Ketika ini terdapat 2 buah komet yang berada di langit, yang cukup ‘cerah’ untuk dirakam menerusi kamera. Komet C/2013 US10 Catalina berada di timur menjelang Subuh, sementara Komet C/2013 X1 PANSTARRS berada di ufuk barat selepas Isya’.
Kecerahan kedua buah komet ini adalah sekitar magnitud 5.4 untuk Komet Catalina (laporan 2 Jan 2016) dan magnitud 8.9 untuk Komet PANSTARRS (laporan 2 Jan 2016). Sumber dari sini.
Di bawah merupakan 2 buah keadaan komet di atas, menerusi kamera CCD QHY9 tanpa sebarang penapis warna (Luminance sahaja).
Jelas di atas, menerusi kawasan langit Sri Damansara, yang diselaputi pencemaran cahaya yang agak banyak, masih boleh mampu mencecah sekitar magnitud 14 (sekelam planet kerdil Pluto yang berjaya dirakam pertengahan tahun lepas).
Melungsuri maklumat daripada Seiichi Yoshida, ada sebuah lagi komet yang berkedudukan agak sesuai, iaitu Komet P/2010 V1 (Ikeya-Mukarami) yang dilaporkan berkecerahan sekitar magnitud 11.6
Saya lakukan congakan kasar, dan merasakan komet ini ‘boleh dirakam’ pada kecerahan demikian, pada tengah malam 2 Jan 2016. Ia berada berhampiran dengan buruj Leo yang sudah pun terbit ketika itu.
Dengan menggunakan waktu dedahan 120 saat (2 minit) bagi setiap frame, saya mengumpul lebih kurang 30 set gambar. Daripada 30 set, hanya 15 sahaja yang boleh digunakan, manakala yang lain samada tracking teleskop tidak tepat atau ada awan yang menutupi kawasan tersebut.
Hasil awal adalah seperti di bawah.
Pada mulanya saya sangkakan tersalah arah, kerana tiada langsung objek seperti komet di kawasan tengah frame tersebut. Saya pun lakukan Plate Solve dan menandakan kawasan tersebut menggunakan ImageSolver dan AnnotateImage dalam script yang disediakan dalam PixInsight.
Namun, peliknya walaupun arahnya betul, kordinat kometnya betul, tetapi ia tidak kelihatan langsung dalam frame gambar tersebut.
Saya lakukan lagi perbandingan menggunakan peta janaan Sky Safari Pro 4.
Saya pun memerhatikan kedudukan 3 buah bintang berdekatan dengan kedudukan komet Ikeya-Murakami. iaitu bintang TYC2504-190-1, TYC2504-123-1, TYC2504-17-1
dan kemudian membandingkan dengan data daripada PixInsight.
Tandaan bulatan merah itulah sepatutnya Komet Ikeya-Murakami ini berada namun ia kosong sekosongnya!
Pelik bin ajaib!
Mungkin kedudukan terkini komet ini sudah berubah, atau data dari MPC tidak dikemaskini oleh perisian Cartes du Ciel yang saya gunakan. Saya pun lakukan 2,3 kali update bagi memuaskan hati saya.
Namun, ia masih tidak kelihatan.
Maka, saya pun rasa mungkin beberapa faktor:
- Maklumat orbital elements yang diberi ada ralat.
- Komet ini terlalu kelam untuk dirakam.
Saya pun lupakan dulu masalah ini.
Hari ini, saya terbaca mesej daripada Dr. Ian Musgrave
Ohh.. rupanya-rupanya Komet ini memang ‘hilang’ dari pandangan. Ramai pencerap memang telah cuba mencarinya namun gagal.
Akhirnya, laporan daripada page Comets and Asteroid mengatakan memang komet ini berada jauh dari kedudukan asal, dan salah satu sebabnya ia mungkin telah hancur kepada beberapa cebisan kecil yang amat kelam.
Dan ia juga telah ‘dijumpai sekali lagi’ pada 31 Disember 2015 lepas, pada kecerahan magnitud 20.8 ! Pada kadar kecerahan ini memang mustahil lah untuk dirakam menggunakan teleskop kecil saya ni, dan dari langit sekitar KL!
Maka, kesimpulan yang boleh dibuat di sini ialah Komet P/2010 V1 (Ikeya-Murakami) telah hancur, berada di luar kedudukan asal, dan bersinar pada kecerahan yang amat kelam.
Alhamdulillah, misteri selesai!