Zuhrah berada paling hampir dengan matahari esok, 11 Jan 2014 – satu penerangan ringkas

Fenomena Himpunan Samawi

Sejak seminggu yang lepas, saya telah pos di facebook saya dan juga page FB Falak Online, beberapa siri gambar planet Zuhrah, yang berbentuk seperti bulan sabit yang amat nipis. Berdasarkan beberapa komen yang diterima, saya terpanggil untuk menyediakan sebuah penerangan ringkas tentang apa yang sedang berlaku.

Planet Zuhrah merupakan planet yang ke-2 dari matahari. Bumi ialah yang ke-3. Ini bermakna, dari segi susunan orbitnya, ia akan bergerak mengelilingi matahari lebih laju berbanding Bumi.

Bumi mengelilingi matahari selama 365.25 hari, tetapi Zuhrah yang mempunyai orbit yang lebih kecil, akan melengkapi satu pusingan mengelilingi matahari selama 224.7 hari.

Disebabkan juga orbit Zuhrah berada di laluan yang ‘ke dalam’ dari Bumi, maka dari sudut pandangan kita di Bumi, planet ini tidak akan berada jauh daripada matahari.

Itulah sebabnya mengapa kita sentiasa melihat Zuhrah akan berada samada di ufuk barat waktu senja, dan ufuk timur di waktu subuh. Kita tidak akan dapat lihat Zuhrah pada waktu tengah malam, ataupun tegak di atas kepala.

Kedudukan orbit planet Zuhrah berbanding dengan Bumi
Kedudukan orbit planet Zuhrah berbanding dengan Bumi. Sumber: SkySafari

Jika kita perhatikan kembali susun atur orbit planet Zuhrah, kita akan dapati ada ketikanya ia berada di ‘belakang’ matahari (iaitu matahari berada di tengah-tengah antara bumi dan zuhrah), ada ketika ia berada di kiri atau kanan, dan ada ketikanya ia berada di antara Bumi dan matahari.

Kita semua tahu, planet tidak mengeluarkan cahaya sendiri. Ia menerima dan membalikkan cahaya daripada matahari. Oleh itu, pasti ada kawasan planet yang bercahaya (waktu siang) dan ada bahagian yang bergelap (waktu malam).

Di dalam kes planet Zuhrah ini, kita akan dapat lihat ia seperti bentuk ‘bulan purnama’ iaitu berbentuk sempura bulat, apabila ia berada jauh di belakang matahari. Apabila ia menghampiri bumi dan berada di sebelah kiri (atau kanan), kita akan mula lihat bentuknya seperti fasa bulan suku pertama (first quarter).

Lama-kelamaan apabila ia berada hampir antara Bumi dan matahari, bahagian malamnya akan mengadap ke arah kita, sementara bahagian siangnya sedikit sahaja dapat dilihat kerana berada di ‘sebelah belakang’ planet tersebut yang sedang menghala ke arah matahari.

Kaitan antara fasa dan orbit planet Zuhrah. Sumber

 

Ada yang bertanya,” jika Zuhrah berada di antara Bumi dan Matahari, maknanya ia akan melintasi betul-betul di hadapan mataharilah?”

Jawapannya tidaklah semudah itu. Walaupun secara kasarnya kita akan beranggapan demikian, tetapi jika kita mempelajari pergerakan orbit planet ini dengan tepat, ia tidaklah ‘sama rata’ atau sesatah dengan Bumi. Maknanya, orbit Zuhrah senget sedikit. Selalunya apabila ia berada di antara Bumi dan Matahari, ia akan berada sedikit ‘ke atas’ atau ‘ke bawah’ dari kedudukan matahari di langit.

Satah orbit planet Zuhrah dan Bumi yang tidak sama rata. Sumber

 

Namun, ada ketikanya ia akan berada tepat antara bumi dan matahari, dan kita akan melihatnya melintas di hadapan jasad matahari. Fenomena ini dipanggil Transit.

Kali terakhir Transit planet Zuhrah ini berlaku ialah pada tahun 2012 lepas, dan yang seterusnya ialah pada tahun 2117!

venus transit 2012
Planet Zuhrah (bulatan hitam di bawah), yang sedang bergerak di antara bumi dan matahari ketika fenomena transit pada tahun 2012. ©Shahrin Ahmad

Berbalik kepada apa yang akan berlaku esok, Zuhrah akan melintasi matahari, tetapi tidak akan berlaku Transit kerana kedudukan di orbitnya sekarang tidak sesatah dengan matahari. Maka, ia akan hanya kelihatan melintasi di sisi matahari sahaja.

Fenomena ini pula dipanggil inferior conjunction.

Ia sudah selalu berlaku sebelum ini dan merupakan fenomena biasa. Tak perlu kecoh-kecoh nak kaitkan kejadian ini dengan perkara-perkara seperti kiamatlah, kemunculan imam mahdi lah. Itu semua tidak ada kaitan langsung.

Pada hari esok, 11 Jan 2014, lebih tepat lagi jam 8 malam waktu Malaysia, pada saat itu Zuhrah akan berada di posisi paling hampir dengan matahari (apabila dilihat dari kita di permukaan bumi), iaitu sejauh 5 darjah sahaja atau lebih kurang 10 kali diameter bulan di langit.

10 kali diameter bulan mungkin bunyinya seperti jauh, tetapi percayalah ia amat-amat dekat dengan matahari, menjadikannya amat berbahaya untuk dicerap.

JANGAN SEKALI-KALI HALAKAN MATA, BINOKULAR ATAU TELESKOP ANDA KE ARAH MATAHARI. IA AKAN MENYEBABKAN MATA ANDA BUTA.

Fenomena ini AMAT BAHAYA untuk dilihat dengan mata kasar, dan saya TIDAK RECOMMEND untuk sesiapa yang tiada pengalaman mengendalikan teleskop untuk mencubanya!

Pada sekitar bulan September dan November 2013 lepas, saya telah merakamkan beberapa siri foto planet Zuhrah, dan dikongsikan di laman sosial FB FO. Ia menunjukkan perubahan fasa yang diterangkan pada permulaan artikel tadi.

venus-sequence-1
Siri foto planet Zuhrah yang dirakam selama 2 bulan, menunjukkan perubahan fasanya. ©Shahrin Ahmad

Ketika itu, planet Zuhrah berada tinggi di ufuk barat sekitar waktu Maghrib dan Isya. Maka foto-foto itu diambil selepas matahari terbenam.

Namun, menjelang hujung Disember, Zuhrah semakin menghampiri matahari dan kelihatan semakin rendah ke ufuk langit barat. Ini menyebabkan saya hampir tiada langsung peluang untuk merakam fasa-fasa seterusnya kerana awan yang sentiasa memenuhi ufuk, serta musim hujan yang agak teruk pada waktu itu.

Pada 2 Jan 2014 lepas, hati saya tergerak untuk merakam planet ini pada waktu siang. Planet Zuhrah ini merupakan objek ke-3 paling cerah di langit (selepas matahari dan bulan), maka ia boleh dilihat pada waktu siang, dengan syarat kita tahu dengan TEPAT lokasinya di langit.

Namun, pada waktu itu ia berada 15 darjah dari matahari. Agak dekat dan berbahaya untuk menjejakinya secara manual. Saya rasa lebih selamat mencarinya dengan bantuan teleskop dan komputer di balai cerap saya, ShahGazer Observatory.

sgo solar setup
Teleskop di SGO, yang dilengkapi dengan penapis matahari dalam usaha menjejaki planet Zuhrah di waktu siang! ©Shahrin Ahmad

Pada jam 12 tengahari, dengan keadaan cuaca yang cukup cantik dan bersih dari awan, Zuhrah dengan mudah kelihatan menerusi kamera yang dipasang pada teleskop.

Zuhrah pada 2 Jan 2014 ©Shahrin Ahmad
Zuhrah pada 2 Jan 2014 ©Shahrin Ahmad

Bentuknya kelihatan seperti bulan sabit yang amat halus! Saya cukup teruja sekali kerana ini merupakan antara foto planet Zuhrah rakaman waktu siang, yang paling jelas pernah dirakam dalam sejarah saya sejak menceburi astrofotografi secara serius beberapa tahun lepas.

Keesokannnya, cuaca kembali tidak mengizinkan. Namun, pada 6 Jan sekali lagi langit kembali bersih dan bebas dari awan, dan sekali lagi saya dapat merakamnya.

Zuhrah pada 6 Jan 2014 ©Shahrin Ahmad
Zuhrah pada 6 Jan 2014 ©Shahrin Ahmad

Nota: Perubahan kedudukan ‘sabit’ antara kedua foto di atas adalah disebabkan saya mengubah posisi kamera pada teleskop.

Pada 7, 8 dan 9 Jan, sekali lagi rezeki yang Allah SWT telah berikan, yang mana langit cantik sekitar waktu 10-11 pagi, saya berjaya merakam Zuhrah sekali lagi.

Zuhrah pada 7 Jan 2014 ©Shahrin Ahmad
Zuhrah pada 7 Jan 2014 ©Shahrin Ahmad
Zuhrah pada 8 Jan 2014 ©Shahrin Ahmad
Zuhrah pada 8 Jan 2014 ©Shahrin Ahmad
Zuhrah pada 9 Jan 2014
Zuhrah pada 9 Jan 2014

Fasanya berubah dengan pantas dan dalam masa tidak sampai seminggu, kita sudah boleh lihat bentuk sabitnya semakin menipis.

Perbandingan 3 tarikh berlainan menunjukkan bentuk sabit planet Zuhrah yang semakin menipis. ©Shahrin Ahmad
Perbandingan 3 tarikh berlainan menunjukkan bentuk sabit planet Zuhrah yang semakin menipis. ©Shahrin Ahmad

Selain daripada bentuk sabit yang cukup menarik untuk dihayati, terdapat satu lagi fenomena yang dipanggil sebagai “The Horns of Venus”, yang mana garisan ‘sabit’nya bukan sekadar berhenti di bahagian atas dan bawah Zuhrah (180 darjah), tetapi ia akan kelihatan melangkaui hingga melebihi 180 darjah, sehingga hampir-hampir tercantum di bahagian gelapnya.

Fenomena ini berlaku kerana planet Zuhrah mempunyai atmosfera. Partikel atmosfera inilah yang menyerakkan cahaya matahari ke sekelilingnya.

Saya telah dapati foto yang diambil pada 8 Jan 2014 di atas, setelah diproses secara agak ‘extreme’, telah menunjukkan dengan agak nyata, bentuk sabit planet Zuhrah sudah melepasi 180 darjah, dan mula melengkung di belakangnya!

extended crescent of Venus
Fenonena “Horns of Venus” yang sudah mula kelihatan di dalam foto bertarikh 8 Jan 2014. ©Shahrin Ahmad

Saya amat bersyukur kepada Ilahi, kerana telah memberi peluang merakam suatu fenomena yang hanya boleh dilihat ketika Zuhrah berada amat hampir dan di antara Bumi dan Matahari.

(Bawah: video rakaman planet Zuhrah yang diambil pada 9 Jan 2014)

Hari ini, Jumaat 10 Januari, cuaca hujan dan mendung sejak pagi, maka tiada peluang merakam Zuhrah. Mungkin esok ada rezeki lagi dan sempat merakamnya beberapa jam sebelum ia mencapai posisi inferior conjunction nanti.

Foto-foto Zuhrah di atas turut mendapat perhatian beberapa buah laman web luar negara. Sila klik pautan-pautan di bawah.

Spaceweather.com pada 6 Jan 2014
Spaceweather.com pada 7 dan 8 Jan 2014
EarthSky.org Today’s Image pada 9 Jan 2014

Mudah-mudahan penerangan ringkas ini dapat memberi sedikit sebanyak maklumat untuk para pengunjung laman web Falak Online ini.

Wallahualam

0 0 votes
Article Rating

Leave a Reply

1 Comment
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
Syed Azman

Awesome article sir! Cantik betul gambar2