Begitu banyak perkembangan yang berlaku terhadap Komet ISON, sehinggakan saya terpinga-pinga untuk memilih yang mana satu sesuai untuk dihuraikan menerusi laman web ini. Apa pun saya akan cuba mana-mana yang paling relevan.
Setelah hampir 48 jam komet ini melintasi begitu hampir dengan matahari (Perihelion), menerusi foto-foto yang dirakam oleh probe angkasa seperti SOHO, Komet ISON kelihatan semakin hilang ‘semangatnya’, dan mula perlahan-lahan pudar.
Ketika ia muncul selepas perihelion pada awal pagi Jumaat yang lalu (waktu Malaysia), ramai ashli astronomi terkejut kerana tidak menyangka ia akan terselamat daripada haba extrem matahari.
Atas: Sesuatu yang muncul di bahagian atas matahari. Lebih kurang jam 8 pagi, 29 Nov 2013 waktu Malaysia.
Kemunculan ‘sesuatu’ itu telah memberi semangat dan harapan baru kepada peminat astronomi dunia, dan ramai yang mula berkira-kira untuk kembali merakam kemunculan komet ini di waktu pagi sekali lagi.
Atas: 12 jam kemudian, iaitu lebih kurang jam 8 malam 29 Nov 2013 waktu Malaysia
Tetapi menjelang petang tadi, objek yang muncul itu mula pudar kembali. Ahli astronomi Jakub Cerny, berdasarkan kajian beliau menyatakan di dalam forum comets-ml, objek itu lebih menunjukkan kepada ciri-ciri sebuah kepulan awan debu yang sedang mengembang.
Atas: Keadaan Komet ISON pada jam 6 petang tadi, 30 Nov 2013 waktu Malaysia
Agak menarik apabila saya mengikuti perbincangan di situ , kerana ada yang tidak begitu setuju dengan pandangan beliau, dan boleh dikatakan sampai ke tahap ‘bertengkar’. Namun, masing-masing mengemukakan teori berdasarkan kiraan masing-masing, yang saya berpendapat ia merupakan ‘pertengkaran yang sihat berasaskan ilmu’ dan bukannya emosi atau ‘agak-agak’.
@SungrazerComets melaporkan menerusi twitternya, tiada tanda-tanda ada nukleus yang wujud, dan yang muncul selepas perihelion haritu mungkin hanya sekadar ‘longokkan’ batu-batu atau saki baki komet, yang kini semakin hancur dan menghilang.
Menurut beberapa Karl Battam di sini, kecerahan Komet ISON sekarang hanya magnitude 5. Maknanya kalau dari langit Kuala Lumpur yang penuh dengan lampu ni, hampir pasti ia tidak akan dapat dilihat dengan mata.
Kadar kecerahannya pun semakin pudar setiap jam. Saya rasa menjelang 5 atau 6 Disember nanti, apabila ISON mula berada cukup jauh dari matahari, kita tidak akan dapat lihat apa-apa lagi.
Sementara sedang menyiapkan artikel ini, Damien Peach, pakar astrofoto telah pos sebuah foto kompilasi Komet ISON yang menakjubkan, dari 1 Sep hinggalah 13 Nov lepas.
Bak kata mat salleh “A fitting tribute to ISON”
Foto credit Damian Peach