Lain tempat, lain definisi waktunya

Berita Ekspresi

Pejam celik pejam celik, kita sudah sampai ke pertengahan bulan Mac 2014! Begitu pantas masa berlalu. Malah, jika tidak dipantaunya masa ini, kita boleh hanyut begitu sahaja.

Bercakap mengenai ‘masa’ ini, ingatan saya kembali kepada sesi syarahan saya yang terbaru, iaitu ketika Cerapan Perdana Langit Malam, anjuran Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, di Taman Tasik Permaisuri Cheras pada 15 Mac lepas.

Saya ada bercerita berkenaan dengan perbezaan masa jika kita berada di berlainan planet.

Dalam bahasa teknikalnya, waktu putaran di atas paksi sesebuah planet itu berbeza antara satu sama lain. Maka, ‘satu hari’ di Utarid berbeza dengan ‘satu hari’ di Bumi.

Oleh itu, definisi ‘satu hari’ bergantung penuh dengan lokasi (planet) kita berada.

Utarid, planet terhampir dengan matahari. Source

Di Utarid, ia berputar di atas paksi selama 58 hari 15 jam. Jika dibandingkan dengan kita di Bumi (~24 jam), maknanya kita akan hanya lihat tarikh kalendar di Utarid berubah ke hari berikutnya selepas 58 hari di Bumi!

Zuhrah, planet ke-2. Sumber

Keadaan lebih rumit di Zuhrah. Planet ke-2 dari matahari ini (yang kini berada cerah di langit timur pada waktu Subuh) berputar amat perlahan di atas paksinya, iaitu selama 243 hari! Andaikata kita berada di atas permukaan planet Zuhrah, kita akan mengalami 121.5 siang  dan 121.5 hari malam berpanjangan!

Di atas permukaan Marikh. Sumber

Bagaimana pula dengan Marikh? Percaya atau tidak, Marikh merupakan satu-satunya planet yang mempunyai jangka waktu putaran yang ‘hampir’ sama dengan Bumi, iaitu 24 jam 39 minit 35 saat.

Mungkin inilah salah satu sebab mengapa manusia berlumba-lumba mahu berhijrah ke sana!

Musytari yang dirakam oleh Anthony Wesley. Sumber

Musytari pula, yang merupakan planet terbesar di dalam sistem suria ini, agak pelik. Jika kita menganggap disebabkan saiznya yang besar,  ia akan berputar lambat, maka jangkaan kita itu salah. Musytari sebenarnya berputar amat laju, iaitu 9.9 jam sahaja!

Video di bawah di rakam oleh saya pada 11 Feb 2014 lepas. Ia dihasilkan dari rangkaian foto yang dirakam selama 1 jam dan dicantum sebagai timelapse. Bayangkan, dengan rakaman selama hanya 1 jam, kita sudah boleh lihat Musytari ini berputar begitu pantas.

Bak kata orang “jika kita tak suka pergi sekolah lama-lama, kita pindah je ke Musytari kerana siangnya tak sampai 5 jam!”

Planet bergelang Zuhal. Sumber

Zuhal, planet yang mempunyai rangkaian gelang yang amat cantik, dikatakan mempunyai waktu putaran selama 10 jam 47 minit.

Uranus pula selama 17 jam 14 minit 24 saat, manakala Neptune selama 16 jam 6 minit 36 saat.

Oleh itu, jika kita mendarat di berlainan planet, ‘waktu’ yang kita sedia maklum, akan menjadi amat berlainan dengan suasana ‘waktu’ di Bumi.

Ini baru sahaja planet-planet di dalam sistem suria yang mengelilingi matahari. Kita belum lagi dapat mengetahui keadaan ‘waktu’ di 715 buah planet lain (di luar sistem suria) yang telah dikenalpasti oleh misi Kepler!

Bila saya renung balik nombor-nombor ini, hati saya tergerak untuk melihat maksud ayat-5 dalam Surah As-Sajadah

screen 2014-03-19 at 8.42.28 AM

 

“Allah Mentadbirkan makhluk-makhlukNya (bagi melaksanakan tadbirNya itu Ia menurunkan segala sebab dan peraturan) dari langit ke bumi kemudian diangkat naik kepada pengetahuanNya (segala yang berlaku dari pelaksanaan tadbirNya itu untuk dihakimiNya) pada suatu masa yang (dirasai oleh orang-orang yang bersalah) banyak bilangan tahunnya menurut hitungan masa kamu yang biasa.”As-Sajadah:5

Waktu ini boleh dikatakan sebagai suatu yang tidak absolute. Ia boleh berubah-ubah mengikut kadar yang berlainan, mengikut keadaan suasana/sekelilingnya. Yang dikaji oleh manusia hari ini, baru sahaja di persekitaran matahari kita, belum lagi keseluruhan galaksi Bima Sakti, dan belum lagi galaksi-galaksi lain!

Begitulah hebatnya kuasa Allah SWT yang menyempurnakan susun atur alam untuk diperhati dan direnungi oleh manusia.

Wallahualam.

0 0 votes
Article Rating
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments