Terkini! Memang sah kita dah jumpa planet di Proxima Centauri!

Berita Penemuan Terkini
Screen Shot 2016-08-25 at 2.40.10 AM
Semua data sejak pencerapan 16 tahun dahulu menunjukkan kiraan perubahan radial velocity selama 11.2 hari. Sumber

Tu dia! Ahli astronomi di ESO akhirnya telah menemui sebuah planet yang mengorbit bintang Proxima Centauri, bintang terhampir dengan matahari!

Ini berita amat baik kerana berdasarkan kajian sebelum ini, datanya tidak konklusif, tetapi kali ini, para pengkaji di ESO lebih yakin dengan penemuan ini. Baiklah, disebabkan berita ini hangat dan sidang akhbar ESO agak terperinci, saya cuba ringkaskan semampu yang mungkin..

  1. Planet yang buat masa ini dikenali sebagai Proxima Centauri b mengorbit bintangnya setiap 11.2 hari
  2. Ia mempunyai jisim tidak kurang daripada 1.3 kali ganda jisim Bumi. Jika komposisinya berbatu atau besi (seperti Bumi), saiznya sedikit besar dari kita.
  3. Ia mengorbit bintangnya pada jarak yang amat dekat, iaitu 7.3 juta km (berbanding Bumi yang mengorbit matahari pada jarak 150 juta km!)
  4. Disebabkan bintang Proxima Centauri ini jenis kerdil merah (red dwarf), maka cahaya yang diterimanya amat malap (dibandingkan hanya 2/3 cahaya dan haba yang diterima oleh Bumi)
  5. Kombinasi poin (3) dan (4), maka ahli astronomi meletakkan ia berada dalam zon boleh hidup (habitable zone).
  6. Ini bermakna (besar kemungkinan) air berbentuk cecair boleh wujud di permukaan.

MasyaAllah!

Berita ini sungguh mengujakan kerana sebelum ini, kesemua eksoplanet yang ditemui terletak amat jauh dari Bumi. Penemuan ini boleh dikatakan sungguh menarik kerana planet Proxima b ini seolah-olah duduk seberang taman perumahan kita je!

Bintang Proxima Centauri ini merupakan salah satu daripada sistem 3 bintang berkembar. Adik-beradik dia ialah bintang Alpha Centauri a dan Alpha Centauri b (yang mana keduanya agak serupa dengan matahari kita).

Namun, Proxima Centauri berada dalam orbit yang agak jauh dari adik-beradik dia, iaitu sekitar 0.1 tahun cahaya daripada Alpha Centauri a dan b. Sebagai perbandingan ia terletak 200 kali ganda lebih jauh dari jarak Neptune ke matahari kita!

Jauh tu!!!

Penemuan kali ini lebih meyakinkan kerana data yang dikumpul datang dari beberapa buah teleskop yang berlainan, iaitu HARPS spectograph di teleskop ESO 3.6 meter di La Silla Chile, data-data dari UVES/ESO M-dwarf programme dan pencerapan lain yang diperolehi oleh pasukan HARPS/Geneva selama beberapa tahun. Data yang datang dari berlainan sumber mampu menghasilkan kejituan yang lebih tinggi dan meyakinkan.

Disebabkan usaha mencari planet di dalam sistem bintang terhampir dengan kita ini mendapat liputan meluaskan sejak kebelakangan ini, maklumat dan data kajian telah dikongsikan dan boleh dicapai menerusi laman web Pale Red Dot.

planet-Proxima-Centauri-1.ngsversion.1472062500602.adapt.885.1
Lakaran artis yang menunjukkan cahaya kelam yang menyimbahi permukaan planet Proxima b. Kredit ESO, M. Kornmesser

Kaedah yang digunakan ialah melihat kesan perubahan pergerakan bintang Proxima Centauri yang terhasil setiap kali planet tersebut mengorbitnya. Cara ini dikenali sebagai Doppler shifts. Ahli astronomi ‘memecahkan’ cahaya bintang ini kepada spektrum pelangi. Dari situ, mereka melihat sebarang perubahan yang berkala berlaku terhadap spektrum ini. Setiap kali sebuah objek menarik-narik bintang Proxima Centauri, ia akan menyebabkan bintang berubah-ubah kedudukan di angkasa lepas. Perubahan ini akan dapat dilihat pada spektrum cahaya tersebut.

Konsep Doppler Shift ini agak teknikal tetapi perkara asas yang penting untuk faham mengenai cara saintis menemui planet lain menerusi kaedah cerapan tidak langsung (indirect observation). Sila hadamkan konsep Doppler shift dahulu.

Apa yang ahli astronomi jumpa ialah ada ketikanya Proxima Centauri bergerak ke arah Bumi pada kadar 5km sejam, dan ada ketikanya bergerak menjauhi Bumi pada kadar yang sama. Ulangan ini berlaku setiap 11.2 hari. Dari data itulah, mereka dapat menganggarkan planet Proxima b ini berjisim 1.3 kali ganda Bumi dan mempunyai orbit 7 juta km daripada bintangnya.

An angular size comparison of how Proxima will appear in the sky seen from Proxima b, compared to how the Sun appears in our sky on Earth. Proxima is much smaller than the Sun, but Proxima b lies very close to its star.
Walaupun bintang Proxima Centauri kecil daripada matahari, ia akan kelihatan 3 kali ganda lebih besar berbanding matahari, jika dilihat dari permukaan planet Proxima b. ESO/G.Coleman

Menurut laporan itu lagi, cerapan lain menerusi 2 buah teleskop balaicerap lain, iaitu San Pedro de Atacama Celestial Explorations Observatory di Chile dan Las Cumbres Observatory telescope network, telah membantu mengesahkan data ini.

Bintang Proxima Centauri itu sendiri ialah sebuah bintang jenis kerdil merah yang tidak stabil. Ia sering menghasilkan letusan dan jika kita berada di atas permukaan planet Proxima b, kita akan dihujani dengan sinaran beradiasi tinggi seperti ultraviolet dan X-ray. Kondisi ini jauh lebih esktrem berbanding apa yang kita terima daripada matahari.

Selain itu, kita kena faham penemuan Proxima b ini tidak ditentukan menggunakan kaedah transit (yang mana kita boleh melihat kesan perubahan kecerahan bintang akibat lintasan sesebuah objek di hadapannya). Kaedah transit memerlukan kita melihat orbit Proxima b  pada sudut tepi (edge-on), tetapi dalam kes ini ia bukanlah seperti itu. Maka, masih banyak faktor ketidaktentuan berlaku. Jika pada sudut tepi, kita boleh katakan Proxima b mempunyai jisim 1.3 kali ganda Bumi, tetapi jika ia senget sedikit. katalah 45 darjah, ia akan mempunyai jisim yang lebih besar (mungkin 40% lebih besar).

Ada beberapa buah kertas kajian yang dibuat bagi membincangkan kemungkinan-kemungkinan keadaan cuaca di sana. Kita juga harus faham, buat masa ini belum ada sebarang bukti menunjukkan wujud air dalam bentuk cecair di permukaanya. Teknologi cerapan kita masih tidak mampu lagi. Apa yang kita boleh katakan ialah, berdasarkan kedudukan orbit dan faktor-faktor lain yang dibincangkan sebelum ini, Proxima b berpotensi mempunyai air.

Baiklah saya berhenti di sini dulu. Masih banyak maklumat yang kena hadam dulu. Jam menunjukkan 2.30 pagi 25 Ogos 2016. InsyaAllah akan menyusul maklumat baru selepas ini.

Sebelum itu, saya ingin menasihatkan anda supaya buat bacaan lanjut dan memahami kaedah yang digunakan hasil penemuan di atas. Subjek ini memang agak teknikal, jadi tidak salah mengaku tidak tahu. Saya pun masih terkial-kial nak cuba faham sesetengah bab. Kita cuba amalkan apa yang dibuat semasa kita di bangku sekolah dulu sebelum nak ambil peperiksaan…baca, ulangkaji dan faham! Tak perlu gopoh buat rumusan, andaian dan spekulasi tanpa hujah balas ilmiah, kerana ia hanya akan menimbulkan lebih banyak kekeliruan.

Kertas kajian asal penemuan ini boleh dibaca di sini. Jom jadilah orang yang mahu belajar berilmu!

Ok bye!

Wallahua’lam.

Rujukan:

0 0 votes
Article Rating

Leave a Reply

1 Comment
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
Adam Danial

hukum relativity einstein diperlukan utk ke sane…macam fiksyen interstellar