Alhamdulillah, program #OneSky yang dijalankan di Baitul Hilal Teluk Kemang telah berjalan dengan lancar.
Walaupun pada awalnya, kami ditemani dengan gugusan awan yang tebal dan hujan gerimis, malah Bulan tidak kelihatan langsung, beberapa peserta yang datang awal tidak mahu mengalah dan terus memasang teleskop-teleskop yang dibawa untuk ‘siap sedia’ digunakan jika cuaca mengizinkan.
Sekitar jam 10 malam, dan selepas 3-4 cawan kopi-O, barulah ada bukaan di antara awan-awan, dan membolehkan kami mencerap Bulan, Marikh dan Zuhal.
Program tamat sekitar jam 2 pagi.
Jutaan terima kasih yang tak terhingga ingin saya rakamkan kepada peserta yang datang dari pelbagai lapisan masyarakat. Program ini tidak akan berjaya tanpa sumbangan anda semua!
Berikut merupakan beberapa foto menarik yang telah dikongsikan bersama menerusi event page OneSky di Facebook. Sila terus ke page berkenaan untuk melihat lebih banyak foto yang menarik dari seluruh dunia!
Foto-foto ini adalah kepunyaan empunya nama.
Terima kasih kepada pihak Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Baitul Hilal Telok Kemang kerana sudi menganjurkan program #OneSky di fasiliti sana.