Pada sekitar waktu Subuh, hari Isnin hadapan, 18 Ogos 2014, renunglah ke arah langit ufuk sebelah Timur. Kita akan dapat menyaksikan susunan indah 2 buah planet terang, seolah-olah seperti pasangan ‘bintang berkembar’.
Planet-planet itu ialah Zuhrah dan Musytari.
Bagi anda yang pernah mengikuti perkembangan pergerakan planet-planet ini, pasti akan perasan, sebelum ini planet Musytari telah pun bersinar terang di langit waktu senja, terutama ketika awal tahun ini.
Planet Zuhrah pula telah pun mula mendominasi langit Subuh sejak bulan Januari lagi.
Namun, kedudukan planet di langit sentiasa berubah, dan masing-masingnya bergerak mengikut kadar kelajuan masing-masing. Oleh itu, jika anda menggunakan perisian simulasi langit seperti Stellarium, anda akan dapati ia sentiasa bergerak di kawasan langit yang berlainan.
Ada ketikanya, 2 atau lebih planet akan berada di kawasan langit yang sama. Ada ketikanya juga, ia akan kelihatan amat hampir antara satu sama lain.
Fenomena Subuh, 18 Ogos 2014 ini nanti termasuk di dalam kategori ini. Zuhrah dan Musytari akan berada amat hampir antara satu sama lain, malah jika dikira jarak antara keduanya, ia akan berada dalam kawasan seluas bulan purnama!

Rajah di atas menunjukkan sebuah garisan bulat hijau, yang menggambarkan saiz bulan di langit. Kemudian bandingan pula kedudukan antara Zuhrah dan Musytari. Jelas ia menunjukkan betapa ‘dekatnya’ kedua-dua buah planet ini di langit.
Dengan mata, saya jangkakan kita akan melihat Zuhrah & Musytari seperti bintang berkembar yang agak terang.

Hakikat
Walaupun ia kelihatan seperti ‘duduk sebelah menyebelah’, kedua-dua buah planet ini berada amat jauh antara satu sama lain.
Zuhrah berada 241 JUTA km daripada Bumi, manakala Musytari berada lagi jauh ke belakang, iaitu 931 JUTA km! Hampir 5 kali ganda lebih jauh!
Menerusi teleskop, Zuhrah berbentuk bulat je, seperti bulan hampir purnama. Jauh berbeza dengan bentuk sabitnya yang begitu jelas kelihatan pada awal tahun ini. Manakala Musytari tetap besar dan bulat, serta kehadiran 4 buah satelit terangnya pasti akan menjadi tumpuan.

Waktu
Kiraan menerusi Sky Safari Pro menunjukkan kedua-dua planet ini hanya akan terbit sekitar jam 6 pagi (di Kuala Lumpur). Untuk melihatnya tinggi sikit dan tak terlindung oleh bangunan atau pokok , terpaksalah kita tunggu lewat sikit, mungkin sekitar 6.30 atau 6.45am.
Malangnya, ketika itu, langit sudah menjadi semakin terang kerana menghampiri waktu terbit matahari.
Walaupun begitu, disebabkan kedua-duanya amat cerah di langit, maka sekitar 45 minit selepas Subuh pun masih ada peluang untuk melihatnya.
Alat
Fenomena ini menarik untuk dilihat dalam apa jua jenis peralatan.
Apabila dilihat dengan mata, ia akan kelihatan seperti 2 bintang kembar yang terang benderang.
Menerusi Binokular, kedua-duanya lebih jelas kelihatan.
Menerusi Teleskop berkuasa rendah, disebabkan jarak perpisahan Zuhrah dan Musytari ini sebesar Bulan Purnama, maka anda akan berpeluang melihat 2 buah planet sekali gus, di dalam satu medan pandangan! Sesuatu yang jarang berlaku!
Tanda apa ni?
Seperti biasa, apabila fenomena yang ‘pelik dan janggal’ ni berlaku, banyaklah teori yang pelik-pelik keluar daripada masyarakat kita.
Namun, himpunan Zuhrah dan Musytari ini dah pernah berlaku banyak kali dah sebelum ini. Secara puratanya, ia akan berulang setiap 1 tahun 3 bulan (tetapi tak semestinya mengikut kadar tu).
Kali terakhir ia berlaku sebelah senja, pada 28 Mei 2013.

Sesiapa sahaja boleh menggunakan pelbagai jenis perisian simulasi astronomi percuma (seperti Stellarium dan Cartes du Ciel), mahupun yang berbayar (Sky Safari dan Starry Night) untuk mengira dan mengenalpasti kedudukan kedua buah planet ini sebelum ini.
Keliru
David Dickinson pernah memberitahu kepada saya bahawa fenomena himpunan Zuhrah dan Musytari pada tahun 2013, pernah menimbulkan kekeliruan di kalangan askar negara India yang berada di sempadan Himalaya, yang menyangkakan kedua-dua ‘objek terang’ itu ialah spy drone dari negara China. Mereka telah ‘memerhatikannya’ selama 6 bulan, dan kemudian barulah perasan bahawa kedua objek itu hanyalah 2 buah planet!
@shahgazer True story: A close conjunction of Jupiter & Venus almost sparked an international incident: http://t.co/0RfWnHpQNZ
— David Dickinson (@Astroguyz) August 2, 2014
Boleh rujuk sini untuk berita lanjut dari BBC. Maka, tidak mustahil jika kemunculan Zuhrah dan Musytari kali ini akan menimbulkan banyak reaksi dan teori, terutama dari kalangan masyarakat Malaysia yang gemarkan kejadian-kejadian pelik dan mistik! 😛 Walau apa pun, jom sama-sama kita usaha untuk siap sedia pada pagi hari Isnin nanti, untuk menyaksikan satu lagi susunan indah objek-objek samawi di langit!
Jangan lupa tweet #FOSkywatch menjelang hari himpunan Zuhrah-Musytari pada Subuh Isnin nanti!
— FalakOnline (@FalakOnline) August 15, 2014