Hari bersejarah dalam dunia explorasi komet – Rosetta & 67P

Berita Misi Angkasa Sistem Solar

Setelah lebih daripada 10 tahun mengejar komet 67P Churyumov-Gerasimenko, akhirnya probe angkasa Rosetta telah pun sampai ke destinasinya dengan selamat. Menerusi siaran web dari Pusat Operasi ESA di Darmstadt, Jerman petang semalam (waktu Malaysia), saintis dan jurutera di sana dengan penuh gembira mengumumkan bahawa tujahan roket terakhir Rosetta pada jam 5.30 pm waktu Malaysia telah pun berjaya.

Tahniah kepada European Space Agency (ESA) atas kejayaan ini. (Jangan terkeliru pula, misi ini adalah kepunyaan ESA, bukannnya NASA)

(Tweet di atas menunjukkan isyarat yang diterima daripada Rosetta)

(Atas: Suasana sesak di European Space Operations Centre, Darmstadt, Jerman)

(Atas: Pengarah penerbangan ESA, Andrea Accomazzo sedang memberikan penerangan kepada media)

Tidak lama kemudian, beberapa buah foto jarak dekat yang menakjubkan mula membanjiri twitter, terutama daripada pusat kawalan ESA. Secara peribadi, saya sendiri agak tergamam apabila melihat begitu jelasnya permukaan sebuah komet, sesuatu yang belum pernah dapat dilihat oleh manusia sebelum ini!

(Atas: Foto pertama setelah Rosetta memasuki ‘orbit’ komet 67P)

Foto di atas cukup menakjubkan! Ia merupakan foto jarak dekat pertama, setelah Rosetta berjaya memasuki ‘orbit’ komet 67P. Jika anda yang pernah mengikuti misi angkasa ke komet-komet lain sebelum ini, pasti akan bersetuju dengan saya bahawa inilah merupakan foto paling jelas ke atas sebuah permukaan jasad komet dalam sejarah!

Lihat sahajalah jumlah retweet yang diterima oleh tweet tersebut! 😀

Kemudian muncul lagi sebuah foto. Kali ini ia jauh lebih dekat dan zoom menghampiri permukaan komet 67P.

Selalunya foto seumpama ini kita akan kaitkan dengan permukaan bulan, tetapi kali ini ia merupakan permukaan sebuah komet! Kita boleh nampak seperti ketulan-ketulan batu besar yang bersepah-sepah di sebuah kawasan yang agak ‘rata’.

Foto di atas pula menunjukkan kawasan ‘leher’ atau saya gemar panggilnya ‘pinggang ramping’, iaitu kawasan yang ‘menyambungkan’ 2 ketul besar komet 67P. Foto-foto di atas dirakam supaya kita dapat melihat permukaannya dengan jelas, iaitu tidak terlalu overexpose.

Tetapi apabila saintis ESA merakamnya dalam set waktu dedahan (exposure) yang lebih lama, mereka melihat sesuatu yang menarik.

Foto di atas jelas menunjukkan ada sesuatu ‘aktiviti’ yang berlaku di permukaan komet 67P. Ia kelihatan seperti telah wujudnya hamburan gas yang mungkin kesan daripada pemanasan matahari.

Saya jangkakan dalam masa beberapa bulan mendatang, kita akan dapat lihat lebih banyak hamburan gas seumpama ini apabila jaraknya dengan matahari semakin mengecil.

(Atas: lagi kesan hamburan gas dirakam) 

Rosetta hanyalah permulaan.

Pada bulan November nanti, ia akan melepaskan sebuah lander bernama Philae, yang mana ia akan mendarat di permukaan komet 67P!  Video di atas menunjukkan kawasan-kawasan (ditandakan dengan bulatan hijau)  yang berpotensi untuk Philae mendarat.

(Atas: Simulasi yang menunjukkan bagaimana Philae akan beroperasi nanti)

 

Mungkin juga ramai yang tertanya-tanya bagaimana Rosetta memasuki ke dalam orbit Komet 67P. Sebenarnya, ketika ini ia tak lah benar-benar masuk dalam orbit yang bulat. Komet 67P mempunyai daya tarikan graviti yang amat rendah (pada jarak sekarang) dan tidak memungkinkan apa-apa mengorbitnya.

Maka apa yang dibuat oleh jurutera di ESA ialah, mereka akan memberi beberapa siri tujahan roket kepada Rosetta. Setiap kali tujahan ini, ia akan mengkalibrasikan kembali kedudukan Rosetta ke kawasan berhampiran dengan komet 67P. Kesan tujahan ini, laluan probe angkasa ini akan membentuk seperti segitiga!

Kita boleh umpamakan Rosetta ini sebagai pelari pecut yang sedang memperlahankan lariannya di hujung padang! Hanyalah apabila ia berada sekitar 30km sahaja di atas permukaan komet ini, barulah tarikan graviti 67P mula memberi kesan dan membawa ia ‘masuk’ ke dalam laluan orbit sebenar.

Video di atas menunjukkan cara pergerakan Rosetta, beserta dengan beberapa tarikh penting selepas ini.

Anda ada cermin mata 3D? Cubalah lihat foto di bawah ni!

Kejayaan orbit insertion oleh Rosetta ini hanya permulaan. Selepas ini, ia akan terbang bersama-sama dengan Komet 67P selama setahun setengah, dan akan mencerap dari jarak dekat perubahan struktur sebuah komet apabila ia menghampiri matahari.

Apakah kejutan lain yang bakal ditemui? Tiada siapa yang boleh mengagaknya. Komet merupakan jasad yang sangat tua, dan umurnya sama dengan umur sistem suria kita. Mengkaji komet ini akan dapat membantu saintis memahami bagaimana sistem suria ini terbentuk.

Bagi kita umat Islam khasnya, harus melihat misi ini sebagai satu cara kita mentadabbur kejadian ayat-ayat manzurah. Kita boleh lihat betapa kompleksnya alam ini terbentuk, namun betapa harmoninya kesemua jasad-jasad ini wujud di sekeliling kita, semuanya disediakan oleh Allah SWT untuk hamba-hambanya memerhati dan menyaksikannya sebagai tanda-tanda kehebatan Pencipta langit dan bumi ini, menerusi akal fikiran yang dianugerahkan kepada kita.

Bak kata-kata yang sering diungkapkan oleh sahabat dan rakan sparring forum saya, Al-Fadhil Ustaz Shahrizan At-Turabi, “Kita Lihat, kemudian kita akan Fikir, kemudian Zikir kepada Allah SWT”

screen 2014-08-07 at 9.04.28 AM
Lihat, Fikir & Zikir (Ustaz Shahrizan At-Turabi)
0 0 votes
Article Rating

Leave a Reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments