Akatsuki mengintai bahagian malam Zuhrah

Berita Penemuan Terkini
IR2_25mar2016A_226um-RGB2color
Venus pseudo- color image by 2μm camera IR2 . JAXA

Akatsuki mengintai Zuhrah di sebelah malam

… Dan hasilnya cukup menakjubkan.

Foto terbaru planet Zuhrah yang dirakam oleh kapal angkasa dari Jepun, Akatsuki, sememangnya layak diberi ekspresi “terkejut badak!”. Cuba lihat sendiri foto di atas. Jalur-jalur putih yang berlingkar-lingkar tu sebenarnya lapisan awan yang sedang bergelojak di atmosfera planet tersebut pada waktu malam.!

Ia dirakam menggunakan jalur spektrum inframerah yang membolehkan kita melihat ‘haba’ yang terhasil oleh sesuatu benda, walaupun menerusi cahaya biasa kita tidak akan dapat lihat apa-apa. Gabungan spektrum inframerah pada nilai panjang gelombang 1.735 microns dan 2.26 microns ini membolehkan kita melihat struktur partikel awan yang berbeza-beza. Hasilnya kita dapat lihat lebih jelas bagaimana awan Zuhrah itu terbentuk dan bergerak.

Umum mengetahui, tekanan udara atmosfera planet Zuhrah amat tinggi, iaitu 90 kali ganda lebih tinggi daripada Bumi. Ia seumpama tekanan yang dihadapi oleh seseorang yang menyelam sedalam 3200 kaki!

Kira teruk lah tu!

Selain itu, kesan daripada betapa tebalnya atmosfera dan awan di sana, menyebabkan ia menyerakkan cahaya matahari dengan begitu jauh sekali hingga melangkaui bahagian malamnya. Di dalam foto ini, kawasan ‘maghrib’ yang sedang dialami di sana diwarnai dengan warna oren.

Maknanya, jika di Malaysia, waktu Maghrib kita melangkau sehingga sekitar 1 jam 10 minit, di planet Zuhrah, ia mungkin lebih lama daripada itu. Di sini saya mengandaikan waktu putaran Zuhrah sama dengan Bumi.

Tetapi hakikatnya bukan begitu!

Bumi kita berputar di atas paksi selama 23 jam 56 minit. Planet Zuhrah pula berputar amat perlahan, iaitu mengambil masa 243 HARI untuk melengkapi satu pusingan siang dan malam. Maknanya siang dan malamnya teramat lama!

Jadi, planet itu sendiri secara fizikal bergerak amat perlahan, tetapi awannya pula bergerak teramat laju! Malah, awan-awan di sana berputar lebih laju di kawasan berhampiran khatulistiwanya, berbanding kawasan kutubbya.

Hasilnya ialah, kita dapat lihat jalur-jalur awan itu membentuk huruf ‘V’ yang senget.

ISAS/JAXA

Animasi foto di atas dihasilkan daripada beberapa gabungan foto yang dirakam selang 4 jam, dan jelas menunjukkan pergerakan awan-awan di bahagian ‘malam’ Zuhrah.

Sehingga kini, Akatsuki baru sahaja ‘menyinsing lengan’ dalam kajiannya terhadap planet Zuhrah. Dijangka dalam masa terdekat akan ada analisis dan penemuan terbaru yang menarik dapat diterangkan oleh para saintis dari JAXA.

Kita masih lagi tidak tahu mengapa Zuhrah ini begitu jauh berbeza berbanding Bumi, walhal saiz kedua-duanya hampir sama! Itulah antara misteri kajian cabangan Planetary Science yang sungguh mengujakan saya. Walaupun kita berjaya mengendap objek berbilion tahun cahaya daripada Bumi, tetapi di ‘luar pagar’ kita, ‘jiran sebelah’ katakan, masih banyak lagi benda yang perlu dipelajari dan diterokai.

Lebih mendalam kita memerhati dan memahami kejadian di sekeliling kita (di langit dan bumi), barulah kita faham ‘kedudukan’ kita sebagai makhluk, dan lebih banyak peluang untuk kita tingkatkan ketaqwaan kita kepada pencipta segala-galanya, Allah SWT.

Semua ini tidaklah dicipta dengan sia-sia!

Wallahua’lam

0 0 votes
Article Rating

Leave a Reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments