Istiqbal Musytari pada 6 Jan 2014

Fenomena

Pada jam hari Isnin 6 Jan 2014 jam 5 am waktu Malaysia, giliran planet Musytari pula berada di kedudukan istiqbal. Ketika ini ia akan berada sebaris bersama-sama dengan Bumi dan Matahari. Ia akan terbit di langit sebelah timur, sebaik sahaja matahari terbenam di barat. Dalam istilah bahasa Inggerisnya ialah Opposition.

screen_2014-01-05_at_3_50_26_PM-4
Gambarajah menunjukkan kedudukan Musytari, Bumi dan Matahari jika dilihat dari angkasa lepas. ©FalakOnline

 

Di langit, planet ini merupakan satu objek yang paling cerah bersinar di langit timur. Secara teknikalnya, ia akan terbit sebaik sahaja maghrib. Namun, masa itu ia rendah sangat di ufuk. Kita perlu tunggu sekitar Isya’ barulah dapat lihatnya dengan jelas di langit.

Tak perlu teleskop untuk melihat Musytari. Mata sudah memadai.

Menjelang tengah malam, ia akan berada tegak di atas kepala.

screen 2014-01-05 at 3.53.34 PM
Peta kedudukan Musytari sekitar waktu Isya’ dari langit Malaysia ©FalakOnline

 

Menarik untuk tahun ini ialah, Musytari berada di kalangan buruj-buruj yang begitu indah, seperti Orion, Gemini dan Taurus. Selain itu, bintang paling cerah di langit, Sirius, turut menemani Musytari.

Musytari akan berada ke kiri dari buruj Orion, manakala Sirius di sebelah kanan.

Jika anda mempunyai teleskop, inilah antara masa terbaik untuk melihat jalur-jalur awannya, berserta dengan deretan bulan-bulan yang 4, iaitu Io, Ganymede, Europa dan Callisto.

Malah, sudut satah orbit bulan-bulan ini kadangkala akan menghasilkan bayang-bayang di atas permukaan Musytari. Ia akan kelihatan seperti titik hitam yang gelap.

Percaya atau tidak, posisi bulan-bulan ini boleh dilihat berubah dalam masa tidak sampai setengah jam (30 minit)! Cubalah perhatikan menerusi teleskop, ingat atau lukis kedudukannya, dan lihat sekali lagi dalam masa setengah jam kemudian.

Teleskop kecil sudah memadai untuk melihat jalur awan dan bulan-bulan Musytari. Sumber http://scopeviews.co.uk/

 

Perlu diingat, Musytari mempunyai 67 buah bulan, dan jumlah ini dijangka bertambah apabila kajian demi kajian dibuat terhadap persekitaran planet ini.

Namun, 4 buah bulan yang saya sebutkan tadi merupakan yang paling besar dan paling cerah di kalangan 67 bulan yang mengorbit Musytari. Malah, bulan Ganymede pun sebenarnya lebih besar dari planet Utarid!

©Calvin J. Hamilton

 

Jaluran awan planet Musytari itu sendiri cukup menarik untuk dikaji. Setiap jalur itu, walaupun nampak statik, tetapi ia sebenarnya awan-awan ribut yang sedang bergerak merentasi planet ini pada kelajuan ratusan kilometer sejam! Warna dan bentuknya pun kadangkala akan berubah-ubah mengikut perubahan iklim di sana.

Foto di bawah, saya rakamkan beberapa hari lepas, menunjukkan jaluran awan Musytari, berserta dengan tandaan namanya.

1stlight-vc200L-jupiter2jan2014-2235MYT-annoted.png.001
Musytari yang dirakam menerusi teleskop Vixen VC200L di balaicerap SGO pada 2 Jan 2014 lepas ©Shahrin Ahmad

 

Selamat mencerap Musytari!

 

 

 

0 0 votes
Article Rating

Leave a Reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments