Sekitar fenomena Mini Full Moon 5-6 Mac 2015

Fenomena Log Cerapan

Kita selalu mendengar berkenaan istilah supermoon yang kini begitu popular digunakan bagi merujuk kepada keadaan di mana Bulan Penuh kelihatan paling besar saiznya, disebabkan Bulan berada pada kedudukan Perigee.

Namun, tahukah anda, ada juga saatnya Bulan berada paling jauh (Apogee), lalu mengakibatkan fasa Bulan Penuh kelihatan agak ‘kecil berbanding biasa’.

16537497238_77e855c1f1_z
Mini Full Moon yang dirakam oleh penulis semalam. ©shahgazer

 

Itulah yang berlaku semalam, di mana pada jam 3 petang 5 Mac 2015, bulan berada di posisi Apogee, dan 11 jam kemudian, pada 2 pagi 6 Mac 2015, bulan berada di fasa Bulan Penuh. Dalam kalendar hijrahnya, masuk tarikh 15 Jamadil Awal 1436 Hijrah.

Gabungan kedua posisi bulan ini, menghasilkan satu fenomena yang dipanggil Apogee Full Moon. Namun, istilah yang semakin popular digunakan sekarang ialah mini moon!

(Jika anda ingin tahu fenomena menarik lain yang bakal berlaku, sila rujuk Almanak Astronomi 2015)

Walau apa pun nama yang diberikan, ia tetap merujuk kepada fenomena yang sama. Bagi anda yang melihat bulan, pada malam semalam, pasti akan perasan ia kelihatan agak ‘kecil’ sikit dan tidaklah se-gah bulan purnama sebelum ini.

(Rujuk sini untuk artikel berkenaan dengan supermoon, atau fenomena Perigee Full Moon)

Berdasarkan kiraan falak, Bulan Penuh semalam merupakan fasa bulan penuh yang paling jauh kedudukannya dari bumi, untuk tahun 2015 ini. Ia 14% lebih kecil dan 30% lebih kelam berbanding dengan fasa bulan penuh yang lain.

Saya terpanggil untuk mengajak anda semua melakukan satu experimen mudah. Cuba rakamkan foto fasa Bulan Penuh setiap bulan untuk sepanjang tahun 2015. Pastikan anda menggunakan kamera dan lens (atau teleskop) yang sama, dan foto yang terhasil disimpan dalam saiz asal.

Kemudian, setelah dapat 12 set gambar, cuba bandingkan saiz bulan-bulan purnama tersebut. Jika kita lihat kiraan yang mengatakan 14% lebih kecil, bermakna perbezaan saiznya agak ketara.

Perbandingan Bulan Purnama ketika Perigee (kiri) dan Apogee

Ramai juga yang menyatakan Bulan nampak besar semalam, ketika ia sedang terbit. Itu sebenarnya merupakan ilusi optik yang digelar sebagai Moon Illusion. Apabila bulan berada hampir dengan ufuk, ia kelihatan besar kerana otak kita menggunakan rujukan berhampiran seperti pokok, bangunan atau bukit dan membandingkannya dengan bulan. Apabila bulan berada ‘keseorangan’ tinggi di atas kepala, kita tidak ada rujukan melainkan ‘langit’, maka kita akan melihatnya seperti ‘kecil’.

Video di bawah menerangkan dengan agak jelas ilusi ini.

Kalau masih was-was, ambil sendiri foto bulan ketika ia terbit, dan ketika ia berada tinggi di langit. Bandingkan saiznya. InsyaAllah ia akan sama sahaja, kerana kamera tidak ‘terkesan’ dengan Moon Illusion ini.

Kesan ‘kelihatan macam besar’ ini lebih kurang sama dengan ebbinghaus illusion. 2 buah bulatan di tengah-tengah (foto di bawah), sebenarnya sama sahaja saiznya, tetapi otak kita yang tertipu dengan mengatakan ia tidak sama saiz.

2000px-Mond-vergleich.svg
Ebbinghaus Illusion

 

Menerusi komuniti FB Falak Online semalam, ramai juga yang telah pos beberapa buah foto fenomena ini. Walaupun, sekali imbas secara zahirnya nampak seperti tiada apa-apa menarik, namun apabila kita kaji dan belajar lebih sikit, fenomena Apogee Full Moon ini, tetap menarik dan menunjukkan dengan jelas kedinamikan dan kesempurnaan pergerakan objek langit di bawah perintah dan urusan Ilahi.

screen 2015-03-06 at 9.32.04 AM

“Allah jualah yang membelah cahaya Subuh (yang menyingsingkan fajar) dan yang menjadikan malam untuk tinggal berehat dan menjadikan matahari dan bulan untuk mengira waktu (menurut peredarannya). Yang demikian itu adalah kuasa penetuan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui” Al-An’am:96

Di bawah merupakan antara foto yang menarik perhatian saya. Terima kasih diucapkan buat semua yang menyumbang foto.


 

Credit Mohd Iqbal Abdul Rahman

 

Credit Civvy Street

 

Credit Hasri Hamzah

 

Credit Feerhana MSupian

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

0 0 votes
Article Rating

Leave a Reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments