalan dengan lancar. Dalam masa yang agak terhad, peserta yang hadir sempat merakam 3 buah objek angkasaraya sebagai kenang-kenangan, di sebalik berpeluang menggunakan salah sebuah teleskop yang terbesar di Malaysia.

Terima kasih buat Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, selaku pemilik Balai Cerap Teluk Kemang, memberi peluang kepada kami, peminat astronomi di Malaysia, menggunapakai peralatan yang serba moden.

Ketika aktiviti berlangsung semalam, cuaca pada awalnya agak berawan. Namun menjelang jam 10 malam, langit mula terbuka dan formasi buruj-buruj seperti Scorpio di selatan, dan planet Zuhal di barat mula mudah kelihatan.

Kami berpeluang merakam Zuhal, gugusan M22 dan Nebula Lagoon (M8) di dalam masa yang singkat itu. Agak menarik dan mencabar juga kerana ada kamera yang digunakan semalam tidak mempunyai live view lalu menyukarkan setting untuk fokus.

6x30s_PI

Rakaman yang saya lakukan ini (foto di atas), merupakan sebuah gugusan bintang bernama M22 di dalam buruj Sagittarius, diambil menggunakan Canon 5DMkii, dengan dedahan selama 30 saat, sebanyak 6 kali. Sila klik untuk capaian foto saiz besar.

Maka, secara kiraannya, hasil akhir foto ini seumpama bukaan selama 6 x 30saat = 180 saat = 3 minit.

Namun, dalam keadaan malam semakin lewat, mata saya mula berpinar-pinar, rupa-rupanya foto ini tidak berada dalam keadaan fokus yang sempurna. Hasilnya, bintang-bintang yang dirakam berbentuk ‘bulat dan besar’.

screen 2013-07-07 at 9.11.12 PM

(Foto di atas merupakan saiz asal, yang jelas menunjukkan keadaan kamera yang tidak fokus)

Post-processing foto ini dilakukan menggunakan perisian PixInsight. Secara peribadi saya amat kagum dengan kemampuan perisian ini menghasilkan astrofoto yang cukup baik, walaupun dengan rakaman yang tidak memuaskan.

Kedudukan objek M22 ini boleh dirujuk menerusi rajah di bawah:

screen 2013-07-07 at 9.38.07 PM

Ia terletak di dalam kawasan Bima Sakti yang padat dengan bintang. M22 ini merupakan sebuah gugusan globular, di mana ia berbentuk bebola (berbeza dengan gugusan bintang yang biasa, yang kebanyakan bintang-bintangnya lebih terserak).

Ia mengandungi sekitar 500,000 buah bintang, dan terletak pada jarak 10,400 Tahun Cahaya! Ia merupakan antara gugusan globular yang paling cerah di langit dan boleh dilihat dengan mata kasar, dalam kawasan langit yang gelap dan bebas dari gangguan cahaya.

Info lanjut boleh rujuk SINI.

Rakaman planet Zuhal dan Nebula Lagoon turut berjaya dirakam oleh peserta lain yang hadir bersama.

InsyaAllah akan ada banyak lagi aktiviti yang akan dirancang bersama-sama FalakOnline, Kelab Astronomi Amatur Malaysia.

0 0 votes
Article Rating

Leave a Reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments