Planet Zuhal merupakan antara planet yang terindah untuk dilihat menerusi sebuah teleskop. Iya, memang benar ramai yang seolah-olah tidak percaya dengan apa yang dilihat dan ramai juga yang menganggap ia hanya sebuah foto yang diletak pada hujung teleskop!
Tetapi, tahukah anda bahawa Zuhal juga mempunyai sistem bulan-bulan yang banyak. Berdasarkan maklumat terkini, Zuhal mempunyai 62 buah satelit semulajadi kesemuanya.
Namun begitu, bulan-bulannya kecil yang tidak menyinar terang di langit. Malah, sepanjang pengalaman saya mencerap Zuhal ini, hanya Titan (bulannya yang terbesar) sahaja yang dapat dilihat menerusi teleskop bersaiz sederhana.
Baru-baru ini, rakan pencerap dari New Zealand, iaitu Paul Stewart telah pos beberapa siri foto Zuhal dan turut merakam bulan-bulannya.
Saturn and Moons from left, Titan, Rhea, Hyperion, Tethys, Enceladus, Mimas and Dione 132mm refractor at f 18 pic.twitter.com/roLemZnRPG
— Paul Stewart (@astrostew) June 13, 2014
Beliau menggunakan teleskop bersaiz 132mm dan merakam foto pada f/18. Jika dicongak ia akan memberi nilai panjang fokal F=2376mm! Komposisi 2 foto di atas menunjukkan dengan jelas keadaan planet Zuhal dan kedudukan bulan-bulannya sekali.
Pada 9 Jun 2014 lepas, dengan cuaca yang agak baik, saya telah merakam planet Zuhal di dalam keadaan yang paling jelas yang pernah saya dapat sebelum ini! Mungkin kombinasi langit yang stabil, serta langit yang kurang berawan telah membantu.
Foto Zuhal di bawah telah dirakam menggunakan teleskop Skywatcher 120ED, pada F=1800mm.
Namun, ketika itu hati saya tidak tergerak untuk merakam bulan-bulannya, walaupun menerusi paparan RAW video, jelas kelihatan bulan Titan.
Hampir seminggu kemudian, iaitu pada 16 Jun, dengan suasana langit yang awalnya cantik bersih, tetapi dengan sekelip mata muncul awan entah dari mana, serta motivasi daripada usaha yang dibuat oleh Paul Stewart tadi, saya telah berjaya merakam beberapa buah bulan planet bergelang ini.
Moons of Saturn tonight (annotated with magnitude) SW 120ED F=1800mm, IMG132e. AS2, PI https://t.co/tZnQ5whY41 pic.twitter.com/4NHAWLFTqV — Shahrin.Ahmad (Shah) (@shahgazer) June 16, 2014
Menggunakan perisian Sky Safari Pro, saya telah mengenalpasti nama-nama bulan tersebut, beserta dengan skala kecerahan (magnitude) masing-masing.

Saya menggunakan kamera QHY IMG132e yang selalu digunakan untuk cerapan matahari, bulan dan planet sebelum ini. Namun, untuk merakam cahaya bulan-bulan itu yang sungguh kelam, saya terpaksa set waktu dedahan paling maksima (100ms) dan Gain pada 100%.
Hasilnya, jasad planet Zuhal itu sendiri kelihatan over exposed dan ‘bercayaha terang’. Tetapi ia cukup untuk merakam 6 buah bulan Zuhal sekaligus, yang mana bulan bernama Enceladus berada pada tahap kecerahan yang paling malap (magnitude 12 sahaja).
Saya juga cuba invert foto tersebut untuk supaya titik-titik kecil bulan-bulan tersebut kelihatan lebih jelas, dan nyata sekali ia berkesan.
OOoOoo.. felt like I’ve just found some far away exo-moons.. groovy stuff here! pic.twitter.com/AYuDDyLq6n — Shahrin.Ahmad (Shah) (@shahgazer) June 16, 2014
InsyaAllah, saya akan cuba merakam bulan-bulan Zuhal sekali lagi menggunakan CCD pula, yang mana alat ini jauh lebih sensitif untuk merakam objek-objek yang kelam. Tengah tunggu cuaca kembali cantik je ni…
Ingin mendapatkan aktiviti cerapan terkini bos FO? Sila follow di akaun peribadi beliau @shahgazer atau akaun rasmi Falak Online di @falakonline .