Juraian meteor Orionids dijangka sampai ke kemuncaknya pada lewat tengah malam dan Subuh, 21 Oktober 2014 ini.
Menurut laporan oleh International Meteor Organization (IMO), Orionids dijangka menghasilkan meteor pada kadar 20 meteor setiap jam.
Di arah mana ia muncul?
Orionids akan muncul dari kawasan buruj Orion. Pada ketika ini, buruj Orion akan terbit sekitar jam 10 malam. Meteor-meteor yang muncul itu akan kelihatan seolah-olah ‘berasal’ dari satu titik yang sama dari kawasan ‘kepala’ buruj Orion.

Namun, jangan hadkan pandangan anda ke arah Orion, kerana meteor-meteor ini akan muncul secara tiba-tiba di mana-mana kawasan langit! Saya syorkan agar halakan pandangan ke arah kawasan langit yang paling gelap dan tiada gangguan cahaya.
Jam berapa sesuai untuk mencerapnya?
Kebanyakan meteor-meteor (tak semestinya Orionids) akan muncul selepas tengah malam hinggalah ke waktu Subuh. Oleh itu tumpukan waktu cerapan di antara waktu-waktu tersebut.
Di manakah sesuai untuk lakukan cerapan Orionids?
Cuba cari kawasan gelap, yang tiada gangguan cahaya samada dari lampu persekitaran (lampu jalan, rumah berhampiran dll) dan juga jauh dari kawasan bandar-bandar besar (seperti Kuala Lumpur, JB dan Georgetown).

Sebarang gangguan cahaya akan menyebabkan meteor-meteor itu susah untuk dilihat dengan mata.
Selain itu, anda perlu bersabar dan tenang. Peruntukkan sekitar 2-3 jam untuk memandang ke arah langit dalam keadaan berbaring. Ramai yang saya dapati cuba melihat meteor dengan ‘menjenguk seminit dua dari tingkap rumah’! Itu merupakan kaedah yang salah. Anda kena cari kawasan lapang yang tiada gangguan seperti pokok dan bangunan tinggi.
Jika cuaca berjerebu dan berawan?
Meteor-meteor tidak akan dapat dilihat jika langit anda berawan tebal ataupun berjerebu, ataupun hujan!
Bagaimana cara untuk merakam meteor ini?
Sebaiknya, guna lensa kamera DSLR yang jenis wide angle. Ini adalah kerana anda perlu merakam kawasan langit yang seluas mungkin. Kemudian setkan waktu dedahan rakaman anda selama 30 saat, dan rakamkan sebanyak mungkin sepanjang malam tersebut.
Jika anda BERNASIB BAIK, mungkin akan dapat ‘tangkap’ sebutir dua meteor di dalam salah satu daripada frame yang dirakam!

Semoga berjaya!