Tamatlah riwayat peninjau MESSENGER

Berita Misi Angkasa
nasa-messenger-mercury-spacecraft
Peninjau angkasa MESSENGER, yang dilancarkan dari Bumi pada tahun 2004, dan telah mengorbit planet Utarid sejak tahun 2011, kini selamat ‘dikuburkan’ di permukaan planet tersebut. Kredit NASA/Johns Hopkins University Applied Physics Laboratory/Carnegie Institution of Washington

Akhirnya, peninjau MESSENGER telah ‘selamat dihempaskan’ ke permukaan planet Utarid, menamatkan misi selama 4 tahun pengkajian terhadap planet paling hampir dengan matahari ini.

Pada jam 3:26 pm EDT 30 April 2015 ( bersamaan 3:26 am 1 Mei 2015 waktu Malaysia), isyarat terakhir yang diperolehi menandakan ia telahpun terhempas, dengan kelajuan 14,080 km sejam!

Menurut laporan Space.com, pada kelajuan itu, ia akan mewujudkan ‘kawah baru’ berukuran 16 meter lebar, di kawasan hemisfera utara Utarid.

Foto kawasan yang mana peninjau MESSENGER ini telah terhempas pada awal pagi 1 Mei 2015 (Waktu Malaysia). Kawasan tinggi diwarnakan merah, sementara yang rendah diwarnakan biru. Kredit: NASA/Johns Hopkins University Applied Physics Laboratory/Carnegie Institution of Washington

Malang sekali, tiada siapa yang menjadi saksi saat ia terhempas kerana ia berlaku di kawasan Utarid yang membelakangi Bumi.

Misi 4 tahun mengelilingi Utarid ini terpaksa ditamatkan kerana peninjau angkasa ini sudah kehabisan minyak, malah buat beberapa ketika ia bergerak dengan hanya menggunakan saki baki wasap (fume) yang ada!

Namun, apabila kita lihat kembali, dalam jangka masa 4 tahun, lebih 4000 kali orbit mengelilingi Utarid, peninjau angkasa yang bernilai $450 juta dolar ini telah memberikan begitu banyak maklumat terbaru mengenai planet Utarid.

Malah, MESSENGER ini merupakan hanya peninjau angkasa yang ke-2 melawati Utarid, selepas Mariner 10 pada tahun 1974-75.

Sebelum MESSENGER, masih banyak rahsia Utarid yang belum terbongkar. Ironinya, setelah ketibaan MESSENGER ini, lebih banyak lagi misteri dan persoalan mula timbul.

Di antara penemuan yang cukup penting yang ditemui oleh MESSENGER ialah wujudnya medan magnet Utarid yang senget (offset), serta beberapa buah kawah yang tidak pernah kena cahaya matahari di kawasan kutubnya, mengandungi ais!

Kawah bernama Kandinsky, yang terletak berhampiran dengan kutub utara Utarid, dipercayai mengandungi ais. Foto di atas dirakam menerusi Wide Angle Camera pada 15 Oktober 2014. Kredit NASA/Johns Hopkins University Applied Physics Laboratory/Carnegie Institution of Washington

InsyaAllah saya cuba susun sebuah artikel terperinci berkenaan hasil penemuan MESSENGER di Utarid. Sementara menunggu ia siap, jom kita sama-sama cuba cari planet Utarid, yang kini muncul di langit waktu Maghrib, sebagai sebuah ‘bintang’ yang agak terang, rendah di ufuk, betul-betul ke arah bawah dari planet Zuhrah yang terang benderang tu!

Screen Shot 2015-05-03 at 9.22.58 PM
Kedudukan Utarid, pada waktu Maghrib pada sepanjang minggu ini (4-10 Mei 2015) dari langit Malaysia dan sekitar Asia Tenggara
0 0 votes
Article Rating

Leave a Reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments