
Selang lebih kurang seminggu selepas Marikh berada dalam posisi istiqbal, kini giliran planet Zuhal pula.
Pada hari ini, 2 Jun 2016 planet bergelang ini akan berada pada kedudukan yang bersetentang dengan matahari, yang dikenali juga sebagai opposition. Apabila ini berlaku, Zuhal akan terbit di timur, sebaik sahaja matahari terbenam di sebelah barat. Ia juga akan kelihatan sepanjang malam bermula dari Maghrib hinggalah ke waktu Syuruk (matahari naik).
Fenomena istiqbal ini merupakan fenomena biasa yang dapat dilihat berlaku kepada semua planet, asteroid dan komet yang berada di dalam laluan orbit di luar daripada orbit Bumi. Ia bukanlah satu kejadian pelik dan berlaku setiap tahun.
Orbit Zuhal
Zuhal mengelilingi matahari pada orbit yang amat besar, dan memakan masa selama 29.5 tahun untuk melengkapi ‘satu tahun’ di sana!
Namun, kita tidak perlu menunggu lama untuk melihat Zuhal dalam jarak yang dekat. Berdasarkan kelajuan Bumi di dalam orbitnya, kita akan ‘melintasi’ planet ini setiap 378 hari.
Bagi anda yang minat dengan fakta bernombor, pada 3 Jun 2016, Zuhal akan berada pada jarak 1.4 bilion km daripada Bumi.

Kedudukan Zuhal di langit
Zuhal kini berada di dalam kawasan buruj yang bernama Ophiuchus, iaitu berhampiran dengan Scorpius dan Sagiitarius.
Menerusi pandangan mata, Zuhal, bersama-sama dengan planet Marikh, dan juga bintang tercerah dalam buruj Scorpius, iaitu Antares, akan membentuk satu bentuk segitiga yang besar dan cantik.
Jika anda masih tidak tahu yang mana satukah Zuhal, jadikan planet Marikh sebagai panduan. Disebabkan Marikh kini merupakan objek paling cerah di langit sebelah timur pada waktu malam selepas Maghrib, maka ia boleh dijadikan sebagai titik atau poin di langit untuk mencari Zuhal.
Waktu terbaik dan paling awal untuk melihat Zuhal dengan senang ialah menjelang azan Isya’ di lokasi masing-masing. Pandang ke arah timur. Mata kita pasti akan ternampak sebutir objek berwarna merah yang amat terang. Itulah planet Marikh.
Kemudian, unjurkan penglihatan anda ke arah kiri bawah dari kedudukan Marikh (kalau ikut muka jam, ia berada pada sudut lebih kurang arah jam 7). Kita akan nampak sebutir ‘bintang’ yang sedikit kekuningan bersinar agak terang. Itulah Zuhal.

Gelang Zuhal menerusi teleskop
Planet Zuhal amat popular kerana gelangnya. Ia merupakan satu pandangan yang paling indah jika dapat dilihat menerusi teleskop. Ya, gelang ini hanya boleh dilihat dengan teleskop, dan mustahil untuk dilihat dengan mata kasar.
Pada tahun 2016 ini, gelangnya akan senget pada sudut 26 darjah (dari pandangan kita di Bumi). Disebabkan faktor ini, gelangnya akan kelihatan ‘terbuka’ dan nampak sungguh ‘gah’ dan terang.

Sudut pandangan gelang ini berbeza dari tahun ke tahun. Jika ada yang masih ingat, pada tahun 2009 yang lalu, kita melihat gelangnya pada sudut tepi, dan masa itu ia dilihat seperti satu garisan nipis sahaja!
Jika anda menggunakan kuasa pembesaran sekitar 100X atau lebih tinggi, anda akan dapati gelangnya ini seolah-olah terpisah menjadi dua garisan. Pecahan ‘hitam’ ini digelar sebagai Cassini Division. Ia merupakan satu kawasan yang ‘kosong’ daripada debu dan ais yang membentuk gelang tadi. Sebuah bulan kecil, bernama Mimas, dikenalpasti menyebabkan kawasan ini seolah-olah bersih daripada sebarang objek-objek halus.

Walau apa pun teleksop yang digunakan, halakan ia ke arah planet bergelang ini. InsyaAllah anda pasti akan tergamam melihat keunikan bentuk gelang.

Adakah Zuhal hanya kelihatan pada 1 Jun sahaja?
Mungkin ada sedikit kekeliruan dalam beberada tajuk akhbar hari ini, yang seolah-olah memberi gambar bahawa Zuhal hanya kelihatan pada 1 Jun.
Sebenarnya planet ini sudah pun boleh dilihat hampir sepanjang tahun! Cuma waktunya sahaja yang berlainan. Beberapa bulan lepas, ia boleh dilihat pada sebelah Subuh. Kini ia baru terbit di timur ketika matahari terbenam. Dalam masa beberapa bulan akan datang, ia akan berada tinggi di langit ketika waktu Maghrib, dan menjelang hujung tahun, ia kembali hilang dari pandangan kerana berada hampir dengan matahari.
Begitulah seterusnya pusingan orbit dan laluan Zuhal di langit kita.
Wallahua’lam